Monday 11 December 2017

2017 EASTERN EUROPE BHG. 11 (Bratislava Old Town)

November 2017

EASTERN EUROPE
Germany (2nd Visit), Czech Republic, Slovakia, Hungary & Austria
(SLOVAKIA: Bratislava)

Bahagian 11: Slovakia (2)
BRATISLAVA (Bratislava Old Town & Cordoba Culture Centre)

HARI KELIMA (2)

Part 47: Grassalkovich Palace

Dari Bratislava Castle, kami menaiki bas bersama Eva menuju ke Bratislava Old Town. Dalam perjalanan ke sana, Eva bercerita kepada kami tentang Slovakia.

Sebuah gereja di Bratislava
Slovakia bersama Republik Czech pernah bergabung sebagai sebuah negara yang bernama Czechoslovakia. Kedua-dua Slovakia dan Republik Czech berpisah secara aman selepas pemerintahan komunis di Czechoslovakia tamat. Dari segi budaya, orang Czech lebih mirip kepada orang Jerman, manakala orang Slovakia pula lebih mirip kepada orang Hungary.

Pejabat European Union agaknya
Pemandangan di Bratislava
Industri terbesar di Slovakia kini adalah pembuatan kereta. Ini adalah kerana syarikat-syarikat pembuat kereta seperti Volkswagen, Peugeot, Kia dan Land Rover mempunyai kilang pemasangan kereta mereka di negara ini. Slovakia menjadi pilihan kerana negara ini menggunakan matawang Euro di samping kos buruh yang  rendah, yang mana kombinasi ini sangat jarang berlaku di Eropah.

Menghampiri pusat bandar Bratislava

GRASSALKOVICH PALACE

Setibanya di pusat bandar, Eva menunjukkan kepada kami Grassalkovich Palace yang kini menjadi kediaman rasmi Presiden Slovakia. Istana ini pada asalnya dibina oleh Comte Anton Grassalkovich yang berasal dari Croatia pada tahun 1760 sebagai rumah persinggahan di musim panas. Comte Grassalkovich adalah seorang peguam dan pengerusi Royal Crown of Hungary.

Grassalkovich Palace
Pelbagai upacara pernah diadakan di istana ini, terutama pada zaman pemerintahan Maria Theresa. Antaranya ialah pesta tari-menari yang diadakan untuk Albert, Duke of Saxe-Teschen dan isterinya Maria Christina, yang merupakan puteri kepada Maria Theresa. Persembahan muzik oleh Joseph Haydn turut menyerikan pesta ini.

Pemandangan Grassalkovich Palace dari hadapan
Ukiran burung merpati pada globe di pancutan air di depan Grassalkovich Palace melambangkan keamanan.
Bangunan istana tidak dibuka kepada orang awam. Hanya taman di belakangnya yang dinamakan Grassalkovich Garden sahaja yang boleh dikunjungi.

Part 48: Bratislava Old Town

Bratislava Old Town terletak tidak jauh dari Grassalkovich Palace. Setibanya di sini, bas menurunkan kami di depan sebuah gereja yang bernama Trinity Church.

Pemandangan berhampiran Bratislava Old Town
Bas menurunkan kami di sini untuk melawat ke Bratislava Old Town
Trinity Church

MICHAEL'S GATE

Eva membawa kami masuk ke Bratislava Old Town menerusi Michael's Gate. Ia adalah satu-satunya pintu kota yang masih tinggal di Bratislava Old Town yang satu ketika dulu mempunyai 4 pintu masuk kesemuanya.

Michael's Gate
Satu ketika dulu, Bratislava mempunyai 4 buah pintu kota. Michael's Gate adalah satu-satunya pintu kota yang tinggal berdiri.
Menara di Michael's Gate dibina pada kurun ke-14. Patung yang dibina di puncak menara ini adalah Archangel Michael.

Menara di atas Michael's Gate
Patung Archangel Michael di puncak menara Michael's Gate
Kota lama Bratislava satu ketika dulu dikelilingi parit (moat) yang dalam dan ada sebuah drawbridge dibina untuk masuk ke pintu ini. Untuk pertahanan, sebuah pagar besi (portcullis) dan sebuah pintu yang berat turut dibina di sini.

Bekas parit (moat) yang mengelilingi kota lama Bratislava
Patung di jambatan masuk ke Michael's Gate. Jambatan kekal ini dibina untuk menggantikan sebuah drawbridge yang pernah dibina di sini.
Kesan parit lama yang masih dapat dilihat di luar Bratislava Old Town
Pemandangan di Michael's Gate
Batu yang tidak bercat ini adalah binaan asal Michael's Gate
Pelawat-pelawat ke Michael's Gate
Di Michael's Gate ini ada sebuah bulatan berwarna emas yang dinamakan Zero Kilometre. Dari sinilah jarak rasmi Bratislava ke ibu kota-ibu kota lain di dunia diukur.

Zero Kilometre
Tak ada nama Kuala Lumpur dicatitkan di sini. Paling dekat adalah Jakarta yang terletak 10,491 km dari sini.
Pemandangan Michael's Gate dari dalam Bratislava Old Town

EXECUTIONER'S HOUSE

Tidak jauh dari Michael's Gate, Eva menunjukkan kepada kami Executioner's House. Ia adalah rumah Pelaksana Hukuman (kira macam Tukang Gantung la tu) pada masa dulu.

Berjalan ke Executioner's House
Pada masa itu, cuma ada seorang sahaja Pelaksana Hukuman di Bratislava. Jadi rumah kediamannya perlu mudah dikenali jika ada sesiapa yang memerlukan khidmatnya. Oleh kerana masyarakat zaman dulu ramai yang tak pandai membaca, maka Pelaksana Hukuman meletakkan ukiran wajahnya yang menakutkan itu di depan rumahnya untuk mudah dikenali.

Executioner's House
Ukiran wajah Pelaksana Hukuman di depan Executioner's House
Kami juga diberitahu yang Pelaksana Hukuman ini akan menyimpan sebahagian anggota orang yang dihukum seperti rambut untuk dijadikan tangkal pelindung. Oleh yang demikian, di samping diperlukan untuk melaksanakan hukuman, Si Tukang Gantung ini juga dicari oleh orang yang ingin membeli tangkal pelindung ini darinya.

Ngeri juga menengok rupa Si Tukang Gantung ni!
Dari sini, kami terus berjalan mengikut Eva ke tempat-tempat lain yang menarik di sini. Di sepanjang jalan, terdapat pelbagai kedai dan restoran yang sangat menarik perhatian.

Berjalan di Bratislava Old Town
I Love Bratislava
Nampak macam hidup pulak patung ini... Bila dah banyak sangat melihat Human Statue di Prague, terasa macam semua patung begini adalah orang yang berlakon menjadi patung.
Kafetaria
Pemandangan yang menarik di Bratislava Old Town
Taman buatan yang menarik
Arca
Passage kecil yang menarik.

CANNON BALL

Napoleon pernah menyerang Bratislava pada tahun 1805. Namun demikian, dia gagal menawan kota ini. Setelah tentera Napoleon dikalahkan, Penguasa Bandar Bratislava menawarkan pengecualian cukai selama 2 tahun bagi rumah-rumah yang rosak dalam serangan Napoleon. Ramai penduduk yang ingin mengambil kesempatan atas tawaran kerajaan ini menanam dengan sengaja peluru-peluru meriam Napoleon di dinding rumah untuk melayakkan pengecualian cukai tersebut. Peluru meriam ini masih dapat dilihat di beberapa buah bangunan di Bratislava Old Town sehingga sekarang.

Peluru meriam yang sengaja ditanam di dinding rumah untuk mendapatkan pengecualian cukai.
Menurut ceritanya, pemilik rumah ini gagal dalam usahanya untuk mendapatkan pengecualian cukai kerana rumah ini tidak terletak dalam laluan serangan Napoleon.
Pemandangan dekat peluru meriam yang ditanam ke dalam bangunan. Peluru meriam perlu berputar 90 darjah dari kedudukan meriam Napoleon untuk melekat pada rumah ini begini. Nampak sangat yang tuan rumah sengaja menanam peluru meriam ini di sini!
Papan tanda arah ke tempat-tempat menarik di Bratislava Old Town.

FRANZ LISZT

Franz Liszt dan Mozart adalah dua orang penggubah muzik yang mula mencipta nama sewaktu di Bratislava. Dalam tahun 1820, Franz Liszt telah membuat persembahan muzik di sebuah dewan yang kini menjadi Perpustakaan Universiti Bratislava. Dia hanya berusia 9 tahun ketika itu.


Franz Liszt mula membuat persembahan muzik sewaktu beliau hanya berusia 9 tahun di Bratislava.
Dewan di mana Franz LIszt mengadakan persembahan ketika itu kini menjadi Perpustakaan Universiti Bratisalava
Bratislava University Library
Plak peringatan Franz Liszt yang dipasang pada bangunan University Library

MOZART

Selepas menjejak Franz Liszt, kita menjejak seorang lagi penggubah muzik klasik terkenal yang bernama Mozart. Wolfgang Amadeus Mozart juga mencipta nama dalam bidang muzik sewaktu di Bratislava. Dia telah dijemput untuk membuat persembahan di hadapan Maria Theresa ketika dia hanya berusia 6 tahun!

Menjejak Mozart di Bratislava
Restoran Itali di Bratislava
Menuju ke Ventúrska Street
Mozart telah dijemput membuat persembahan di hadapan Maria Theresa di sebuah dewan di Ventúrska Street dalam tahun 1762. Dewan ini walau bagaimanapun, kini digunakan sebagai pejabat Konsulat Bahamas.

Di bangunan inilah Mozart membuat persembahan di hadapan Maria Theresa sewaktu dia hanya berusia 6 tahun.
Pintu masuk ke dewan
Ukiran di atas pintu dewan
Plak peringatan untuk Mozart
Bangunan ini kini digunakan sebagai pejabat Honorary Consulate of the Commonwealth of Bahamas

ST MARTIN'S CHURCH

Bertahun-tahun lamanya, pertabalan King of Hungary diadakan di kota Esztergom di Hungary. Pada tahun 1563, sewaktu Maximilian hendak ditabalkan sebagai Raja Hungary yang baru, kota tersebut ditawan tentera Ottoman dan pertabalan tak lagi boleh dilangsungkan di sana. Pilihan yang tinggal adalah memindahkan pertabalan ini ke Bratislava yang pada ketika itu dikenali sebagai 'Pozsony'. Pozsony dipilih kerana kota itu mempunyai dua lapisan tembok pertahanan yang sebahagiannya masih dapat dilihat pada hari ini.


Satu ketika dulu, Bratislava dikenali sebagai Pozsony.
Pertabalan Raja Hungary dipindahkan dari Esztergom ke Bratislava kerana peperangan dengan tentera Ottoman berlaku di sana.
Menuju ke gereja pertabalan bersama Eva.
Kereta antik di Bratislava
Kereta ini membawa pelancong bersiar-siar di Bratislava
Kedai cenderamata
Sepuluh Raja Hungary dan lapan royal consorts ditabalkan di Bratislava. Upacara pertabalan melibatkan perarakan ke seluruh kota bermula dari St Martin's Cathedral. Seluruh laluan pertabalan diraja kini ditandakan dengan simbol mahkota emas kecil yang dapat dilihat di atas jalan.

Laluan pertabalan diraja ditandakan dengan simbol mahkota emas
Laluan pertabalan diraja bermula dari Gereja St Martin
St Martin's Cathedral dibina pada kurun ke-13. Sejumlah 18 pertabalan diraja diadakan di sini, termasuklah pertabalan Maria Theresa.

St Martin's Cathedral
18 pertabalan diraja Hungary dilaksanakan di gereja ini pada masa dahulu
Oleh kerana St Martin's Cathedral adalah gereja pertabalan diraja, replika sebuah mahkota emas diletakkan di bumbung menaranya.
Berat replika mahkota ini adalah 15kg.

BEETHOVEN

Selain Franz Liszt dan Mozart, seorang lagi pemuzik terkenal yang mencipta nama di Bratislava adalah Ludwig van Beethoven.

Sebuah bar yang menarik di Bratislava Old Town
Tak tahu apa cerita kaki yang tergantung di atas bar ini.
Dalam perjalanan menjejak Beethoven, kami bertemu dengan sebuah kedai cermin mata yang bernama Fokus. Ada cerita yang mengatakan pemilik bangunan kedai ini gemar mengintai pengunjung yang lalu menerusi sebuah tingkap kecil. Oleh yang demikian, patung seorang lelaki kecil berbogel diletakkan pada dinding bangunan ini.

Kedai cermin mata Fokus. Nampak tak patung lelaki tengah mengintai kat atas sebelah kiri tu?
Pandangan dekat patung lelaki yang tengah mengintai.
Jejak Beethoven dapat dilihat pada sebuah bangunan yang bernama Keglevich Palace yang dibina oleh Count Joseph Keglevich. Beethoven pernah menjadi guru muzik kepada anak Count Keglevich yang bernama Anna Louise Barbara Keglevich, yang lebih dikenali sebagai Babette. Beethoven dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Babette kerana beberapa lagu ciptaannya didedikasikan kepada Babette. Di samping itu, Beethoven juga pernah dijemput untuk membuat persembahan di Keglevich Palace.


Bangunan Keglevich Palace
Beethoven Apartments

CUMIL STATUE

Bratislava Old Town juga terkenal dengan beberapa buah patung yang istimewa. Antara yang paling popular adalah patung Cumil yang juga dikenali sebagai Man At Work.

Berjalan lagi di Bratislava Old Town
Bangunan-bangunan lama yang menarik
Ukiran di atas sebuah bangunan
Habibi Cafe
Cumil adalah patung seorang pekerja kumbahan yang mengintai ke luar dari lubang tempat beliau bekerja. Menurut ceritanya, Cumil menggambarkan sikap tipikal lelaki Slovakia pada masa dahulu yang gemar mencuri tulang dan mencari hiburan. Hiburan Cumil adalah mengintai di bawah skirt wanita yang lalu-lalang di jalan.

Cumil ~ Man At Work
Pandangan dekat Cumil
Yang nak berposing dengan Cumil pun ramai
Pemandangan Cumil dari belakang
Berebut nak bergambar dengan Cumil
Papan tanda 'Man At Work' dipasang dekat Cumil selepas 2 kali kejadian kepala Cumil digelek kenderaan yang tak perasan kehadirannya di situ.

SLOVAK NATIONAL THEATRE

Slovak National Theatre adalah sebuah bangunan teater yang cantik di Bratislava di mana pelbagai persembahan opera, ballet dan drama diadakan. Oleh kerana harga tiket persembahan di sini jauh lebih murah, ramai peminat opera, ballet dan drama dari kota Vienna akan datang menonton persembahan di sini, lebih-lebih lagi kerana jarak di antara Vienna dan Bratislava hanya sekitar 2 jam pemanduan.

Slovak National Theatre
Pemandangan dari hadapan Slovak National Theatre
Bunga-bunga yang cantik di hadapan Slovak National Theatre
Seronok dapat melihat bunga dalam musim luruh begini.
Ada sebuah kesan sejarah bernama Fishermen's Gate di kawasan Slovak National Theatre ini. Ia adalah salah sebuah dari empat pintu masuk ke kota Bratislava pada masa dahulu.

Fishermen's Gate
Di sini juga pernah berdiri sebuah lagi pintu kota
Dataran di hadapan Slovak National Theatre dinamakan Hviezdoslav's Square. Ia adalah sebuah tempat pertemuan yang popular di Bratislava.

Hviezdoslav's Square di hadapan Slovak National Theatre
Satu lagi pemandangan di Hviezdoslav's Square
Hotel Carlton dan kedai-kedai cenderamata di Hviezdoslav's Square
Patung Pavol Országh Hviezdoslav. Dia adalah seorang penyair Slovak yang terkenal.

SCHON NACI

Seperti patung Cumil, patung Schon Naci juga sangat terkenal di Bratislava. Ia adalah patung seorang lelaki sebenar bernama Ignac Lamar yang pernah tinggal di Bratislava pada awal kurun ke-20. 

Schon Naci diukir sempena seorang lelaki sebenar bernama Ignac Lamar yang sering berdiri di sini sambil bergaya gentleman.
Sewaktu hidupnya, Ignac gemar berdiri di sini, memberi ucap selamat dan menghadiahkan bunga kepada wanita-wanita yang lalu. Menurut ceritanya, Ignac yang sentiasa tersenyum sebenarnya mengalami sakit jiwa kerana tunangnya dibunuh di sebuah kem tahanan tentera Nazi pada ketika itu.

Patung Schon Naci juga menjadi tumpuan ramai untuk bergambar

MAIN SQUARE

Main Square adalah pusat bagi Bratislava Old Town. Di sekeliling Main Square, terdapat berbagai bangunan lama yang bersejarah yang mana di antaranya adalah Old Town Hall, kedai-kedai makan, kedutaan-kedutaan asing dan kedai-kedai cenderamata.

Bangunan Old Town Hall menjadi mercu tanda bagi Main Square di Bratislava Old Town.
Peluru meriam Napoleon yang terlekat pada dinding di bangunan Old Town Hall juga dilihat dengan jelas. Bangunan ini benar-benar terkena serangan meriam Napoleon pada masa dahulu.
Di hadapan Old Town Hall, berdiri sebuah pancuran air yang dinamakan Maximilian Fountain. Ia dibina pada tahun 1572 dan merupakan fountain tertua di Bratislava. Sebuah kebakaran besar telah berlaku sewaktu pertabalan King Maximilian II di sini. Api sukar dipadamkan kerana kekurangan air. Oleh yang demikian, fountain besar ini dibina untuk memastikan bekalan air mencukupi sekiranya menghadapi suasana cemas seperti itu lagi. Di puncak fountain ini, berdiri patung seorang kesatria yang bernama Roland, memegang sebilah pedang dan coat-of-arms Hungary.

Maximilian Fountain
Maximilian Fountain dibina selepas satu kejadian kebakaran besar di sini pada satu ketika dahulu.
Bangunan-bangunan kedutaan banyak terdapat di sekitar Main Square
Sebuah patung yang menarik di sini adalah Hubert, seorang tentera Napoleon yang dikatakan berpaling tadah selepas jatuh cinta dengan seorang gadis tempatan di sini. Hubert dikatakan enggan pulang ke Perancis selepas perang tamat dan memulakan sebuah perusahaan sparkling wine dengan jenama Hubert di sini. Hubert dibina dengan membelakangkan Kedutaan Perancis di Main Square kerana dia telah berpaling tadah terhadap negara kelahirannya itu.

Hubert
Ramai yang nak bergambar dengan Hubert
Berebut-rebut nak bergambar dengan Hubert
Aksi romantis bersama Hubert
"Siapa lagi nak bergambar dengan Aku?" tanya Hubert.
"Kita !!!"
Ada beberapa buah restoran di sekitar Main Square, termasuklah sebuah kedai kebab yang Halal. Pemilik kedai inilah yang memberitahu Tour Leader kami dan Eva kedudukan masjid di Bratislava untuk membolehkan kami bersolat. Pemilik kedai ini juga memberitahu, ada sebuah kedai kebab Halal yang lain dekat masjid itu. Untuk menjimatkan masa, Tour Leader mencadangkan supaya kami makan tengahari di kedai kebab tersebut sahaja.

Kedai makan di sekitar Main Square. Ada juga sebuah kedai kebab Halal di sini tapi lupa nak ambil gambar.
Sebuah Irish Pub dengan perhiasan Halloween
Kawan Hubert yang berkawal di hujung Main Square

Part 49: Cordoba Culture Centre

Khidmat Eva sepatutnya berakhir selepas kami melawat Main Square. Namun begitu, dia tetap nak mengikut kami ke masjid kerana nak tahu di mana kedudukannya. Senang katanya, kalau dia mendapat rombongan dari Malaysia lagi yang nak pergi ke masjid pada masa hadapan.

Disebabkan Eva adalah orang local di Bratislava, cukup mudah dia memandu kami menuju ke masjid berdasarkan panduan arah yang diberi oleh orang di kedai kebab tadi.

Mengikut Eva menuju ke masjid
Primate's Palace
Dalam perjalanan, kami singgah dulu di sebuah tandas awam yang terletak berdekatan dengan Primate's Palace. Di bangunan inilah perjanjian Peace of Pressburg ditandatangani oleh wakil-wakil Raja Perancis dan Maharaja Austria selepas Napoleon menang dalam Perang Austerlitz. 'Pressburg' adalah nama yang digunakan bagi Bratislava pada masa itu.

Tandas awam berhampiran Primate's Palace terletak di sini.
Pemandangan di depan tandas awam
Pintu masuk ke tandas awam
Mengikut Eva kembali menuju ke masjid
Banyak 'laluan tikus' yang dilalui mengikut Eva.
Tiba di jalan besar
Masjid di Bratislava yang dinamakan Cordoba Culture Centre terletak di dalam sebuah lorong di belakang sebuah kedai menjual wain. Mengikut maklumat yang Myself perolehi, masjid ini dinamakan Cordoba Culture Center kerana permohonan untuk mendaftarkannya sebagai sebuah pusat ibadat telah ditolak oleh Kerajaan Bratislava. Oleh yang demikian, ia telah didaftarkan hanya sebagai sebuah pusat kebudayaan.

Kedai wain di depan masjid di Bratislava
Lorong masuk menuju ke masjid di belakang kedai wain.
Masjid di Bratislava
Masjid ini dikenali sebagai Cordoba Culture Centre.
Masjid ini kecil tetapi sangat bersih dan selesa. Secara kebetulan, kami tiba pada saat baru masuk waktu Solat Zohor. Walau tak ramai yang datang sekaligus untuk bersolat zohor pada satu-satu masa, sentiasa ada Umat Islam yang datang untuk bersolat di sini. Memang Myself kagum dengan masyarakat Islam di Bratislava yang berjaya memakmurkan masjid ini walau tidak langsung mendapat sokongan dari kerajaan. 

Disebabkan kagum dengan kewujudannya yang begitu bersusah payah di belakang sebuah kedai wain di Bratislava ini, ramai ahli rombongan yang menderma beberapa Euro ke dalam tabung masjid. Mudah-mudahan, masjid ini akan terus kekal di sini untuk kemudahan penduduk dan pengunjung Muslim ke Bratislava seperti kami.

Pemandangan di dalam masjid.
Mihrab
Perhiasan di dinding masjid
Selepas bersolat, kami makan tengahari di restoran yang terletak tidak jauh dari masjid. Restoran ini adalah sebuah restoran Turki bernama Tulipan Kebab. Sedang Myself dan Husband membaca menu-menu makanan yang tertera pada dinding di luar restoran, kami disapa oleh seorang lelaki yang lalu di tepi restoran. Dia memberitahu kami yang restoran ini memang Halal.

Restoran Tulipan Kebab
Menjenguk ke dalam restoran
Makanan yang dihidangkan di Tulipan Kebab adalah makanan Turki
Menikmati makanan tengahari di Tulipan Kebab
Sedap !!
Selepas masing-masing dah solat dan kenyang makan tengahari, kami berjalan kembali menuju ke tempat menunggu bas yang ditetapkan. Ia sebenarnya tak begitu jauh dari masjid dan restoran tadi. Dari sini, kami akan meninggalkan Bratislava di Slovakia untuk menuju ke Budapest di Hungary pula.

Berjalan kembali menuju ke tempat menunggu bas di pinggir Bratislava Old Town.
Pemandangan Bratislava Castle yang telah kami kunjungi tadi dalam perjalanan kembali ke Old Town.
Ada saja la Thai Massage ni di mana-mana...
Pemandangan di Obchodna (Ulica) Street di mana letaknya Cordoba Culture Centre
Bangunan kuning di depan sana adalah Trinity Church, tempat di mana bas menurunkan kami pada pagi tadi.
Tempat menunggu yang ditetapkan adalah Trinity Church yang terletak di pinggir Bratislava Old Town. Dataran di depan Trinity Church ini adalah laluan tram yang sibuk. Sambil menunggu bas tiba untuk membawa kami ke Budapest, kami menjamu mata melihat pelbagai tram yang lalu di sini.

Tram antik di Bratislava
Nak bergambar dengan tram yang lalu.
Tram zaman komunis yang masih berkhidmat di Bratislava
Sebuah lagi tram antik.



Bersambung ke Bhg.12...


CATATAN PERJALANAN EROPAH TIMUR (2017):