Monday, 15 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 15

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 15: Ziarah Madain Saleh (1)
PERJALANAN KE MADAIN SALEH & HIJAZ RAILWAY MUSEUM

HARI KESEMBILAN (1)

Part 69: Masjid Ijabah

Perjalanan Hari Kesembilan di Tanah Suci  adalah satu perjalanan yang sangat istimewa kerana kami akan berkunjung ke sebuah kawasan yang sangat jarang dikunjungi oleh Jemaah Umrah yang bernama Madain Saleh. Di sanalah beribu-ribu tahun dahulu sebelum Nabi Muhammad SAW dilahirkan, Nabi Saleh AS telah berdakwah kepada Kaum Tsamud.

Menunggu bas di Mubarak Silver Hotel di Madinah
Bersedia menuju ke Madain Saleh
Dalam perjalanan meninggalkan Madinah untuk menuju ke Madain Saleh, kami ditunjukkan Masjid Ijabah yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Masjid ini pada mulanya dikenali sebagai Masjid Bani Muawwiyah. Pada suatu hari, Nabi bersolat dua rakaat dengan doa yang sangat panjang dan para sahabat ikut bersolat bersama. Selesai Rasulullah SAW bersolat, baginda berpaling kepada sahabatnya dan bersabda:

"Aku telah meminta kepada Tuhanku tiga perkara, dikabulkan dua dan ditolak satu (iaitu) aku memohon kepada-Nya agar Tuhanku tidak membinasakan umatku dengan bencana kemarau maka Tuhanku mengabulkannya, dan aku meminta-Nya untuk tidak menghancurkan umatku dengan bencana tenggelam maka Tuhanku mengabulkannya, lalu aku memohon kepada Tuhanku untuk tidak terjadi derita kerana permusuhan di antara mereka, maka Tuhanku menolaknya". (HR. Muslim)

Masjid Ijabah
Satu ketika dulu, masjid ini dikenali sebagai Masjid Bani Muawwiyah

Part 70: Perjalanan Ke Madain Saleh

Madain Saleh terletak 360 km ke utara Madinah dan perjalanan dengan bas ke sana mengambil masa kira-kira 4 jam. Perjalanan kami bermula awal hari ini, pada pukul 6.45 pagi.

Peta kedudukan Madain Saleh, Madinah dan Makkah. Lokasi Taif (ditulis sebagai Al-Tayef) pun ada dalam peta ini.
Perjalanan meninggalkan Madinah
Air Terjun buatan berhampiran kawasan Jabal Uhud
Sedikit kesesakan sewaktu meninggalkan kota Madinah
Sempadan Tanah Haram Madinah
Perjalanan menuju ke Madain Saleh merentasi padang pasir seluas mata memandang. Walaupun kelihatan kosong dan gersang, suasana di luar sana bagaikan sangat sejuk. Mungkin kerana kami semakin menuju ke utara Arab Saudi. Jangan tak tahu, salji memang turun di utara Arab Saudi pada setiap musim dingin walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

Gurun yang ditempuhi menuju ke Madain Saleh.
Lebuhraya
Bandaraya Al Ula yang merupakan bandar terhampir dengan Madain Saleh terletak 264 km dari sini.
Jalanraya ke Madain Saleh cuma 2 lorong.
Bukit batu
Walaupun gurun, kelihatan macam sejuk di luar sana.
Angin kuat di padang pasir.
Tak ada gunung di sini. Hanya padang pasir seluas mata memandang.
Gunung batu dan padang pasir.
Ribut pasir
Jarak penglihatan semakin terhad disebabkan ribut pasir.
Arah ke depan menuju ke Al Ula.
Madain Saleh masih jauh lagi.
Pokok-pokok di padang pasir
Pasir berbatu di sini.
Pergunungan di utara Arab Saudi
Di tengah pemandangan padang pasir dan gunung batu yang seluas mata memandang ini, kami melalui sebuah kawasan yang bernama Abu Khrait. Mungkin ia sebuah Oasis kerana kawasannya subur dan hijau.

Kawasan Abu Khrait
Inilah agaknya yang dikatakan oasis.
Macam pemandangan kat Malaysia pulak.
Kalau kita boleh membayangkan pokok kurma di depan tu sebagai pokok sawit, memang dah sah macam Malaysia.
Semakin menuju ke utara
Semakin menghampiri Madain Saleh, semakin banyak gunung batu yang diperhatikan. Seperti yang disebut di dalam Al Quran, Kaum Tsamud tinggal di pergunungan dan mereka sangat mahir memahat gunung untuk dijadikan bangunan tempat tinggal.

Gunung-gunung batu yang menjadi tempat tinggal Kaum Tsamud pada masa dahulu.
Pasir dan pergunungan di sini semakin berwarna merah.
Pemandangan di sini sangat surreal. Ada sedikit rasa seram ketika melalui kawasan ini kerana kita tahu tempat ini pernah ditimpa azab Allah SWT pada masa dahulu.
Bentuk pergunungan batu di sini ada persamaan dengan di Petra, Jordan yang pernah kami lawati dahulu.
Kesan peninggalan Tsamud dari kejauhan.
Lagi kesan peninggalan Tsamud.
Sedikit kehijauan dekat Madain Saleh
Arah ke Madain Saleh
U-Turn kat depan untuk masuk ke Madain Saleh.
Dah hampir tiba.
Pintu masuk ke Kawasan Arkeologi Madain Saleh

Part 71: Hijaz Railway Museum

Madain Saleh adalah Tapak Warisan Dunia yang pertama diiktiraf oleh UNESCO di Arab Saudi. Ia baru saja dibuka kepada umum untuk lawatan sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, ia tidak bebas untuk dilawati pada bila-bila masa. Pengunjung perlu mendapatkan pas kebenaran lawatan sebelum masuk ke sini.

Madain Saleh adalah Tapak Warisan Dunia yang pertama diiktiraf oleh UNESCO di Arab Saudi.
Kebenaran perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum berkunjung ke sini.
Sesuatu yang tidak kami jangka sewaktu tiba di Madain Saleh ialah wujudnya sebuah muzium keretapi lama di sini. Selain menempatkan kesan tinggalan sejarah Kaum Tsamud yang menentang dakwah Nabi Saleh pada masa dahulu, Madain Saleh (yang juga dipanggil Al-Hijr) adalah salah sebuah stesen Keretapi Hijaz yang dibina oleh Kerajaan Ottoman dari Turki yang pernah memerintah kawasan ini pada masa dahulu. 

SEJARAH HIJAZ RAILWAY

Keretapi Hijaz Railway dibina dari Damsyik di Syria sehingga ke Madinah untuk kegunaan Jemaah Haji pada masa dahulu. Cadangan laluan asalnya adalah dari Damsyik sehingga ke Makkah, tetapi pembinaannya hanya sempat dilaksanakan sehingga ke Madinah sahaja.

Jalan masuk ke kawasan sejarah.
Hijaz Railway dibina oleh seorang pemerintah Ottoman yang bernama Sultan Abdul Hamid untuk memodenkan pengangkutan dan komunikasi dalam empayar pemerintahannya.

Stesen Keretapi Hijaz
Landasan keretapi sepanjang 1,300 km ini merentasi kawasan Hijaz di Arab Saudi. Dalam Bahasa Arab, "Hijaz" bermaksud "Penghalang" dan ia merujuk kepada kawasan tanah tinggi di utara Pergunungan Sarawat. Kawasan ini terletak selari dengan Laut Merah, bermula dari bandar Aqaba sehingga ke Kota Suci Makkah.

Antara cabaran terbesar yang dihadapi dalam pembinaan Keretapi Hijaz ialah topografi di sepanjang laluan dari Tabuk ke Madinah yang memerlukan pembinaan beberapa buah jambatan merentasi beberapa buah wadi, yang mana sesetengah kepanjangannya melebihi 60 meter. Sebuah terowong yang panjang pula terpaksa dibina di bawah rabung gunung, manakala sebuah lagi jambatan sepanjang 143m terpaksa dibina merentasi Wadi Al-Akhdar, yang menjadi jambatan terpanjang di jajahan Saudi. Di kawasan Al-Azzam pula, tambakan tanah dari batu terpaksa dibina untuk mengurangkan kecuraman cerun landasan keretapi.

Keretapi lama Hijaz Railway
Bangunan-bangunan di Stesen Hijaz
Pembinaan keretapi ini dibiayai melalui sumbangan dari umat Islam seluruh dunia bermula dari tahun 1901 sehingga penyiapannya pada tahun 1908. Walaupun perkhidmatannya bermula dari Damsyik, pembinaan keretapi ini dapat memendekkan perjalanan dari Istanbul ke Madinah dari 40 hari kepada hanya 5 hari. Sebelum adanya keretapi ini, cabaran perjalanan yang jauh menyebabkan hampir 20% Jemaah Haji meninggal dunia sebelum sampai ke tempat tujuan disebabkan ancaman dahaga, kekurangan makanan dan penyakit.

Keretapi ini turut memudahkan pergerakan tentera Ottoman di antara wilayah Hijaz dan Yemen, terutama ketika Mesir yang disokong oleh British pada ketika itu menguasai Terusan Suez. Hanya Orang Islam sahaja yang diambil sebagai pekerja pembinaan keretapi untuk memenuhi janji yang dibuat oleh Sultan kepada para penderma. Sebahagian besar pekerja pembinaan adalah terdiri dari tentera Ottoman sendiri.

Penyelia pembinaan keretapi ini adalah seorang jurutera berbangsa Jerman yang bernama Heinrich August Meissner. Jasa Meissner dalam pembinaan keretapi ini membolehkan dia menerima gelaran Pasha dari Kerajaan Ottoman. Beliau meninggal dunia di Istanbul pada tahun 1940.

Populariti penggunaan keretapi ini meningkat dengan mendadak semenjak perkhidmatannya diperkenalkan. Rekod menunjukkan bilangan penumpangnya meningkat dari 14,965 orang pada tahun 1909 sehingga 27,823 orang pada tahun 1912. Perkhidmatannya sangat berjaya sehingga Syarikat Hijaz menawarkan tiket separuh harga bagi Jemaah yang berhasrat untuk pergi ke Madinah bagi menyambut perayaan Maulid Nabi pada tahun 1912.

Gerabak-gerabak keretapi lama
Cadangan untuk menyambung perkhidmatan keretapi ini ke Makkah terhenti dengan meletusnya Revolusi Arab (1916-18). Revolusi ini menyaksikan para pemberontak meletupkan jambatan, peralatan dan stesen-stesen keretapi di bawah arahan Emir Faisal dengan sokongan seorang pegawai tentera British yang bernama Thomas Edward Lawrence (yang lebih dikenali sebagai Lawrence of Arabia). Objektif pemberontakan ini ialah untuk mensabotaj bekalan makanan, minuman dan bekalan senjata tentera Ottoman. Selepas kejatuhan Kerajaan Ottoman, perkhidmatan keretapi ini di Arab Saudi tidak lagi digunakan walaupun bahagian landasan di Syria, Jordan dan Palestin terus beroperasi.

MELAWAT STESEN KERETAPI HIJAZ

Stesen Keretapi Hijaz menjadi persinggahan pertama kami di Madain Saleh.

Keretapi ini menjadi bukti pencapaian kejuruteraan Islam di zaman pemerintahan Ottoman.
Stesen Al-Hijr di Madain Saleh adalah salah sebuah di antara beberapa stesen persinggahan Keretapi Hijaz yang terdapat di Arab Saudi
Bangunan stesen ini telah dipulihara untuk dijadikan sebuah Living Museum.
Pemandangan yang sangat menarik di Stesen Keretapi Hijaz.
Perhentian bas di Hijaz Railway Museum
Tarikan yang terdapat di Hijaz Railway Museum
Stesen keretapi di Madain Saleh ini dibina pada tahun 1907. Ia mengandungi 16 buah bangunan yang terdiri dari bangunan pentadbiran, bangunan stor, sebuah balai polis, hospital, rumah-rumah pekerja dan rumah rehat. Ia juga mempunyai sebuah bengkel penyelenggaraan keretapi dan sebuah bangunan simpanan bahanapi. 

Stesen ini pada masa dahulu digunakan sebagai perhentian rehat untuk Jemaah Haji dalam perjalanan yang jauh dari Damsyik menuju ke Madinah. Oleh yang demikian tempat penginapan dan restoran turut disediakan di sini pada masa itu.

Landasan keretapi.
Salah sebuah lokomotif yang digunakan pada masa dahulu.
Papan-papan keterangan mengenai sejarah kawasan sekitar Madain Saleh
Selain dari di Madain Saleh, terdapat juga beberapa buah stesen keretapi lain berhampiran yang juga telah dijadikan muzium oleh Kerajaan Arab Saudi pada masa sekarang. Stesen-stesen keretapi Hijaz Railway secara umumnya dibina pada setiap jarak maksima 20km untuk kemudahan enjin keretapi dan juga para penumpang. Oleh kerana keretapi ini menggunakan enjin wap, perigi ataupun tangki air dibina di setiap stesen untuk kegunaan enjin keretapi.

Bangunan yang ini digunakan sebagai Visitor's Center pada masa sekarang.
Pemandangan di dalam Visitor's Center
Ada tayangan dokumentari mengenai Hijaz Railway di sini.
Untuk melihat keretapi lama ini dengan lebih dekat, kita boleh berkunjung ke bangunan Bengkel Keretapi. Di sini, kita akan mendapat gambaran mengenai penyelenggaraan keretapi ini pada masa dahulu.

Bengkel keretapi lama
Jom kita masuk ke dalam...
Pemandangan di dalam bengkel keretapi
Gerabak keretapi lama
Berposing dengan gerabak keretapi lama
Pemandangan di dalam gerabak keretapi
Gerabak keretapi lama ini dipenuhi dengan pelbagai memorablia perkhidmatan Keretapi Hijaz.
Pemandangan kepala keretapi dari belakang.
Pemandangan kepala keretapi dari depan.
Sejarah perkhidmatan Hijaz Railway dapat dibaca di papan-papan keterangan yang diletakkan pada dinding bengkel keretapi.
Selepas tamat Perang Dunia Pertama, beberapa usaha untuk mengembalikan perkhidmatan Keretapi Hijaz dibuat. Namun demikian, usaha ini terhenti disebabkan kekangan kos dan faktor-faktor lain. Kemajuan pengangkutan darat dan udara juga turut membantutkan usaha ini. Keretapi-keretapi ini terbiar berkarat dan sebahagiannya kini disimpan di muzium seperti di sini untuk tatapan generasi yang terkemudian.

Bangunan pentadbiran stesen keretapi.
Bangunan ini kini digunakan sebagai pejabat Al Hijr (Madain Saleh) Antiquities Office.
Tak mudah nak dapat peluang berjalan di atas landasan keretapi begini.
Bergambar di tengah kawasan landasan macam dalam drama Hindustan.
Mengambil gambar pemandangan
Pemandangan Jejak Kaum Tsamud dari Stesen Keretapi Hijaz.
Pemandangan sewaktu meninggalkan Stesen Keretapi Hijaz menuju ke kawasan peninggalan Kaum Tsamud
Inilah agaknya kota lama Ottoman yang dibina untuk melindungi sumber air bagi perkhidmatan Keretapi Hijaz pada masa dahulu.

 Bersambung ke Bhg.16...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):