Monday 22 April 2013

2013 UMRAH BHG. 3 (Ziarah Makkah)

April 2013

ARAB SAUDI
Makkah & Madinah

Bahagian 3: ZIARAH KOTA MAKKAH


Part 14: Kota Makkah 

Kota Makkah yang penuh rahmat adalah sebuah kota tua. Pembangunan bandarnya juga tidak dirancang dengan baik pada masa dahulu menyebabkan ia penuh sesak setiap kali bandar ini menerima tetamu yang datang berduyun-duyun ketika musim Haji dan Umrah. 

Oleh kerana itu, Kerajaan Arab Saudi mengambil langkah untuk membangunkan semula kota ini. Projek pembangunan intensif ini telah dimulakan pada bulan Januari 2006 sewaktu Myself dan Husband masih berada di sini selepas mengerjakan ibadah Haji. Ketika itu juga kami telah dapat melihat kerja-kerja meruntuhkan bangunan-bangunan lama dimulakan. 

Antara projek utama yang dilaksanakan ialah pembesaran Masjidil Haram. Bagi tujuan tersebut, bangunan-bangunan lama di sekitar Masjid (termasuklah hotel penginapan kami waktu menunaikan Haji dahulu) telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembesaran Masjid.

Projek pembesaran Masjidil Haram yang dilaksanakan secara intensif di kota Makkah.
Satu-satunya kawasan di Makkah yang masih belum dirobohkan ialah Al-Misfalah. Hotel penginapan kami dalam perjalanan ini yang bernama Hotel Afwaj At-Thoubah terletak di kawasan ini.

Pemandangan di kawasan Al-Misfalah. Inilah satu-satunya kawasan berhampiran Masjidil Haram yang masih belum dirobohkan untuk pembangunan semula kota Makkah.
Pemandangan kawasan komersil Al-Misfalah
Kedai-kedai jualan di Al-Misfalah
Hotel Afwaj At-Thoubah terletak 680 meter dari Masjidil Haram. Untuk sampai ke masjid dari hotel ini, kami terpaksa berjalan kaki selama 20 minit melalui kedai-kedai perniagaan dan kawasan-kawasan pembinaan. Projek-projek pembinaan di Makkah dijalankan 24 jam sehari. Kerja-kerja hanya dihentikan setiap kali masuk waktu solat. Keadaan kering dan berdebu juga menyebabkan ramai Jemaah jatuh sakit bila berkunjung ke sini (termasuklah Myself).

Hotel Afwaj At-Thoubah di Makkah
Kawasan pembinaan yang perlu ditempuhi dalam perjalanan ke Masjidil Haram setiap hari.
Jambatan yang masih dalam pembinaan berhampiran Masjidil Haram
Menara Zamzam adalah mercu tanda terbaru di kota Makkah. Ia adalah menara jam yang tertinggi di dunia pada masa sekarang. Menara ini tidak wujud sewaktu kami menunaikan ibadah Haji pada tahun 2006.

Ayat-ayat Tasbih di Menara Zam Zam sentiasa bertukar. Bila azan berkumandang, background ayat tersebut yang berwarna merah akan bertukar menjadi hijau.
Kerja-kerja pembinaan masih berlangsung di belakang Menara Zamzam
Menara Zamzam mengandungi hotel dan pusat perniagaan di dalamnya. Namun kami tak berkesempatan masuk ke dalam bangunan tersebut dalam kunjungan kali ini.

Part 15: Masjidil Haram 

Masjidil Haram adalah masjid paling utama di dalam Islam. Ia juga merupakan masjid terbesar di dunia dan dibina mengelilingi Kaabah. Masjid ini sedang diperbesarkan untuk menampung jumlah Jemaah Haji yang semakin bertambah setiap tahun.


Pemandangan Masjidil Haram pada bulan April 2013. Ia hanya boleh dimasuki dari arah ini memandangkan separuh masjid telah ditutup untuk tujuan pembesaran.
Pintu King Abdul Aziz yang bertentangan dengan Menara Zamzam adalah laluan keluar masuk utama ke Masjidil Haram kerana kawasan lain telah ditutup untuk kerja-kerja pembinaan.
Pemandangan bahagian masjid yang ditutup untuk pembinaan dari Dataran Kaabah.
Hoarding kawasan pembinaan di bahagian dalam masjid yang dilukis cantik.
Tidak seperti di Masjid Nabawi di Madinah di mana kawasan solat lelaki dan wanita jelas terpisah, tiada sempadan nyata antara kawasan solat untuk lelaki dan wanita di Masjidil Haram. Kawasan-kawasan solat untuk lelaki dan wanita hanya dikawal oleh polis.

Satu cabaran yang dihadapi semasa di Makkah dan Madinah ialah waktu solat di antara Zohor dan Isyak yang selang waktunya cuma purata 2 jam antara satu sama lain. Disebabkan perkara ini juga, sukar bagi kami untuk mengatur aktiviti seperti shopping dan ziarah tanpa perlu berkejar-kejar untuk berjemaah di Masjid.

Pemandangan ruang solat lelaki di Masjidil Haram
Pemandangan di ruang solat wanita di Masjidil Haram yang menghadap ke Dataran Kaabah.
Pada satu hari selepas melakukan Umrah kali kedua, Myself terpaksa bersolat di Basement kerana ruang solat yang menghadap ke Dataran Kaabah telah penuh.
Pada satu hari lain pula, Myself terlewat datang ke Masjid kerana mengikut program Ziarah Luar Kota Makkah. Oleh kerana ruang solat di tingkat bawah telah penuh, Myself telah diarahkan oleh polis yang berkawal untuk naik ke tingkat atas. Menara Zam Zam dapat dilihat dengan jelas dari aras ini.
Beginilah pemandangan di dalam masjid berhampiran Pintu King Abdul Aziz setiap kali selepas selesai solat.
Untuk mengelakkan kesesakan dalam Masjid, Myself dan Husband menetapkan tempat pertemuan kami selepas solat di depan Al Rajhi Bank ini untuk balik bersama ke Hotel.
Antara peniaga jalanan di luar masjid yang menambahkan suasana kesesakan setiap kali habis solat di Masjid.
Penjual makanan burung merpati
Peminta sedekah dari Afrika ini muncul dengan banyaknya secara tiba-tiba pada hari ketiga kami berada di kota Makkah.
Lori ini bersedekah makanan kepada Jemaah yang memerlukan setiap hari.
Pakcik ini begitu gembira dapat makanan free dari lori.

Part 16: Ziarah Luar Kota Makkah 

Kami juga mengikut Program Ziarah Luar sewaktu di kota Makkah.

Program yang diaturkan oleh pihak Andalusia untuk kumpulan kami

MASJID SAIYIDATINA AISYAH

Antara tempat pertama yang kami kunjungi di Makkah adalah Masjid Sayidatina Aisyah di Tana'im. Masjid ini adalah Miqat paling hampir bagi penduduk Makkah yang ingin menunaikan Umrah.

Memandangkan tak semua ahli kumpulan turut serta dalam perjalanan ini, kami dibawa ke sana dengan menaiki sebuah van sahaja.


Dalam van menuju ke Tana'im
Masjid Sayidatina Aisyah
Corridoor Masjid Sayidatina Aisyah

MUZIUM DUA MASJID SUCI

Kumpulan kami bertuah kerana dapat berkunjung ke Muzium Dua Masjid Suci di Makkah. Bagi Myself, ini juga adalah kali pertama dapat berkunjung ke sini kerana kesempatan tersebut tidak diperolehi dalam perjalanan-perjalanan terdahulu.

Muzium Dua Masjid Suci Di Makkah
Di Muzium ini, terdapat pameran senibina dahulu dan terkini Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Turut dipamerkan adalah artifak-artifak berkaitan pembinaan kedua-dua masjid ini seperti tangga dan pintu lama Kaabah, tiang lama Kaabah, penutup Perigi Zam-zam dan pelbagai lagi.

Pelbagai bahan sejarah berkaitan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dipamerkan di muzium ini.
Model Masjidil Haram yang sedang dalam pembesaran turut dipamerkan.
Muzium ini sebenarnya tidak bebas untuk dikunjungi. Agen-agen Umrah perlu mendapatkan permit dari pihak berkuasa untuk membawa Jemaah masing-masing ke sini.

HUDAIBIYAH

Lawatan seterusnya adalah ke Hudaibiyah untuk melawat Ladang Unta dan juga Masjid Hudaibiyah.


Ladang unta di Hudaibiyah
Unta adalah haiwan yang sangat istimewa kerana ia dikatakan dicipta dari lebihan tanah ciptaan Nabi Adam as. Ia boleh hidup tanpa makanan dan minuman berhari-hari lamanya kerana ia menyimpan lemak di dalam bonggolnya.

Memberi makan kepada unta
Selain itu, unta mendapat jolokan sebagai "Bahtera Di Padang Pasir" kerana ia mempunyai GPS dalamannya sendiri. Unta mempunyai daya ingatan yang kuat dan boleh mengingati jalan yang telah dilalui walaupun berdepan dengan ribut di padang pasir. Oleh yang demikian, tuan unta boleh tidur dengan lena di atas unta dan membiarkan saja unta berjalan tanpa bimbang mereka akan tersesat.

Disebabkan daya ingatan unta kuat seperti gajah, kami diingatkan supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menyakiti haiwan itu kerana bimbang mereka akan membalas dendam.

Melihat "Bahtera di Padang Pasir" dengan lebih dekat
Ketika melihat kaki unta ini diikat untuk memudahkan proses memerah susu, Myself teringat akan seekor unta bernama "George Bush" yang pernah ditemui di kawasan Hudaibiyah ini sewaktu perjalanan Umrah pada tahun 2002 dulu.
Jika disapu ke muka, buih susu unta dikatakan bagus untuk mencantikkan kulit muka. Untuk keberkesanan, kenalah consistent mengamalkannya.
Kembali dari Ladang Unta, kami singgah di Masjid Hudaibiyah. Seperti Tana'im, Hudaibiyah juga adalah satu lagi Miqat bagi penduduk Makkah yang ingin menunaikan Umrah.

Masjid Hudaibiyah
Di kawasan Masjid Hudaibiyah ini jugalah berlakunya Perjanjian Hudaibiyah. Peristiwa ini berlaku sewaktu Rasulullah bersama-sama 1,400 orang Islam Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji. Apabila pihak Musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Makkah. Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan ke Makkah untuk menjelaskan tujuan tersebut kepada wakil pihak Musyrikin itu.

Uthman bin Affan ditahan dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar untuk menuntut atas kematian itu. Ikrar ini dikenali sebagai Bai'ah Ridhwan. Apabila mendengar berita ini, pihak Musyrikin pun membebaskan Uthman bin Affan dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan orang Islam. Perundingan ini membawa kepada berlakunya "Perjanjian Hudaibiyah" yang dinamakan sempena tempat berlakunya perjanjian tersebut iaitu "Hudaibiyah".

Perjanjian Hudaibiyah dikatakan ditandatangani di tapak masjid lama ini.

JABAL THUR

Jabal Thur adalah tempat persembunyian Nabi Muhammad saw bersama Saidina Abu Bakar dalam perjalanan mereka berhijrah dari Makkah ke Madinah. Laluan yang mereka lalui untuk meninggalkan kota Makkah adalah menerusi kawasan Al-Misfalah (kawasan di mana letaknya Hotel Afwaj At-Thoubah).


Jabal Thur. Gua persembunyian Nabi Muhammad saw dan Abu Bakar As-Siddik tidak dapat dilihat dari arah ini.
Sewaktu Rasullullah dan Abu Bakar bersembunyi di sini, setiap hari anak perempuan Saidina Abu Bakar yang bernama Asma akan memanjat bukit yang tinggi ini untuk membekalkan makanan kepada ayahnya dan Nabi Muhammad saw.

PADANG ARAFAH
 
Memang banyak kenangan Haji sewaktu kami berkunjung ke Padang Arafah dan Mina. Kedua-dua tempat ini adalah tempat yang wajib dikunjungi sewaktu melakukan ibadah Haji.

Persinggahan pertama di kawasan ini ialah Jabal Rahmah, tempat pertemuan Nabi Adam dengan isterinya Siti Hawa setelah diusir dari syurga. Ramai yang berdoa di sini meminta jodoh untuk kaum keluarga dan juga mungkin untuk diri sendiri.


Puncak Jabal Rahmah di mana Nabi Adam as dan Siti Hawa bertemu kembali.
Kawasan di kaki Jabal Rahmah ini adalah tempat di mana Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhir banginda yang dinamakan Khutbah Wida'.
Dulu ada banyak unta tunggangan untuk disewa kawasan ini di kaki Jabal Rahmah. Aktiviti ini  tidak lagi dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menjaga kebersihan tempat ini.
Padang Arafah yang merupakan tempat wukuf bagi Jemaah Haji terletak di kaki Jabal Rahmah. Oleh kerana kawasan ini hanya digunakan dalam musim Haji, ia kelihatan kosong dan sepi.

Kawasan khemah Wukuf di Arafah
Kami juga melalui kawasan Muzdalifah. Kagum melihat ada perkhidmatan monorail di sini. Khidmat monorail tidak wujud sewaktu kami menunaikan Haji dulu.

Stesen monorail di Muzdalifah

MINA

Mina adalah  lokasi untuk melontar Jamrah, satu ibadah wajib dalam mengerjakan Haji. Di sinilah Jemaah Haji akan bermalam selama 3 malam berturut-turut di Musim Haji.

Keadaan tempat ini sangat berbeza dengan ketika kami mengerjakan Haji dahulu. Bangunan Jamrah yang dulunya dibina 2 tingkat, kini telah dibina baru setinggi 5 tingkat.

Pemandangan di Mina ini sangat berbeza dengan pemandangan sewaktu kami menunaikan Haji di sini 6 tahun yang lalu. Bangunan hotel untuk kegunaan VIP di sebelah kanan tidak wujud ketika itu.
Bangunan seperti tempat parking ini adalah Jamrah. Sewaktu kami menunaikan Haji dulu binaan Jamrah sangat simple, setinggi 2 tingkat sahaja.
Ketika meninggalkan Mina, kami melalui bukit yang merupakan tapak sembelihan Nabi Ismail pada masa dahulu. Disebabkan ketakwaan ayahnya Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Tuhan, sembelihan Nabi Ismail telah digantikan dengan seekor kibas.

JA'RANAH

Sekembali dari lawatan ke Arafah dan Mina, rombongan kami mengambil kesempatan untuk berhenti di Masjid Ja'ranah yang juga merupakan Miqat Umrah bagi penduduk Makkah. Ahli-ahli rombongan yang ingin menunaikan Umrah memasang niat mereka di sini.


Masjid Ja'ranah.

JABAL NUR

Dalam perjalanan pulang ke Makkah dari Ja'ranah, kami melalui Jabal Nur (yang bermaksud Bukit Cahaya) di mana letaknya Gua Hira'. Di Bukit inilah Nabi Muhammad saw menerima wahyu pertama yang dibawa oleh Malaikat Jibril.


Jabal Nur di mana letaknya Gua Hira'.
Bagi yang berminat, pihak Andalusia mempunyai program untuk mendaki Jabal Nur bagi melawat Gua Hira'. Kami walau bagaimanapun tidak menyertai program ini. 

Mengikut kata Mutawwif kami yang dah berkali-kali memanjat Jabal Nur, bukit ini memang bercahaya kerana ia boleh didaki tanpa bantuan dari lampu suluh walaupun di tengah malam yang gelap.


 Bersambung ke Umrah Bhg. 4...


CATATAN PERJALANAN JORDAN & UMRAH (2013):