Thursday 11 February 2016

2016 PHILIPPINES BHG. 02 (Rizal Park)

Februari 2016

PHILIPPINES
Manila, Villa Escudero & Tagaytay 


Bahagian 2: Manila (1)
RIZAL PARK

HARI PERTAMA (2)

Part 3 : Manila 

Selepas mengambil bagasi, kami keluar dari bangunan terminal lapangan terbang. Cuak juga rasanya bila tak ada sesiapa menunggu kami. Lalu kami menelefon pejabat WOW Philippines untuk memastikan memang ada orang yang akan menjemput kami di Airport. Petugas WOW Philippines yang dihubungi memberitahu memang ada orang yang menjemput kami. Dia meminta kami menghubungi driver yang ditugaskan menjemput kami. Eh, begitu pulak? 

Kami kemudiannya bertanya kepada seorang petugas keselamatan di luar lapangan terbang. Ada sebuah bangunan lagi di depan bangunan tempat kami menunggu. Pegawai keselamatan ini mencadangkan supaya kami pergi ke belakang bangunan tersebut kerana biasanya wakil-wakil travel agent akan menunggu tetamu mereka di sana. Wakil-wakil travel agent ni rupa-rupanya tidak dibenarkan menunggu betul-betul di ruang ketibaan.

Bila kami pergi ke arah yang dinyatakan oleh pegawai keselamatan tadi, barulah kami bertemu dengan Jane, Tourist Guide dari WOW Philippines yang ditugaskan untuk menyambut kami di Airport.
 
Rupa-rupanya kami kena berjalan sampai ke bangunan luar ini untuk bertemu dengan wakil travel agent yang menyambut kami. Ini kali pertama kami sampai ke Manila, manalah nak tahu selok-belok begini!
Pemandangan di seberang Bangunan Terminal 1, Ninoy Aquino International Airport, Manila.
Pemandangan sewaktu meninggalkan Ninoy Aquino International Airport.
Hujan rintik-rintik menyambut ketibaan kami di Manila. Menurut Jane, hujan ini luar biasa kerana Manila sepatutnya mengalami musim panas sekarang.

Pemandu Pelancong kami, Jane bercerita tentang kota Manila sepanjang perjalanan kami dari Airport ke Hotel.
Excited melihat Jeepney yang begitu banyak di Manila.
Coastal Mall yang merupakan salah sebuah hub pengangkutan yang utama di Manila.
Jalan raya di Manila sangat sesak dengan kenderaan. Pemandu-pemandu di Manila tidak memandu mengikut barisan. Mereka akan mencelah di setiap kesempatan dan inilah yang menyebabkan traffic jam yang melampau di Manila. Tapi syukurlah pemandu di Manila jenis yang sabar dan tidak membunyikan hon sesuka hati. Kalau tidak pasti bingit telinga kita.

Jalan raya di Manila sangat sesak dengan kenderaan. Seperti juga di Jakarta, ada ramai penjual-penjual jalanan yang mengambil kesempatan menjaja barangan jualan di tengah kesesakan lalulintas.
Walaupun ada penanda jalan, pemandu-pemandu akan mencelah sesuka hati mereka di sepanjang jalan di Manila.
City of Dreams ini adalah sebuah kompleks kasino yang besar di tengah kota Manila.
Satu pemandangan yang agak memeranjatkan yang selalu kami lihat di Manila adalah orang-orang lelaki yang kencing di tepi jalan dengan begitu selamba. Pemandangan ini bukan saja dilihat di pinggir-pinggir kota, malah di tengah-tengah jalan yang sibuk di kawasan komersil seperti Makati (yang macam Bukit Bintang di Kuala Lumpur) di Manila.

Haip, buat apa tu?!! Tak sengaja tertangkap gambar orang tengah kencing di tepi jalan ini.
Hotel penginapan kami, Manila Hotel terletak di Metro Manila. Dalam perjalanan ke sana, kami melintasi kompleks Cultural Center of The Philippines yang dibina oleh bekas Wanita Pertama Filipina yang terkenal, Imelda Marcos. Menurut kata Jane, selalunya ramai warga Manila akan berkumpul di sini untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial. Namun pusat kebudayaan ini agak lengang pada hari tersebut, mungkin disebabkan hari hujan.

Cultural Center of the Philippines.
Selalunya ada ramai orang berkumpul di sini untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial, tetapi ia agak lengang pada petang itu disebabkan cuaca yang tidak baik.
Manila Hotel terletak di penghujung Roxas Boulevard, sebatang jalan utama di Manila yang dibina menyusuri Manila Bay.

Roxas Boulevard
Maybank di Roxas Boulevard.
Manila Yacht Club
Pemandangan di pinggir Manila Bay.
Kereta kuda yang dipanggil Calesa di tepi Manila Bay.

Part 4: Manila Hotel

Hotel penginapan kami, Manila Hotel adalah sebuah hotel mewah yang bersejarah di kota Manila. Ia dibuka pada tahun 1912. Penthouse di hotel ini pernah menjadi rumah penginapan General Douglas McArthur, seorang komander tentera Amerika Syarikat sewaktu Perang Dunia Kedua. General MacArthur juga adalah wakil tentera Amerika yang menerima penyerahan kalah Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua dulu. Upacara penyerahan kalah oleh tentera Jepun ini berlangsung di atas kapal USS Missouri yang ketika itu berlabuh di Teluk Manila.

Manila Hotel
Sejak mula sampai lagi, kami dah terpikat dengan hotel ini. Kami disambut oleh petugas-petugas hotel yang berpakaian seperti zaman kolonial Spanish pada masa dahulu.

Pintu masuk ke Manila Hotel.
Petugas hotel yang bergegas membantu menguruskan bagasi kami.
Petugas hotel yang menyambut ketibaan kami dengan senyuman.
Keselamatan sangat diambil berat oleh pengurusan Manila Hotel. Setiap pengunjung termasuk penginap yang keluar masuk ke hotel perlu melalui pemeriksaan keselamatan. Beg-beg tangan perlu dibuka untuk diperiksa, tapi yang sedikit tak seronok ialah apabila bagasi kami dihidu oleh anjing sewaktu dibawa masuk ke bangunan hotel.

Setiap pengunjung perlu melalui pemeriksaan keselamatan untuk masuk ke bangunan hotel.
Bag search oleh petugas keselamatan di pintu masuk ke hotel.
Anjing besar yang akan menghidu bagasi setiap penginap di Manila Hotel.
Melangkah masuk ke hotel, terpegun kita melihat keindahan senibina di lobi bangunan ini. Ia dibina dengan ciri-ciri Spanish Colonial yang sangat indah.

Petugas-petugas di Reception Counter Manila Hotel.
Lobi di Manila Hotel.
Satu lagi pemandangan di lobi Manila Hotel.
Bilik penginapan kami terletak di Tingkat 3. Biliknya sangat besar dan selesa, hampir seluas seluruh pangsapuri kami di Kuala Lumpur. Tak sangka sungguh dapat menginap di bilik sebegini di Manila.

Pemandangan korridoor menuju ke bilik penginapan.
Pemandangan bilik kami dari pintu masuk. Jaring-jaring kayu di sebelah kanan bilik ini menempatkan mini bar.
Mini bar di sebalik jaring kayu di bilik penginapan kami. Air Mineral dan minuman panas disediakan secara percuma oleh pihak hotel.
Bilik tidur kami
Set sofa rotan yang sangat selesa.
Bilik airnya cukup besar. Tandas, shower dan bath tub disediakan dalam compartment-compartment yang berasingan dalam bilik air.
Pintu berjaring di sebelah kiri gambar di dalam bilik air ini adalah wardrobe. Seterika dan tempat menggosok disediakan di dalamnya.
Sinki di dalam bilik mandi.
Manila Hotel juga menyediakan wi-fi percuma kepada penginap di hotel mereka. Bukan sekadar percuma, wi-fi yang disediakan cukup laju sekali.

Perkara pertama yang dibuat sebaik tiba di bilik ialah menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar. Selepas itu, terus masak air untuk makan Mi Segera yang dibawa dari Malaysia. Lapar sungguh rasanya petang itu kerana meal kami yang terakhir adalah sajian penerbangan dalam flight ke Manila tadi.

Part 5: Rizal Park

Sebenarnya, kami bercadang nak melawat Fort Santiago pada petang itu. Memandangkan jam telahpun menunjukkan pukul 5 petang dan Fort Santiago ditutup pada pukul 6 petang, kami membatalkan saja hasrat tersebut. Kami sebaliknya membuat keputusan untuk melawat ke Rizal Park yang terletak di seberang jalan di hadapan Hotel Manila.

Seekor lagi anjing besar yang ditempatkan di pintu masuk kenderaan ke Manila Hotel ditugaskan untuk menghidu semua kenderaan yang masuk ke Manila Hotel bagi mengesan jika terdapat bahan letupan yang dipasang pada kereta.
Forest Park di hadapan Manila Hotel ini juga membentuk sebahagian dari Rizal Park.
Bendera besar Filipina yang dipasang di Rizal Park di depan sana menandakan Kilometer 0 bagi mengukur jarak ke seluruh Filipina.
Mercu tanda utama di Rizal Park adalah Rizal Memorial Monument yang dibina untuk memperingati pejuang kemerdekaan Filipina, Dr. Jose Rizal (disebut Dr. Hozay Rizal). Dia telah ditembak mati oleh penjajah Sepanyol di taman ini pada tahun 1896.

Rizal Memorial Monument
Pengunjung tidak dibenarkan mendekati monumen ini kerana terdapat rantai yang dipasang di sekeliling monumen.
Dr. Jose Rizal
Pemandangan Rizal Memorial Monument dari satu sudut Rizal Park.
Satu lagi pemandangan Rizal Memorial Monument
Walaupun cuaca mendung pada petang itu, pengunjung ke Rizal Park masih ramai.
Ada pelbagai tarikan di Rizal Park seperti Orchidarium, Senior Citizens Garden, Japanese Garden dan pelbagai tarikan lain. Taman ini sangat besar sehingga sebuah tren disediakan untuk pengunjung mengelilingi taman.

Tren berkonsep Hop-On Hop -Off yang disediakan untuk mengelilingi Rizal Park. Perkhidmatannya walau bagaimanapun tidak percuma.
Pintu masuk ke Orchidarium yang menyimpan pelbagai koleksi bunga orkid.
Di tengah-tengah taman pula terdapat sebuah kolam dengan pancutan air yang menarik. Di sekeliling kolam ini didirikan monumen-monumen untuk memperingati pahlawan-pahlawan yang berjasa menentang penjajahan Sepanyol di seluruh Filipina.

Kolam pancutan air di tengah-tengah Rizal Park.
Pemandangan kolam pancutan air di tengah Rizal Park. Pancutan Air masih belum berfungsi pada ketika ini.
Pemandangan sewaktu pancutan air mula berfungsi sekitar pukul 5.30 petang.
Pemandangan dekat pancutan air di Rizal Park.
Rumah Burung Merpati di Rizal Park.
Pemandangan dekat Rumah Burung Merpati.
Pengunjung-pengunjung ke Rizal Park juga dihiburkan dengan lagu-lagu Tagalog yang dimainkan menerusi beberapa buah speaker yang diletakkan di tempat-tempat yang strategik. Myself cukup kagum dengan sound quality speaker-speaker ni. Walau diletakkan di tempat terbuka, bunyinya tak pecah langsung. Lagu-lagu Tagalog yang dimainkan pun sedap-sedap belaka walaupun kita tak faham apa yang dinyanyikan.

Speaker di Rizal Park.
Rizal Park Open Air Auditorium
Homeless di Rizal Park.
Foodbox begini banyak terdapat di seluruh Rizal Park.
Monumen-monumen untuk pahlawan-pahlawan Filipina yang menentang penjajahan Sepanyol pada masa dahulu.
Lapu-Lapu adalah seorang pahlawan Islam Filipina di Mactan yang telah membunuh Ferdinand Magellan. Kematian Magellan berjaya menyekat kemaraan Sepanyol di Filipina selama 40 tahun sebelum tentera Sepanyol kembali di bawah pimpinan Miguel López de Legazpi.
Ada banyak kucing liar di Rizal Park. Ia mengingatkan kami kepada pengalaman melawat Istanbul pada tahun 2014.
Chinese Garden di Rizal Park.
Pintu masuk ke Chinese Garden. Bayaran dikenakan bagi pengunjung yang ingin melawat ke dalamnya.
Signboard di Chinese Garden.
Rizal Park dikenali sebagai Luneta (yang bermaksud Little Moon) sewaktu penjajahan Sepanyol. Taman ini juga bersejarah kerana di sinilah beberapa pejuang tempatan dibunuh kerana menentang penjajah Sepanyol pada masa dahulu.

Di sinilah tiga orang pejuang tempatan yang bernama Father Burgos, Zamora and Gomez dihukum bunuh oleh penjajah Sepanyol kerana menentang mereka pada tahun 1872.
Father Burgos, Zamora and Gomez dihukum bunuh oleh penjajah Sepanyol dengan cara menjerut leher mereka sehingga mati. Kerusi dengan penjerut leher yang digunakan turut diabadikan pada monumen ini.
Monumen yang paling meninggalkan kesan kepada Myself ialah The Martyrdom of Dr. Jose P. Rizal. Sebuah diorama telah didirikan di mana Jose Rizal dihukum bunuh dengan ditembak oleh tentera Sepanyol pada tahun 1896.

Pintu masuk ke The Martyrdom of Dr. Jose P. Rizal.
Bayaran 10 Peso dikenakan kepada pengunjung yang ingin masuk ke kawasan diorama ini.
Dinding ini menceritakan sejarah hidup Dr. Jose P. Rizal yang juga merupakan seorang doktor mata sewaktu hidupnya.
Dinding ini mengabadikan sajak terakhir yang ditulis oleh Dr. Jose P. Rizal bertajuk My Last Farewell yang ditulis sebelum beliau menjalani hukuman bunuh.
Sajak ini dikatakan telah disembunyikan oleh Dr. Jose Rizal di bawah sebuah lampu meja sebelum kematiannya. Lampu ini telah diserahkan kepada keluarga beliau selepas kematiannya dan di situlah ia ditemui oleh keluarga Dr. Rizal.
Dr. Jose Rizal telah dihukum bunuh oleh penjajah Sepanyol kerana beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk Noli Me Tangere yang bermaksud Touch Me Not. Buku ini menceritakan kekejaman Sepanyol kepada penduduk Filipina. Disebabkan Dr. Rizal boleh bertutur dalam 22 bahasa, beliau telah menterjemahkan karangan ini ke dalam pelbagai bahasa dunia sehingga menyebabkan seluruh dunia mengetahui tentang kekejaman Sepanyol di Filipina. 

Pemerintah Sepanyol di Filipina yang tidak menyenangi perkara ini telah menangkap dan memenjarakan Dr. Rizal di Fort Santiago di Manila. Dari sanalah, Rizal telah dibawa ke sini dengan berjalan kaki untuk menjalani hukuman bunuh.

Pemerintah Sepanyol telah menyediakan 2 pasukan tentera untuk menembak Rizal. Pasukan pertama yang diletakkan di barisan depan terdiri dari rakyat Filipina sendiri. Pasukan kedua yang terdiri dari orang Sepanyol diletakkan di barisan belakang, sebagai backup sekiranya pasukan pertama yang terdiri dari orang Filipina ini gagal melaksanakan tugas untuk menembak Rizal.

Di sinilah Dr. Jose Rizal menjalani hukuman bunuh oleh tentera Sepanyol.
Dr Rizal telah ditembak dari belakang oleh pasukan penembak Sepanyol.
Pemandangan dari hadapan.
Kami kemudiannya mendapat tahu bahawa Rizal bukanlah satu-satunya rakyat Filipina yang menjalani hukuman bunuh di sini. Sewaktu Sepanyol menjajah Filipina dahulu, mereka telah memaksa rakyat Filipina yang rata-ratanya beragama Islam ketika itu memeluk agama Kristian Katholik. Sesiapa yang enggan menukar agama juga diperintah menjalani hukuman bunuh di sini. Myself pasti ada ramai rakyat Filipina yang mati syahid di sini kerana enggan menukar agama ketika itu.

Ada pertunjukan Light and Sound di sini setiap malam selain hari Isnin dan Selasa. Pertunjukan ini diadakan dalam dua bahasa: Tagalog pada pukul 8 malam dan Bahasa Inggeris pada pukul 10 malam. Kami walau bagaimanapun tidak menyaksikan pertunjukan ini.

Pertunjukan Light & Sound diadakan di sini setiap malam kecuali pada hari Isnin dan Selasa.
Sewaktu meninggalkan The Martyrdom of Dr. Jose Rizal, kami bertemu pula dengan pasangan Richard dan Elsa Tomas yang sedang melaksanakan kerja-kerja pencahayaan di seluruh Rizal Park. Pasangan ini pernah menetap di Kuala Lumpur sebelum ini kerana terlibat dengan projek pemasangan lampu-lampu pencahayaan Menara Kembar Petronas di KLCC. Richard yang mula menegur kami. Dia dapat mengecam yang kami datang dari Malaysia kerana mungkin dia melihat Myself memakai tudung kepala.

Richard sebenarnya berasal dari Perancis manakala isterinya Elsa pula berasal dari Philippines. Pada mulanya mereka mendapat kontrak pencahayaan Rizal Park sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru yang lalu. Oleh kerana projek pencahayaan mereka sangat berjaya, mereka ditawarkan pula kontrak untuk memasang lampu-lampu pencahayaan kekal di seluruh Rizal Park.

Richard dan Elsa Tomas yang sangat peramah.

Part 6: Kembali ke Manila Hotel

Dah puas bersiar di Rizal Park, kami kembali ke Manila Hotel. Kami melihat ramai gadis-gadis remaja yang berpakaian bagaikan Princess di hotel ini pada malam itu.

Gadis-gadis berpakaian bak Princess di Manila Hotel.
Pasti mereka anak orang berada sehingga boleh mengadakan Majlis Prom di hotel mewah begini.
Kami diberitahu, gadis-gadis ini sedang mengadakan Majlis Prom di Manila Hotel. Menjadi adat di Filipina di mana majlis-majlis Prom ini diadakan bila usia gadis mencecah 18 tahun. Ini menandakan mereka telah dewasa dan dah boleh bercinta dengan teman lelaki masing-masing. American betul budaya ni!

Kami kemudiannya menuju ke Cafe Ilang-Ilang di hotel ini untuk makan malam. Malangnya kami diberitahu yang restoran ini telah penuh ditempah pada malam tersebut. Jadi kami dinasihatkan untuk menempah makanan menggunakan Room Service sahaja pada malam itu.

Cafe Ilang-Ilang di Manila Hotel ini ada menyediakan makanan Halal.
Pemandangan dari luar Cafe Ilang-Ilang. Malangnya, kami tak dapat makan di sini kerana restoran telah penuh ditempah pada malam itu.
Sebelum pulang ke bilik, kami bersiar-siar dulu menikmati pemandangan malam di sekitar swimming pool.

Pemandangan swimming pool pada waktu malam.
Bersiar-siar di tepi swimming pool.
Bunga-bungaan yang cantik menghiasi laluan di tepi swimming pool.
Pemandangan bangunan Manila Hotel dari swimming pool di waktu malam.
Pemandangan malam Manila Bay yang terletak di belakang Manila Hotel.
Sebaik selepas menunaikan Solat Jamak Maghrib dan Isyak di dalam bilik, kami terus menempah makan malam menggunakan Room Service.

Merujuk menu Room Service untuk menempah makan malam.
Manila Hotel adalah salah sebuah di antara beberapa hotel 5 bintang di sekitar Manila yang mempunyai Halal Kitchen.
Makan malam yang dipesan menggunakan Room Service turut dihantar bersama meja makan. Pilihan makanan malam ini adalah Butter Chicken dan Pancit Bihon (Mihun Goreng versi Philippines).

Bersambung ke Bhg. 3...


CATATAN PERJALANAN PHILIPPINES 2016: