Tuesday 16 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 16 (Madain Saleh 1)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 16: Ziarah Madain Saleh (2)
JEJAK KAUM TSAMUD

HARI KESEMBILAN (2)

Part 72: Jejak Kaum Tsamud

Kota bekas peninggalan umat Nabi Saleh, iaitu kaum Tsamud di Al-Hijr (Madain Saleh), kini menjadi sebuah kota warisan dunia. Madain Saleh adalah sebuah tapak sejarah yang memiliki 132 kamar dan kuburan. Tempat ini terletak kira-kira 400 km di utara Madinah. 

Kota lama peninggalan Kerajaan Ottoman yang membina Keretapi Hijaz di kawasan ini.
Di sanalah tempat kediaman Kaum Tsamud.
Rupabumi di kawasan kediaman Kaum Tsamud di Madain Saleh sangat mirip dengan rupabumi di Petra, Jordan yang pernah kami kunjungi dulu. Ini bukanlah menghairankan kerana kedua-dua Madain Saleh dan Petra dihuni oleh Kaum Tsamud yang sama. Mengikut fakta sejarah, kedua-dua kota ini terletak di negara yang sama pada masa dahulu.

Pemandangan lebih dekat rumah kediaman Kaum Tsamud
Kaum Tsamud hidup pada sekitar 200 SM sehingga abad 200 Masehi (abad ke-2). Peninggalan yang masih dapat dilihat di sini termasuklah ukiran dan pahatan pada tembok, menara, serta sejumlah saluran dan perigi air.

Jalan Off-Road untuk masuk ke kawasan kediaman Kaum Tsamud.
Jalan ini boleh dimasuki oleh kenderaan.
Rumah ini mungkin kediaman rakyat biasa kerana ukirannya kelihatan sangat simple.
Kaum Tsamud memahat gunung untuk dijadikan sebagai tempat tinggal. Mereka juga menanam tanam-tanaman untuk mendapatkan hasil tuaian yang sangat banyak. Dengan demikian, mereka hidup senang dan penuh dengan kemewahan. 

Sebuah istana Tsamud yang diukir dari batu gunung.
Binaannya sangat mengkagumkan kerana ukirannya sangat lurus dan licin, macam plaster yang ditampal pada bangunan-bangunan moden pada hari ini.
Kesenangan dan kenikmatan memungkinkan syaitan untuk menyesatkan mereka. Melalui kesenangan itu, syaitan membuat kaum Tsamud dan manusia pada umumnya menjadi lupa kepada Allah. Lama-kelamaan, mereka mengingkari bahwa nikmat itu datang dari Allah SWT. Akhirnya, mereka benar-benar tersesat dengan menyembah selain Allah. Tidak hanya menyembah berhala, mereka juga suka berbuat kerosakan dan bersifat bengis. 

Menuju ke Qasr Al Bint di depan sana.
Tidak seperti di Petra dulu, bas boleh berhenti betul-betul di depan Qasr Al Bint ini.
Untuk melihat kehebatan senibina Kaum Tsamud, kami dibawa melawat ke sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Qasr Al Bint. Ukiran batu ini adalah istana puteri raja pada masa dahulu. Selain menjadi tempat kediaman mewah Kaum Tsamud, kawasan ini juga turut menempatkan sebuah ruang perkuburan.

Qasr Al Bint ini dibina sebagai istana kediaman puteri-puteri raja.
Tangga naik ke atas istana.
Ada papan keterangan mengenai Qasr Al Bint di sini.
Penerangan ditulis dalam bahasa Inggeris dan Arab.
Ukiran unik di Qasr Al Bint
Senibina Tsamud
Bandingkan saiz istana yang diukir dengan orang yang datang melawat.
Kenangan di Qasr Al Bint di Madain Saleh
Tidak seperti di Petra dulu, bas boleh dipandu masuk sehingga ke kawasan perumahan Tsamud di sini. Kita juga boleh masuk ke dalam binaan-binaan Tsamud ini untuk meninjau keadaan di dalamnya.

Pintu masuk ke sebuah rumah Tsamud
Ukiran di pintu masuk ke rumah Tsamud
Pemandangan di dalam rumah Tsamud. Bahagian dalam rumah juga diukir licin dan cantik.
Ini pula adalah tempat pengebumian jenazah orang Tsamud. Kita intai dari luar saja... seram nak masuk ke dalam.

Part 73: Nabi Saleh Berdakwah Kepada Kaum Tsamud

Kaum Tsamud melakukan perbuatan syirik dengan menyembah berhala. Oleh karena itu, Allah SWT mengutus orang yang berasal dari kaum Tsamud sendiri untuk mengajar kebenaran dan jalan yang lurus. Dia adalah Nabi Saleh AS yang memiliki akhlak yang baik.


Di kawasan inilah Nabi Saleh AS diutuskan untuk berdakwah kepada Kaum Tsamud.
Melawat ke tempat perhimpunan Kaum Tsamud pada masa dahulu.
Allah memerintahkan Nabi Saleh untuk mengajak kaum Tsamud untuk menyembah Allah semata-mata. Nabi Saleh berkata, “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selain Dia. Dia telah menciptakanmu dari bumi (tanah dan menjadikanmu pemakmurnya), kerana itu mohonlah ampunan kepadaNya, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku sangat dekat (rahmatNya) dan memperkenankan (doa hambaNya)” [Al Quran Surah Hud : Ayat 61]. Kaum Tsamud menolak seruan Nabi Saleh. Mereka meragukan kenabian dan kerasulan Nabi Saleh. Nabi Saleh berusaha terus berdakwah agar kaumnya mengikuti ajaran-Nya. 

Kawasan ini dinamakan Diwan.
Pada masa dahulu, Diwan juga berfungsi sebagai tempat pemujaan berhala.
Berhala-berhala di sini tidak wujud lagi kerana dikatakan telah dimusnahkan oleh Umar Al Khattab, atas perintah Nabi Muhammad SAW.
Tulisan purba Tsamud. Adalah dikatakan bahawa tulisan Arab sekarang berasal dari evolusi tulisan Tsamud ini.
Pemandangan di dalam Diwan.
Pada suatu ketika, kaum Tsamud berkumpul di suatu tempat. Mereka membicarakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Saleh. Hasil pembicaraan mereka ialah meminta Nabi Saleh untuk membuktikan kenabiannya. Kaum Tsamud telah meminta Nabi Saleh menunjukkan mukjizatnya dengan cara mengeluarkan seekor unta betina dari batu besar.

Seperti di Petra, lorong sempit di kawasan Diwan ini juga dinamakan As Siq.
Pemandangan bahagian atas As Siq.
As Siq di Madain Saleh jauh lebih pendek berbanding As Siq di Petra, Jordan.
Pemandangan di penghujung As Siq.
Satu lagi pemandangan di penghujung As Siq.
Seram juga berada di sini kerana kawasan ini pernah berfungsi sebagai tempat pemujaan Kaum Tsamud pada masa dahulu.
Kaum Tsamud menyangka Nabi Saleh pasti tak mampu memenuhi permintaan mereka. Mereka tidak menyedari bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Nabi Saleh AS bersedia memenuhi permintaan mereka dengan suatu syarat. Jika Nabi Saleh mampu memenuhinya, kaum Tsamud harus menerima ajaran Nabi Saleh. Kaum Tsamud menyanggupinya.

Bekas sebuah kuil Tsamud pada masa dahulu di hujung As Siq.
Pemandangan kuil dengan lebih dekat.
Setelah itu, Nabi Saleh berdoa. Batu besar pun retak dan terbelah. Dari batu yang terbelah, keluarlah seekor unta betina sesuai dengan permintaan kaum Tsamud. Kaum Tsamud terkejut dengan kejadian tersebut. Seketika mereka terdiam, kemudian mereka terbahagi menjadi dua pihak. Sebahagian dari mereka mahu mengakui kenabian Nabi Saleh. Namun, sebagian besar yang lain tidak mengakuinya. Kaum Tsamud mengingkari janji mereka, mereka tetap saja berada dalam kesesatan, padahal mereka telah melihat tanda-tanda kekuasaan Allah.

Pemandangan di luar kawasan Diwan dan As Siq.
Dari batu inilah dikatakan seekor unta betina keluar sebagai mukjizat Nabi Salleh.
Pemandangan Batu Unta dari depan. Batu yang terpecah kat depan tu pun nampak macam kepala unta.
Bandingkan saiz batu ini dengan orang yang datang berkunjung.
Pemandangan keseluruhan kawasan mukjizat Nabi Salleh. Diwan di mana Kaum Tsamud berkumpul untuk membuat rancangan jahat mereka terletak di sebelah kiri manakala batu yang pecah mengeluarkan unta mukjizat Nabi Salleh AS terletak di sebelah kanan.
Kenal tak siapa yang sedang berposing di situ?

Part 74: Azab Bagi Kaum Tsamud 

Nabi Saleh meminta kaum Tsamud untuk memberikan unta giliran untuk meminum air di telaga mereka sehari penuh. Sementara itu, mereka boleh mendapatkan giliran air minum pada hari berikutnya. Unta Nabi Saleh juga perlu dibenarkan memakan rumput walau di mana sekali pun. 


Arah ke telaga unta Nabi Saleh AS.
Nabi Saleh memerintahkan kaum Tsamud untuk tidak mengganggu unta tersebut. Jika ia diganggu, azab Allah akan menimpa mereka. Kaum Tsamud tidak menyedari bahawa unta itu sebenarnya adalah suatu ujian bagi mereka. Allah hendak menguji keimanan mereka kepadaNya. 

Dalam surat Al-Qamar Ayat 27, Allah berfirman: “Sesungguhnya kami akan mengirimkan unta betina sebagai cubaan bagi mereka, maka tunggulah mereka dan bersabarlah (Saleh)”. Sebahagian dari mereka mematuhi perintah Nabi Saleh, sebahagian yang lain enggan mematuhinya. 

Pada suatu hari, mereka bersepakat untuk membunuh unta Nabi Saleh. Ada sembilan orang yang bertanggung jawab dalam pembunuhan unta Nabi Saleh. Di antaranya adalah Qadar bin Salaf dan Mushra bin Muhraj. Mushra melempar lembing yang kemudian mengenai kaki unta. Unta pun terjatuh. Kemudian, Qadar menyembelih unta tersebut dengan menggunakan pedangnya. Kaum Tsamud bergembira dengan penyembelihan unta Nabi Saleh. Mereka sama sekali tidak mengkhuatirkan azab Allah. Mereka tidak percaya bahawa Allah akan mengazab mereka.

Pemandangan Telaga Unta dari kejauhan.
Telaga unta ini juga masih ada di Madain Saleh. Kami walau bagaimanapun hanya melihat telaga ini dari jauh sahaja kerana kawasan tersebut ditutup kepada pengunjung. Walau bagaimanapun, Myself ada terjumpa beberapa gambar telaga ini di internet untuk ditunjukkan di sini.

Telaga ini sangat dalam. Menurut riwayatnya, walaupun ia sangat dalam, telaga ini akan kering bila airnya diminum oleh unta Nabi Saleh. Kerana itulah Kaum Tsamud sangat marah kepada unta tersebut dan berazam untuk membunuhnya.
Telaga ini dipasang dengan pagar penghadang bagi tujuan keselamatan.
Kaum Tsamud mencabar Nabi Saleh untuk mendatangkan Azab. “Wahai Saleh! Datangkanlah azab yang telah kamu janjikan kepada kami sekiranya kamu benar-benar utusan Allah", kata kaum Tsamud. Nabi Saleh sangat sedih membayangkan bencana yang akan menimpa kaumnya. Nabi Saleh berkata, “Bersukarialah kamu sekalian selama tiga hari sebelum azab menimpa kamu”. 

Pada hari Khamis, Allah menghujani mereka dengan batu-batu. Wajah mereka berubah menjadi kekuningan. Pada saat itu, pengikut Nabi Saleh naik ke atas gunung untuk menghindari bencana. Pada saat seluruh pengikut Nabi Saleh berada di puncak gunung, tiba-tiba gunung menjadi tinggi menyentuh awan. Burung pun tidak mampu terbang mencapai puncak gunung.

Pada hari Jumaat, wajah kaum Tsamud yang ingkar berubah menjadi merah. Mereka menganggap bahawa hari pertama dan hari kedua merupakan kematian bagi mereka. Oleh kerana itu, pada hari ketiga mereka bersukaria. Mereka menganggap hari kematian mereka telah berlalu, padahal pada hari itu azab bagi mereka akan datang. 

Pada hari itu, wajah mereka berubah menjadi hitam. Kaum Tsamud masih menunggu azab yang dijanjikan. Tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat menakutkan dari langit. Bunyi itu disertai dengan gempa bumi yang kuat. Demikian cepatnya mereka dihancurkan oleh gempa itu. Mereka hancur lebur tanpa bekas, seakan-akan mereka tidak pernah ada. Tidak seorang pun yang selamat dari azab Allah kecuali yang beriman kepada-Nya


 Bersambung ke Bhg. 17...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):