Saturday, 6 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 6

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 6: Ziarah Makkah (3)
WADI MUHASSIR, MINA, JABAL NUR & JAARANAH

HARI KEEMPAT (2)

Part 30: Wadi Muhassir

Wadi Muhassir adalah sebuah lembah yang terletak di antara Mina dan Muzdalifah. Jemaah Haji yang hendak melontar jamrah dan bermalam di Mina akan melalui lembah ini. Sejarah tempat ini sangat terkenal di kalangan Umat Islam kerana di sinilah lokasi di mana tentera Abrahah yang hendak menyerang Kaabah dihancurkan oleh Allah SWT dengan batu-batu dari neraka Sijjil yang dibawa oleh Burung Ababil. Sunnah untuk berjalan dengan cepat atau mempercepatkan kenderaan ketika melalui Wadi Muhassir.

Wadi Muhassir

KISAH TENTERA BERGAJAH ABRAHAH

Abrahah adalah Gabenor yang mentadbir Yaman yang angkuh. Dia telah mendirikan sebuah gereja yang paling besar di Yaman yang dinamakan Al-Qalis dengan harapan suku kaum Arab datang mengerjakan haji di rumah ibadatnya dan bukan ke Kaabah.

Malangnya pada satu malam, orang Quraisy telah pergi ke Al-Qalis, membuang air besar dan menyapu najisnya pada dinding Al Qalis sehingga menyebabkan Abrahah naik marah.

Abrahah telah mengerahkan tenteranya yang terdiri dari tentera bergajah yang diimport dari Afrika sebanyak 1000 ekor dan diketuai oleh seekor gajah yang sangat besar bernama Mahmud untuk menyerang Kaabah.

Penduduk Makkah hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah untuk menentukan nasib Kaabah. Mereka takut melihat gajah-gajah yang besar, sedangkan mereka hanya menunggang kuda, unta dan keldai.

Di sinilah berlakunya serangan ke atas Tentera Bergajah Abrahah
Apabila hampir tiba di Makkah, panglima Abrahah telah merampas dan membawa binatang-binatang ternakan kaum Quraisy. Dua ratus ekor unta milik datuk Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdul Mutalib turut dirampas. Maka pergilah Abdul Mutalib untuk menuntut haknya kepada Abrahah.

Abrahah terkejut apabila Abdul Mutalib hanya menuntut kembali untanya kerana sangkaannya, Abdul Mutalib ingin memohon agar Kaabah tidak diruntuhkan. Abdul Mutalib berkata, "Unta-unta itu milikku, dan Kaabah itu ada tuannya. Oleh itu serahkan semula unta-untaku. Kaabah ada Tuan yang menjaganya!" Abrahah bersetuju menyerahkan kembali unta-unta itu dan tidak mengganggu penduduk Makkah.

Pemandangan di Wadi Muhassir
Pada hari yang dirancang, Abrahah dan tenteranya berhasrat untuk menuju terus ke Kaabah. Namun gajah yang bernama Mahmud yang ditunggang oleh Abrahah tidak mahu bergerak apabila dihadapkan ke arah Kaabah sedangkan dia tidak bermasalah untuk bergerak ke arah lain. Perkara itu juga berlaku kepada gajah-gajah yang lain. Jenuh dipukul sehingga berdarah, mereka tidak juga bergerak bila dihadapkan ke Kaabah. Maka Abrahah mengambil keputusan untuk bergerak bersama tenteranya menuju ke Kaabah dengan berjalan kaki sambil membawa tukul.

Pada ketika itulah kelihatan sekelompok awan bergerak menuju ke arah mereka. Itu sebenarnya adalah burung-burung Ababil yang membawa batu dari neraka untuk dijatuhkan ke atas tentera Abrahah. Setiap batu kecil yang menimpa tentera Abrahah ada tertulis nama-nama mereka dan akan menanggalkan daging-daging mereka. Satu persatu tentera Abrahah gugur mati.

Abrahah yang melihat keadaan itu mula berlari ke belakang, namun dia tidak terkecuali dari terkena bisa hujan batu yang hanya dibawa oleh Burung Ababil. Tubuh Abrahah menjadi sasaran anak-anak batu menyebabkan dia cedera parah.

Abrahah dibawa keluar dari Makkah bersama-sama tenteranya, sedangkan jari-jemarinya gugur sebatang demi sebatang sehingga sampai ke Sana'a, ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan jantungnya. Tahun berlakunya peristiwa ini dinamakan Tahun Gajah.

Disunatkan berjalan cepat atau mempercepatkan kenderaan ketika melalui wadi ini.
Sewaktu Nabi Muhammad SAW melalui lembah ini ketika menunaikan Haji, baginda menggerakkan unta betinanya dan mempercepatkan kelajuannya. Tidak hanya di Wadi Muhassir, Nabi Muhammad SAW selalu melakukan hal yang sama ketika melalui tempat yang dulunya merupakan tempat turunnya azab atau murka Allah SWT.

Di atas wadi ini sekarang telah dibina sebuah jambatan untuk menghubungkan Muzdalifah dengan Mina.

Jambatan yang melintasi Wadi Muhassir
Pemandangan dekat jambatan
Melintasi jambatan menuju ke Mina.

Part 31: Mina

Kita tahu yang kita telah sampai ke Mina bila melihat khemah-khemah kekal yang berwarna putih berceracak dengan begitu banyak sekali. Khemah-khemah yang bersifat kekal ini dibuat dari bahan fibreglass dan dilengkapi dengan air-cond di dalam Musim Haji. 

Permulaan kawasan Mina
Mina
Khemah-khemah ini nampak sunyi sekali di luar Musim Haji begini.
Beginilah pemandangan di Khemah Haji Mina sewaktu kami menunaikan Haji pada tahun 2006. Nak melangkah keluar dari khemah pun susah ketika itu kerana suasana yang teramat sesak.
Pasti Husband sedang teringat kenangan berkhemah di sini sewaktu menunaikan Haji dulu.
Khemah-khemah ini dibina dengan bersifat kekal dan dibuat dari bahan fibreglass selepas satu kebakaran besar pada tahun 1997 yang membunuh ramai Jemaah Haji dari benua India. Punca kebakaran adalah letupan gas memasak.
Di kawasan Mina juga kita boleh melihat sebuah bukit yang dinamakan Jabal Qurban (Al Manhar). Di sinilah dikatakan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail AS berlaku. Ketika Nabi Ibrahim AS meletakkan pisau di leher Nabi Ismail AS, tiba-tiba sahaja pisau yang diasah tajam itu tak dapat menghiris. Ketika itulah muncul seekor qibas besar yang Allah SWT arahkan kepada Nabi Ibrahim AS untuk disembelih bagi menggantikan anaknya.

Bukit di Mina ini dinamakan Jabal Qurban
Di sinilah dikatakan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail AS berlaku.
Amalan wajib bagi Jemaah Haji di Mina adalah bermalam/mabit dan melontar ketiga-tiga Jamrah: Ula, Wusta dan Aqabah. Ketiga-tida jamrah ini pada masa dahulu adalah tempat Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS melontar Syaitan dengan batu sewaktu dia cuba menggoda kedua-dua mereka dari melaksanakan amalan korban yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Pemandangan tempat melontar jamrah di Mina. Dari kanan ke kiri: Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah.
Pemandangan Jamrah sewaktu kami menunaikan Haji pada tahun 2006 ~ hanya setinggi dua tingkat dan Jemaah Malaysia dinasihatkan untuk melontar dari tingkat atas.
Kalau diertikan secara harfiah, Mina bermaksud 'tumpahan darah binatang' yang disembelih, sesuai dengan kenyataan bahawa lebih sejuta korban yang terdiri dari unta, lembu, biri-biri dan kambing disembelih di sini setiap tahun.

Hospital Al-Jisr di Mina
Satu lagi keistimewaan yang dirasakan oleh setiap Jemaah Haji adalah tentang kemampuan Mina untuk menampung tidak kurang dari 2 juta jemaah yang bertumpu di sini menjelang tarikh 10 Zulhijjah untuk melontar jamrah pada esok paginya. Nabi pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Mina itu seperti rahim, yang mana ketika terjadi kehamilan, diluaskan oleh Allah SWT". Oleh yang demikian, tak perlu kita khuatir tentang kehabisan atau tidak mendapat tempat di Mina pada waktu Haji.

Hotel tempat kediaman VIP di Mina
Pemandangan Jamrah dari dekat
Yang macam menara itu adalah tempat pendaratan helikopter sewaktu kecemasan.
Menghampiri Jambatan Jamrah yang kini telah dibina 5 tingkat.
Pemandangan ketika melalui di bawah Jambatan Jamrah.
Penghujung Mina di sana.
Terowong King Fahd
Pemandangan dekat Terowong King Fahd
Pemandangan di dalam terowong.
Sempadan hujung Mina

Part 32: Masjid Aqabah

Berhampiran Jamrah ini ada sebuah masjid yang dinamakan sebagai Masjid Bai'ah Aqabah. Di sinilah berlakunya perjanjian setia (bai'ah) dari dua kumpulan penduduk Madinah (Perjanjian Aqabah Pertama dan Kedua) yang menerima ajaran Islam dan seterusnya membawa kepada penghijrahan Nabi SAW ke Madinah.

Masjid Bai'ah Aqabah
Walaupun kami dah beberapa kali datang ke kawasan Jamrah ini, ini adalah kali pertama kami melihat Masjid Bai'ah Aqabah dari dekat.
Satu lagi pemandangan Masjid Bai'ah Aqabah.
Pintu masuk ke masjid.
Pemandangan sewaktu meninggalkan Jamrah.
Stesen akhir perkhidmatan LRT di Mina

Part 33: Jabal Nur

Jabal Nur yang berketinggian 200 meter dikelilingi gunung, bukit batu dan jurang. Ia terdiri dari batu yang gersang tanpa tumbuhan. Keadaan di puncaknya senyap dan sunyi, kerana itulah Nabi Muhammad SAW menjadikan Gua Hira' tempat untuk baginda menyepi dan menyendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah. Myself dan Husband tak pernah mendaki Bukit ini, tetapi kami pernah diberitahu yang kita akan dapat memandang kota Makkah dari celahan batu di dalam gua ini.

Jabal Nur

TURUNNYA WAHYU YANG PERTAMA

Beberapa tahun sebelum dan selepas bernikah dengan Khadijah binti Khuwailid, Nabi Muhammad SAW sering menyendiri dan menyepi untuk melakukan tahannuts (bertafakur), ibadah malam yang sering dilakukan baginda di gua ini. Baginda biasanya pergi dengan hanya membawa bekal makanan secukupnya. Apabila bekalan tersebut habis, baginda akan kembali ke rumah untuk mengambil bekalan untuk hari-hari berikutnya.

Pada malam diturunkan wahyu, Malaikat Jibril muncul di Gua Hira' dengan menunjukkan wajah aslinya, di mana dunia semesta dan alam seluruhnya seolah berada dalam genggamannya. Teramatlah besarnya Malaikat Jibril sehingga Nabi merasa ketakutan. 

Malaikat Jibril memeluk Nbi Muhammad SAW sambil berkata, "Bacalah". Jawab Nabi, "Saya tak tahu membaca." Jibril menyuruh Nabi membaca sebanyak tiga kali, dan setiap kali juga, Nabi menjawab baginda tak tahu membaca.

Jibril lalu membacakan wahyu yang pertama (Surah Al Alaq: Ayat 1-5) yang bermaksud: "Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya".

Gua Hira' terletak di puncak Jabal Nur
Pendakian ke Gua Hira' lazimnya mengambil masa lebih sejam.
Peristiwa itu terjadi pada tarikh 17 Ramadan (6 Ogos 610). Setelah peristiwa itu berlaku Nabi Muhammad SAW pulang ke rumah dan meminta Khadijah untuk menyelimutinya. Khadijah menyelimuti dan mendampingi suaminya sehingga hilang rasa takut baginda.

Setelah mendengar kisah yang sangat ganjil yang dialami oleh Nabi itu, Khadijah membawa Nabi bertemu dengan sepupunya, Waraqah bin Naufal yang merupakan seorang pemeluk agama Nasrani di zaman jahiliyah. Beliau pandai menulis kitab dan tahu bahawa Nabi Muhammad akan diangkat menjadi Nabi dan Rasul sebagaimana Musa AS menerima wahyu Allah SWT melalui Malaikat Jibril.

Pendaki-pendaki ke Gua Hira'
Waraqah turut berkata, "Alangkah baik seandainya aku masih muda di saat-saat kamu dibangkitkan menjadi Nabi. Juga alangkah baik sekiranya aku masih hidup di saat-saat kamu diusir oleh kaummu".

Rasullullah SAW bertanya, "Apakah mereka akan mengusirku?"

Waraqah menjawab, "Ya, tidaklah setiap Nabi yang bangkit membawa tugas sepertimu, melainkan pasti akan dimusuhi. Seandainya aku masih hidup di zamanmu, nescaya aku akan tetap membela dan menolongmu."

Tetapi untuk sela masa yang panjang, tidak ada wahyu yang turun sehinggalah wahyu yang seterusnya. Pada saat itu, Waraqah bin Naufal meninggal dunia, jadi dia tidak sempat menyaksikan penolakan kaum kafir Quraisy kepada Rasullullah SAW.

Part 34: Jaaranah

Perjalanan seterusnya adalah menuju ke Jaaranah yang terletak 16 km dari Makkah. Dalam perjalanan ke sana, kami melalui sekali lagi kawasan Syara'ik yang menempatkan perkuburan bagi Jemaah dari Malaysia yang meninggal dunia di Makkah.

Unta naik pick-up.
Stadium di Syara'ik.
Pemandangan umum di Syara'ik. Tanah perkuburan juga tak kelihatan dari sini.

JAARANAH

Seperti Tanaim dan Hudaibiyah, Jaaranah adalah juga miqat bagi penduduk Makkah. Ia juga dikatakan Miqat yang paling disukai oleh Rasullullah SAW. Nama Jaaranah adalah diambli sempena nama seorang wanita yang mengabdikan diri menjaga dan membersihkan masjid ini.

Masjid Jaaranah
Kedai-kedai di tepi masjid
Myself dan Husband bercadang membuat Umrah Kedua pada hari ini. Tapi tak ramai ahli kumpulan kami yang nak berbuat begitu hari ini kerana ramai yang dah membuat Umrah semalam dari Tana'im. Sambil Myself dan Husband membuat persiapan Umrah di sini, mereka mengambil kesempatan berkunjung ke kedai-kedai yang banyak terdapat di tepi masjid ini.

Pemandangan di Ruang Solat Lelaki di Masjid Jaaranah.
Pemandangan di luar Ruang Solat Wanita
Pemandangan di dalam Ruang Solat Wanita. Agak sesak kerana ruang solatnya tak begitu besar berbanding dengan Ruang Solat Lelaki.
Pemandangan di Masjid Jaaranah
Jaaranah juga mempunyai kisah sejarahnya yang tersendiri. Di sini terdapat sebuah perigi yang dinamakan Bi'r Toflah. Menurut satu riwayat, di perigi ini berlaku sebuah mukjizat Rasullullah SAW sewaktu baginda dan pasukannya kehabisan air setelah selesai Perang Hunain.

Rasullullah SAW bersama para pejuang Islam berhenti di sini untuk membahagi-bahagikan hasil rampasan perang. Oleh kerana bekalan air telah kehabisan dan tidak ada perigi di sini, Rasullullah SAW memukul tongkatnya dan serta-merta keluarlah air. Air perigi ini dipercayai boleh menyembuhkan penyakit, tetapi perigi ini kini telah ditutup oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengelakkan perkara-perkara khurafat.

Perjalanan pulang ke Makkah

Part 35: Pulang Ke Makkah

Perjalanan pulang ke Makkah melalui kawasan Mina sekali lagi.

Tangki Simpanan Air. Air minuman di Arab Saudi umumnya adalah air laut yang disuling.
Empangan ini memang akan mengalirkan air kalau hujan lebat.
Terowong masuk ke Mina
Melintasi Mina sekali lagi.
Khemah-khemah haji di Mina
Kalau tak salah, kawasan ini dinamakan Aziziyah.
Makkah Clock Tower mengintai dari kejauhan.
Sewaktu di Makkah, kami banyak melihat restoran ayam segera yang dinamakan Al Baik. Walaupun tak berkesempatan nak mencuba, kami diberitahu ayam Al Baik ini sangat sedap.

Pemilik restoran ini yang berasal dari Palestin pada masa dahulu enggan membuka cawangan restorannya di luar dari Makkah dan Madinah. Ini adalah kerana dia sering menyalurkan pendapatannya dari restoran ini untuk membantu umat Islam di Palestin, dan dia ingin memastikan wang yang diperolehinya bagi tujuan tersebut hanya berasal dari orang Islam semata-mata. Pemilik ini bimbang jika dia membuka restorannya di luar Tanah Haram, ada wang tersebut yang datang dari pemilikan orang kafir. Kerana itulah juga kami diberitahu, restoran ini sangat jarang dijumpai di luar Tanah Haram.

Tapi itu cerita dululah... Sekarang Restoran Al Baik ini dah ada banyak cawangan. Bukan sahaja restoran ini dah berkembang di Arab Saudi, malah cawangan mereka juga ada di Malaysia. Mungkin pengurusan restoran ini juga dah bertukar sekarang. Walau apapun, kita patut berbangga dengan  semangat pemilik asal Restoran Al Baik ini.

Restoran Al Baik
Di masjid inilah kami berhenti untuk Solat Subuh sewaktu mula tiba di Makkah

  Bersambung ke Bhg. 7...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):