Monday 1 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 01 (KL - Jeddah)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 1: Kuala Lumpur - Jeddah
PERJALANAN KE TANAH SUCI

Part 1: Lambaian Tanah Suci

Lambaian Tanah Suci Makkah dan Madinah menggamit lagi menyebabkan kami kembali menunaikan Umrah pada awal tahun 2017. Pada mulanya, kami merancang untuk menyelitkan ziarah ke Mesir dalam perjalanan ini. Namun bila diteliti itinerari perjalanan di Mesir, ia tidak begitu menggamit bagi kami kerana tidak begitu bertepatan dengan semangat perjalanan Umrah seperti ziarah ke negara Jordan yang pernah kami lakukan dalam perjalanan Umrah pada tahun 2013 dahulu.

Sewaktu ziarah ke Jordan dulu, kami dibawa menziarah ke banyak kawasan yang berkait langsung dengan kisah di dalam Al Quran dan jejak-jejak nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Itinerari perjalanan yang ditawarkan di Mesir sebaliknya banyak melibatkan lawatan ke Piramid yang menjadi kebanggaan Firaun masa dahulu dan sejarah-sejarah Islam yang datang terkemudian. Kami berdua sepakat yang lawatan ke Mesir wajar dijadikan agenda lawatan tersendiri dan tidak dikaitkan dengan ziarah yang bersekali dengan Umrah.

Gua Al-Kahfi yang dilawat sewaktu ziarah ke Jordan dalam perjalanan Umrah 2013 yang lalu.
Ketika itu juga terlintas di hati kami, alangkah bagusnya jika kita dapat melawat dengan lebih mendalam kesan-kesan sejarah yang berkait langsung dengan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat di Makkah dan Madinah sendiri, selain dari tempat-tempat standard yang biasa diatur oleh agensi-agensi Umrah kepada Jemaah mereka. Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Makkah dan berkembang dengan lebih pesat selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Pasti ada kesan sejarah lain yang tidak kurang hebatnya dari Padang Arafah di Makkah dan Bukit Uhud di Madinah. Alangkah seronoknya jika kita dapat menziarah tempat-tempat bersejarah selain yang biasa dikunjungi untuk lebih memahami perjuangan Nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi terdahulu dalam menyebarkan agama Allah SWT.

Memang Allah mendengar setiap yang terdetik di hati manusia, termasuklah di hati kecil kami. Sedang kami mencari-cari pakej Umrah yang bertepatan dengan semangat yang dicari, Dia menemukan kami dengan sebuah pakej Umrah yang dicari-cari sewaktu kami surfing di internet. 

Menyibuk je dia ni...
Bagai pucuk dicita dan ulam yang mendatang, kami terus mendaftar untuk mengikut Pakej Umrah Khas 13 Hari/12 Malam yang diatur oleh Syarikat Mursyid Alharamain pada bulan April 2017.

Pejabat Mursyid Alharamain Travel & Tours di Shah Alam. Teringat yang kami dikompaun oleh MBSA sewaktu berurusan di sini kerana tak meletakkan kupon parking kereta...

HARI PERTAMA

Part 2: Berlepas Ke Tanah Suci

Perjalanan kami bermula pada 5 April 2017. Oleh kerana penerbangan kami, Saudi Arabian Airlines dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah pada pukul 7.30 malam, kami dikehendaki berkumpul di KLIA pada pukul 3.30 petang. Jadi selepas solat Zohor, kami berlepas ke KLIA dengan menggunakan Airport Limo

Menunggu teksi ke KLIA
Disebabkan kami membawa beg yang super besar untuk keperluan di Tanah Suci, khidmat Teksi Premier Airport Limo terpaksa digunakan. Mujurlah perjalanan dibuat di siang hari, jadi terselamatlah dari dikenakan Midnight Charge seperti di dalam perjalanan-perjalanan yang lain tu.

Dalam teksi ke KLIA
Kami tiba di KLIA tepat pada pukul 3.30 petang lalu terus menuju ke Kaunter K, tempat di mana kumpulan Umrah kami diminta untuk berkumpul. Senang saja nak mencari ahli-ahli rombongan kerana kami semua menggunakan beg roda berwarna oren terang yang diberikan secara percuma oleh pihak Mursyid Alharamain.

Geng Beg Oren berkumpul
Di sinilah semua ahli rombongan yang berjumlah 18 orang kesemuanya bertemu. Ahli-ahli rombongan kami berasal dari sekitar Kuala Lumpur dan Sg Petani di Kedah.

Selain petugas dari Mursyid Alharamain yang menguruskan check-in, kami juga berkenalan buat pertama kali dengan Mutawwif kami, Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman yang sering muncul dalam program Tanyalah Ustaz di TV9. 


Petugas dari Mursyid Alharamain membantu menguruskan bagasi dan check-in.
Deretan bagasi Oren.
Ustaz Husni ni memang peramah, rendah diri dan easy-going orangnya. Ketika ada ahli rombongan yang meminta kepastian betulkah dia Ustaz yang biasa masuk kat TV tu, dia memberitahu yang dia sama saja dengan Upin & Ipin yang juga selalu masuk TV.

Mutawwif kami, Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman memberi taklimat perjalanan Umrah.
Kumpulan Umrah kami
Oleh kerana kami akan terus masuk ke kota Makkah sebaik selepas tiba di Jeddah, Husband dan beberapa anggota lelaki jemaah kami telah siap memakai pakaian ihram sejak di KLIA lagi. Bagi yang masih belum nak memakai pakaian ihram ketika itu, mereka diingatkan supaya memakai pakaian ihram di dalam kapal terbang sebelum tiba di Miqat Qarnul Manazil yang akan kami lalui sebelum mendarat di Jeddah.

Husband bergambar dengan Mutawwif
Penerbangan Saudia kami berlepas dari KLIA ke King Abdulaziz International Airport di Jeddah, Arab Saudi tepat pada pukul 7.30 malam mengikut jadual. Pesawat yang digunakan dalam penerbangan ini ialah Boeing 777-300ER. Kami pernah menaiki penerbangan Saudia sewaktu menunaikan Haji pada tahun 2005 dahulu. Namun ini adalah kali pertama kami menggunakan penerbangan komersil dari syarikat penerbangan ini.

Jemaah Umrah dari Indonesia sedang transit di Kuala Lumpur.
Kami perhatikan, ramai Jemaah Indonesia yang pergi ke Tanah Suci melalui Kuala Lumpur. Malah, tak keterlaluan jika Myself katakan ada lebih ramai Jemaah Indonesia berada dalam pesawat yang kami naiki berbanding Jemaah Malaysia sendiri. Dari maklumat yang kami perolehi, ini adalah disebabkan tambang penerbangan Saudia ke Jeddah dari Kuala Lumpur jauh lebih murah berbanding tambang penerbangan dari Jakarta.

Pesawat Boeing 777-300ER Saudi Arabian Airlines yang membawa kami dari Kuala Lumpur ke Jeddah.
Bagasi sedang diisi ke dalam pesawat
Syukur Alhamdulillah kerana cuaca di KLIA sewaktu kami berlepas ke Jeddah petang itu baik sekali walaupun pada ketika ini kelazimannya hujan lebat turun hampir setiap petang setiap hari

Panggilan masuk untuk pesawat kami, Saudi Arabian Airlines SV 835
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah memakan masa hampir 9 jam. Banyak turbulence yang dialami sepanjang penerbangan ini, namun syukurlah tak ada yang sampai menggegarkan jantung.

Permandangan di dalam pesawat
Bersedia menuju ke Tanah Suci
Maklumat penerbangan
Doa Musafir dibaca sebelum pesawat berlepas ke udara
Meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Jeddah
Pesawat membelok di Pulau Sumatera
Sajian penerbangan disediakan dua kali dalam penerbangan ini. Sajian pertama adalah sewaktu kami melintasi Teluk Bengal menghala ke India. 

Sajian penerbangan dihidang sewaktu pesawat sedang terbang merentasi Teluk Bengal.
Myself sering mendengar dan membaca komplen dari ramai orang yang mengatakan makanan dalam sajian Saudia dikategorikan sebagai fail. Tapi tidak begitu bagi Myself. Myself rasa makanan yang dihidangkan sedap dan menyelerakan.

Pramugari Arab yang bernama Zara ini cukup fasih bertanya kepada setiap penumpang: "Ayam, Daging, Ikan?". Tapi katanya, itu sajalah perkataan Bahasa Melayu yang dia tahu.
Sajian penerbangan
Menikmati sajian penerbangan
Untuk kemudahan, Husband dah siap berpakaian Ihram lengkap sebelum naik pesawat di KLIA lagi.
Penerbangan Saudia juga mempunyai surau kecil di dalam pesawat untuk kemudahan penumpangnya bersolat. Myself tak pasti berapa banyak surau yang disediakan sebenarnya di dalam pesawat yang besar ini. Namun yang pasti ada sebuah surau yang terletak tidak jauh dari tempat duduk kami di bahagian ekor pesawat ini. Satu opsyen lain yang boleh dibuat adalah dengan bersolat di tempat duduk masing-masing. Agama Islam sangat mudah, jadi tak ada alasan untuk tidak bersolat walau kita sedang di dalam perjalanan.

Ruang solat disediakan di bahagian belakang pesawat
Pemandangan di ruang solat
Pramugari Saudia
Selfie dengan pakaian Ihram
Lampu pesawat juga dimalapkan hampir sepanjang perjalanan untuk membolehkan penumpang tidur dengan selesa. Tapi Myself tak dapat tidur dalam penerbangan ini. Jealous betul tengok Husband tidur berdengkur di sebelah kita!

Lampu pesawat dimalapkan selepas sajian penerbangan untuk membolehkan penumpang tidur dengan selesa.
Dah tiba di Sri Lanka
Pulau-pulau kecil di Lautan Hindi
Hidangan sajian kedua disediakan kira-kira sejam setengah sebelum mendarat. Hidangan yang disediakan lebih ringan berbanding sajian pertama tadi.

Sajian penerbangan kedua
Ketika ini juga, kapten pesawat membuat pengumuman yang kami akan melintasi Miqat Qarnul Manazil dalam masa sejam lagi. Pada masa yang sama, para Mutawwif yang berada di dalam pesawat, termasuklah Mutawwif kami bergerak mengingatkan jemaah masing-masing untuk bersedia bagi melafazkan niat ihram. Walau bagaimanapun, kami diingatkan supaya hanya membaca niat ketika pesawat sedang berada tepat di Qarnul Manazil bagi mengelak dari dikenakan dam kerana tidak berniat di Miqat.

50 minit lagi...
Ketika ini lagi 28 minit nak sampai ke Miqat Qarnul Manazil
Pengumuman yang jelas dibuat oleh kapten pesawat dan anak-anak kapal sewaktu pesawat melintas Miqat Qarnul Manazil. Ketika ini juga, para Mutawwif akan bergerak mendapatkan ahli jemaah masing-masing untuk membantu mereka melafazkan Niat Ihram dengan betul, terutama bagi mereka yang terpaksa membuat Niat Ihram Bersyarat.

Lafaz Niat Ihram Umrah
Selepas terbang selama 8 jam 40 minit dan setelah 15 minit meninggalkan Miqat Qarnul Manazil, pesawat Saudia kami mendarat dengan selamat di King Abdulaziz International Airport di Jeddah pada hampir pukul 11 malam waktu tempatan.

Selamat tiba di Jeddah.
Penumpang biasa yang tidak masuk ke Jeddah menggunakan Visa Umrah dibenarkan meninggalkan pesawat terlebih dahulu kerana mereka akan dibawa dengan bas ke Terminal Utama. Penumpang yang masuk menggunakan Visa Umrah pula hanya dibenarkan keluar dari pesawat selepas dari itu kerana kami dibawa ke Terminal Haji.

Turun dari kapalterbang
Muka keletihan selepas terbang lebih 8 jam nak sampai ke sini.
Bas yang membawa penumpang ke Terminal Haji.
Dalam bas airport menuju ke Terminal Haji.
Urusan imigresen di Terminal Haji, King Abdulaziz International Airport di Jeddah sangat lancar dan teratur. Namun disebabkan ramai jemaah umrah dari negara lain yang tiba serentak dengan pesawat kami, ia tetap mengambil masa untuk beratur melepasi pemeriksaan imigresen tersebut. Tidak seperti di masa lalu, cap jari setiap jemaah dan gambar mereka diambil secara elektronik sewaktu melalui pemeriksaan passport.

Pejabat Saudi Customs di King Abdulaziz Airport
Perkara seterusnya yang perlu dilaksanakan ialah mengambil bagasi kami dari conveyor belt. Di sinilah kumpulan jemaah kami diuji apabila seorang ahli jemaah kehilangan beg.

Mengambil bagasi di conveyor belt.
Mujurlah Mutawwif kami yang juga seorang graduan dari Universiti Islam Madinah dan sangat fasih berbahasa Arab serta mahir dengan selok-belok budaya kerja orang Arab tahu apa yang perlu dilakukan. Dengan menggunakan kepakarannya, Ustaz Husni dapat menyalurkan masalah kami kepada pegawai airport yang tepat. Jadi usaha mengesan beg tersebut dapat dimulakan dengan segera oleh petugas di lapangan terbang. Namun begitu, kami tetap terpaksa menunggu kira-kira 3 jam sehingga beg tersebut ditemui. Rupa-rupanya beg tersebut tersesat dihantar ke Terminal Utama dan bukan ke Terminal Haji seperti yang sepatutnya.

Menunggu pencarian bagasi yang hilang.
Sewaktu menunggu beg yang hilang dibawa kembali ke Terminal Haji juga, Mutawwif kami membantu menguruskan seorang jemaah Umrah Malaysia dari kumpulan lain yang terpisah dari kumpulannya. Tak mudah juga nak menguruskan pakcik ini kerana ingatannya tidak lagi kuat disebabkan usianya. Namun mujurlah dia memakai Tag Pengenalan diri yang dibekalkan oleh agen Umrahnya. Dengan menghubungi nombor kecemasan di Malaysia yang tertera pada tag tersebut, barulah Mutawwif kami dapat menghubungi Mutawwif kumpulan pakcik tersebut. Rupa-rupanya semua ahli kumpulan pakcik ini telahpun keluar dari kawasan penumpang Terminal Haji.

Tempat scanning bagasi sebelum keluar dari kawasan penumpang Terminal Haji.
Disebabkan pakcik ini juga nampak cemas dan takut-takut, ahli-ahli kumpulan kami membantu melayan dan menenangkan pakcik ini sambil Mutawwif kami mencari jalan menghubungi Mutawwif kumpulan beliau yang sebenar. Setelah Mutawwif pakcik ini berjaya dihubungi, Mutawwif kami membantu mengiring pakcik ini keluar dari kawasan penumpang Terminal Haji untuk diserahkan kepada Mutawwif beliau. Terharu sungguh bila melihat pakcik ini bergenang air mata mengucapkan terima kasih kepada kami sewaktu diberitahu yang Mutawwif beliau telah menunggu di luar kawasan penumpang.

Pintu keluar dari kawasan penumpang Bangunan Terminal Haji.
Kawasan menunggu di Terminal Haji. Masa datang menunaikan Haji dulu, Terminal ini penuh sesak dengan Jemaah Haji yang datang dari seluruh dunia.

HARI KEDUA (1)

Part 3: Menuju ke Makkah Al Mukarramah

Selepas selesai semua urusan di Terminal Haji, kami dibawa keluar dari bangunan untuk mendapatkan bas yang menanti. 

Menolak bagasi ke Tempat Perhentian Bas.
Bas yang akan membawa kami ke Makkah
Memasukkan bagasi ke perut bas
Snek untuk melapik perut.
Perjalanan dari Jeddah ke Makkah memakan masa kira-kira sejam setengah. Disebabkan keletihan dan tak dapat tidur dengan nyenyak di dalam pesawat tadi, Myself tertidur sepanjang perjalanan dari Jeddah sehingga ke Makkah. Myself hanya tersedar ketika bas telah pun masuk ke kota Makkah dan pemandangan pertama yang Myself lihat adalah Menara Jam berhampiran Masjidil Haram.

Tiba di Makkah
Kota Makkah sedikit sunyi ketika ini kerana telah masuk waktu Solat Subuh
Satu lagi suasana di kota Makkah sewaktu kami tiba.
Kami tiba di Makkah sewaktu azan Subuh sedang berkumandang. Oleh yang demikian, jalan masuk ke hotel kami yang terletak berhampiran Masjidil Haram ditutup ketika itu.

Jalan menuju ke hotel yang ditutup oleh polis untuk kegunaan pejalan kaki menuju ke Masjidil Haram.
Semua kenderaan terpaksa berpatah balik di sini kerana jalan telah ditutup.
Mutawwif kami meminta pemandu bas berhenti di sebuah masjid berdekatan untuk membolehkan kami menunaikan Solat Subuh di sana.

Masjid kecil berhampiran Masjidil Haram di mana kami menunaikan Solat Subuh.
Jalan-jalan di sekitar Masjidil Haram hanya dibuka setengah jam selepas solat berakhir. Ketika itu barulah bas kami dibenarkan masuk ke jalan yang menuju ke hotel penginapan kami yang bernama Hotel Burj Al Sultan.

Hotel Burj Al Sultan
Selepas check-in ke bilik masing-masing dan bersarapan di dewan makan di bangunan hotel, kami diiring oleh Mutawwif kami ke Masjidil Haram yang terletak berdekatan untuk memulakan Umrah kami yang pertama.


 Bersambung ke Bhg. 2 ...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):