Saturday, 13 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 13

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 13: Ziarah Madinah (2)
MASJID KHANDAQ, PASAR KURMA & MASJID GHAMAMAH

HARI KELAPAN (2)

Part 63: Masjid Tujuh

Khandaq bererti 'parit'. Dalam sejarah Islam, Khandaq adalah peristiwa penggalian parit pertahanan sehubungan dengan peristiwa pengepungan kota Madinah oleh kafir Quraisy bersama dengan sekutu-sekutu mereka yang terdiri dari Yahudi Bani Nadir, Bani Ghathfan dan lain-lainnya.

Jalan ini dibina di atas bekas Parit Perang Khandaq
Pada saat Rasulullah SAW mendengar kafir Quraisy bersama sekutu-sekutunya akan menggempur kota Madinah, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan para sahabat, mencari jalan untuk mempertahankan serangan tersebut.

Pada waktu itu, seorang sahabat Nabi yang bernama Salman Al Farisi memberikan saranan supaya Umat Islam  membuat benteng pertahanan berupa parit, yang mana usul tersebut telah diterima oleh Rasulullah SAW. Maka digalilah parit pertahanan tersebut di bawah pimpinan Rasulullah SAW sendiri. Peristiwa pengepungan kota Madinah ini terjadi pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah.

Parit Perang Khandaq dibina mengelilingi bukit ini.
Peninggalan perang Khandaq yang ada kini hanyalah berupa lima buah pos yang dulunya berjumlah tujuh buah semuanya. Menurut sebahagian riwayat, tempat tersebut adalah bekas pos penjagaan. Rasulullah SAW pernah singgah dan bermalam di pos-pos ini. Pos-pos ini kemudian berkembang menjadi masjid-masjid kecil yang berjumlah tujuh bangunan. Masjid-masjid inilah yang kemudian dikenali sebagai Masjid Sab’ah (Masjid Tujuh).

Masjid Tujuh
Pada hari yang ditetapkan, Allah SWT mengirim tentera Malaikat yang tidak terlihat dan mengirim angin kencang yang memporak-perandakan orang kafir sehingga mereka lari lintang-pukang. Perkara ini diceritakan di dalam Al Quran (Surah Al-Ahzab Ayat 9): "Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah SWT yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah SWT sentiasa melihat apa yang kamu lakukan". 

Untuk mengenang jasa mereka, masjid-masjid dibina dan diberi nama mengikut lokasi dan nama sahabat yang menempati pos pertahanan tersebut: Masjid Salman al-Farisi, Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Masjid Umar, Masjid Usman, Masjid Ali, Masjid Saad bin Muaz dan Masjid Fatah.

Salah sebuah runtuhan Masjid Tujuh
Dari ketujuh masjid ini, Masjid Fatah (Masjid Kemenangan) memiliki peranan yang sangat mulia. Di masjid inilah Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin dalam menghadapi pasukan Quraisy. Di lokasi ini juga Rasulullah SAW berdoa selama tiga hari berturut-turut sehingga Allah SWT mengabulkan doa Rasulullah SAW melalui kedatangan Malaikat Jibril pada hari Rabu. Jibril datang membawa berita kemenangan (Al-Fath) kaum Muslimin ke atas tentera sekutu.

Masjid Fatah

Part 64: Pasar Kurma

Kemudian kami dibawa singgah di Pasar Kurma pula. 

Pasar Kurma
Satu lagi pemandangan di Pasar Kurma
Kumpulan kami membeli-belah kurma di kedai ini.
Terdapat lebih banyak pilihan kurma di sini berbanding dengan yang dijual di Ladang Kurma tadi. Ini adalah kerana kurma yang dijual di sini bukan saja berasal dari Madinah sedangkan pusat jualan di Ladang Kurma hanya menjual kurma yang dihasilkan di ladang itu sendiri.

Kurma yang telah siap pack banyak dijual di sini.
Ada juga kurma yang dijual mengikut timbangan.
Pelbagai pilihan kurma dan kacang-kacang.

Part 65: Masjid Ghamamah 

Kami dibawa pulang ke hotel untuk membuat persediaan bagi bersolat Zohor di Masjid Nabawi selepas bershopping di Pasar Kurma. Dalam perjalanan pulang, kami melintasi Masjid Ghamamah.

Masjid Ghamamah didirikan untuk mengenang beberapa peristiwa penting di masa kehidupan Rasulullah SAW. Ia dipanggil Masjid Ghamamah (bermaksud: Awan Mendung), kerana di sinilah Rasulullah SAW melaksanakan Solat Istiskah (solat untuk meminta hujan).

Pada masa dahulu di saat kemarau melanda Madinah, penduduk kota meminta kepada Nabi untuk berdoa meminta hujan. Nabi melakukan solat meminta hujan di sini. Setelah solat, Nabi segera berdoa meminta hujan kepada Allah. Kemudian Allah mengabulkan doa Nabi. Sebaik Nabi selesai memohon, tiba-tiba Kota Madinah diselimuti oleh awan gelap dengan hujan lebat.

Masjid ini juga disebut sebagai Masjid Id (Masjid Hari Raya) karena lokasi tempat masjid ini berdiri merupakan tempat Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat hari raya di empat tahun terakhir kehidupan baginda.

Masjid Ghamamah
Di lokasi ini juga (ketika belum dibangunkan bangunan masjid) atau di lokasi yang berdekatan dengan lokasi masjid ini, Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat jenazah bagi Najasyi, Kaisar Aksum di Abbysinia (kini Ethiopia). Dalam riwayat, tersebut bahawa Najasyi adalah seorang raja di kerajaan Aksum di Ethiopia yang beragama Kristian, namun menyambut baik kedatangan kaum Muslimin yang berhijrah ke negerinya untuk menghindar dari kekejaman kafir Quraisy Makkah. Di hari kemudian, Najasyi turut berikrar masuk Islam.

Ketika Najasyi wafat, tak ada sesiapa pun yang bersedia mempimpin solat jenazah baginya. Maka Rasullullah mensolatkan jenazahnya secara ghaib. Peristiwa ini merupakan satu-satunya peristiwa di mana Rasullullah SAW melakukan solat ghaib atau solat jenazah tanpa kehadiran jenazah yang disolatkan.

Di sinilah Rasullullah membuat solat memohon hujan, solat Hari Raya di empat tahun terakhir kehidupan baginda dan melakukan Solat Ghaib untuk jenazah Raja Habsyah yang bernama Najasyi.
Tidak jauh dari Masjid Ghamamah adalah tempat yang dinamakan As Sabqa. Namanya diambil sempena kegunaan tempat tersebut yang dijadikan medan lumba kuda dan lumba lari para sahabat zaman Rasulullah pada masa dahulu. Ada sebuah masjid yang pernah didirikan di sini pada masa dahulu.

Kawasan As Sabqa
Kawasan ini sekarang terletak di permulaan terowong Jalan Abu Bakar as-Siddiq di Madinah. Masjid ini telah pun diruntuhkan dan termasuk di dalam kawasan pembinaan terowong.

Terowong di bekas kawasan Masjid As Sabqa
Masjid Ghamamah terletak sangat hampir dengan Masjid Nabawi dan juga hotel penginapan kami. Namun begitu, jika kita tidak tahu sejarah tentang masjid ini, kita pasti hanya akan berlalu di depannya sahaja seperti di dalam perjalanan Umrah kami sebelum ini. Bila dah tahu banyak sejarah begini, memang kita akan lebih menghargai kehadiran kita di kota Madinah ini.

Perjalanan pulang ke hotel.
Pemandangan dalam perjalanan pulang
Ziarah kami pada sesi pagi berakhir di sini kerana kami perlu pulang ke hotel bagi membuat persiapan untuk bersolat Zohor di Masjid Nabawi. Di sebelah petang nanti, selepas selesai Solat Asar, program ziarah akan disambung di sekitar Masjid Nabawi.

Masjid Nabawi


Bersambung ke Bhg. 14...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):