Sunday 17 February 2013

2013 YOGYAKARTA BHG. 1

Februari 2013

JAWA TENGAH, INDONESIA
Yogyakarta


Bahagian 1: Yogyakarta 1
CANDI PRAMBANAN, KOTAGEDE & MERAPI LAVA TOUR

HARI PERTAMA

Kalendar pengembaraan ke luar negara tahun 2013 dimulakan dengan perjalanan ke Yogyakarta, Indonesia pada musim cuti perayaan Tahun Baru Cina. Perjalanan kali ini menggunakan penerbangan terus Air Asia dari LCCT Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta. 

Penerbangan ke Yogyakarta tertangguh selama 30 minit di LCCT sendiri kerana ada 8 penumpang tidak naik ke pesawat pada waktu yang ditetapkan. Oleh yang demikian, mengikut prosedur penerbangan, pihak Air Asia terpaksa mencari dan mengeluarkan beg-beg pakaian yang telah dicheck-in oleh penumpang-penumpang tadi.

Pesawat kami ke Yogyakarta. Lapan penumpang tidak muncul untuk menaiki pesawat ini walaupun selepas mendaftar masuk menyebabkan penerbangan lewat berlepas selama 30 minit.
Selepas semua beg yang berkenaan ditemui dan dikeluarkan barulah pesawat kami terbang menuju ke Pulau Jawa di mana letaknya bandaraya Yogyakarta.

Peta penerbangan dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta
Disebabkan penerbangan berlepas pada waktu tengahari, agen pelancongan telah turut memasukkan pakej makanan di dalam tiket kami.

Set hidangan makanan tengahari kami di dalam pesawat Air Asia.
Tak cukup dengan Nasi Lemak dan Bukhara Chicken Briyani, ditambah pula dengan Maggi Kari dan Chicken Soup.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta memakan masa 2 jam 35 minit. Sebaik pesawat tiba di ruang udara Yogyakarta, terpegun melihat betapa padatnya penduduk di bandaraya ini. Kita tahu penduduk Jawa memang padat, tapi tak sangkalah pulak sepadat ini..

Beginilah padatnya penduduk di bandaraya Yogyakarta
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta kecil sahaja tetapi sangat sibuk dengan pesawat-pesawat yang sentiasa tiba dan berlepas dari pelbagai destinasi di seluruh Indonesia. Destinasi antarabangsa yang dihubungi langsung menerusi lapangan terbang ini cuma Kuala Lumpur dan Singapura. 

Selepas melalui pemeriksaan imigresen dan mengambil beg pakaian, kami bertemu dengan Tourist Guide kami, Pak Nurzaien dan pemandu kereta, Pak Wiyono.

Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta, Indonesia.

Part 1: Prambanan

Dari Lapangan Terbang, kami terus dibawa ke Candi Prambanan yang terletak tidak berapa jauh dari situ. Dalam perjalanan, kami tertarik melihat sekumpulan "Lelaki Cantik" sedang mendekati kenderaan-kenderaan yang berhenti di lampu merah untuk mencari pelanggan.

"Lelaki-lelaki Cantik" dalam perjalanan ke Candi Prambanan.

CANDI PRAMBANAN

Candi Prambanan adalah kompleks candi Hindu terbesar di Indonesia yang dibangunkan pada abad ke-9 Masehi. Candi ini juga telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Untuk masuk melawat candi ini, pengunjung diminta untuk memakai sarung yang disediakan oleh pihak Taman. Secara tak langsung, pemakaian sarung ini ditambah dengan bilangan pengunjung yang ramai, menimbulkan gambaran suasana kesibukan candi pada masa dahulu.

Semua pengunjung diwajibkan untuk memakai sarung begini untuk masuk ke kawasan Candi Prambanan.
Candi Prambanan
Pemandangan di dalam dataran utama Candi Prambanan
Tiga candi terbesar di dalam kompleks ini dipersembahkan untuk tiga dewa utama Hindu iaitu Brahma sebagai dewa pencipta, Vishnu sebagai dewa pemelihara, dan Siva sebagai dewa pemusnah. Candi paling besar dikhususkan untuk Siva kerana masyarakat Jawa kuno yang beragama Hindu amat takut kepada kemusnahan yang dikatakan boleh dibawa oleh Siva.

Candi terbesar yang dibina dikhususkan kepada Dewa Siva.
Bandaraya Yogyakarta telah mengalami tiga bencana alam yang sangat besar pada abad ini: Gempa Bumi dan letusan Gunung Merapi pada tahun 2006; diikuti satu lagi letusan Gunung Merapi pada tahun 2010. 

Gempa bumi yang berlaku pada tahun 2006 sedikit sebanyak telah merosakkan struktur Candi Prambanan. Walaupun candi untuk Dewa Siva boleh dimasuki oleh pengunjung, mereka perlu memakai topi keras sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku keruntuhan yang tidak dijangka.

Pengunjung yang masuk melawat Candi Siva diwajibkan memakai topi keselamatan
Notis mengenai status keselamatan Candi Siva selepas Gempa Bumi pada tahun 2006.
Serpihan binaan ini terjatuh dari puncak sebuah candi sewaktu gempa bumi pada tahun 2006.
Monumen gempa bumi di Candi Prambanan

CANDI SEWU

Sebuah lagi candi yang dilawati di Prambanan adalah Candi Sewu. Walaupun ia sebuah candi yang berbeza, candi ini masih terletak dalam kawasan arkeologi Candi Prambanan. Untuk ke sana, kami menaiki sebuah tram yang disediakan oleh pihak taman dari Candi Prambanan.

  
Tram yang membawa pengunjung dari Candi Prambanan ke Candi Sewu
Candi Sewu terletak 800 meter dari Candi Prambanan. Seperti Candi Prambanan, ia turut mengalami kemusnahan teruk dalam gempa bumi yang berlaku pada tahun 2006. 

Meskipun asalnya terdapat 249 candi, ia masih dinamakan "Sewu" yang bererti seribu dalam Bahasa Jawa berdasarkan kisah lagenda Loro Jonggrang. Lagenda Loro Jonggrang adalah sebuah kisah berlatar belakangkan kepercayaan Hindu, sekalipun Candi Sewu sebenarnya adalah sebuah candi Buddha.

Candi Sewu. Asalnya terdapat 249 candi di sini. Hanya beberapa buah sahaja yang masih berdiri selepas kejadian gempa bumi 2006.
Walaupun sukar, Kerajaan Indonesia dengan bantuan dari UNESCO berusaha memperbaiki semula candi yang rosak teruk ini dalam kejadian gempa bumi yang melanda pada tahun 2006.
Menurut lagendanya, seorang raja yang penuh sakti bernama Bandung Bondowoso telah jatuh cinta dan melamar seorang puteri yang cantik bernama Loro Jonggrang. Akan tetapi sang puteri menolak lamaran tersebut kerana Bandung Bondowoso telah membunuh ayahandanya. Bandung Bondowoso terus memujuk dan memaksa agar sang puteri berkahwin dengannya. Akhirnya Loro Jonggrang bersedia berkahwin dengan Bandung Bondowoso, tetapi dengan syarat beliau perlu membangunkan 1,000 candi untuknya dalam satu malam. Meskipun syarat itu amat berat dan mustahil untuk dipenuhi, Bandung Bondowoso telah menyanggupinya.

Sebagai raja yang penuh kesaktian, Bandung Bondowoso telah bersemadi dan memanggil makhluk-makhluk halus dari dalam bumi untuk membina 1,000 candi. Ketika Loro Jonggrang mendengar khabar bahawa seribu candi sudah hampir siap, sang puteri terus berusaha untuk menggagalkan Bondowoso. 

Loro Jonggrang membangunkan dayang-dayang istana dan perempuan-perempuan desa, lalu mengarahkan mereka supaya mula menumbuk padi. Kemudian, beliau memerintahkan supaya jerami dibakar di sebelah timur sehingga suasana menjadi terang-benderang. Mengira bahawa pagi telah tiba dan sebentar lagi matahari akan terbit, semua makhluk halus lari ketakutan dan bersembunyi masuk kembali ke dalam bumi. Akibatnya hanya 999 candi yang berjaya dibangunkan oleh Bandung Bondowoso dan seterusnya gagal memenuhi syarat yang diajukan oleh Loro Jonggrang. 

Ketika beliau mengetahui akan tipu muslihat Loro Jonggrang, Bandung Bondowoso amat murka dan menyumpah Loro Jonggrang menjadi batu. Sang puteri terus berubah menjadi arca yang paling indah untuk menggenapkan bilangan candi yang ke-1,000.

Pintu masuk ke candi ini dijaga oleh sepasang patung Dwarapala
Pengunjung berjalan di celah-celah keruntuhan Candi Sewu

Part 2: Kotagede

Lawatan seterusnya adalah ke kawasan yang dinamakan Kotagede yang pada masa dahulu merupakan pusat pemerintahan Kerajaan Islam Mataram.

Kotagede kini terkenal sebagai pusat penghasilan kraftangan perak.
Tujuan kami ke sini adalah untuk melawat Masjid Mataram. Namun disebabkan Pak Nurzaein tersilap arah, kami terpaksa berjalan merentasi kampung-kampung tradisional untuk sampai ke sana. Walaupun terpaksa berjalan jauh, kami tak kisah kerana ia memberikan kami peluang untuk melihat sendiri corak kehidupan sebenar penduduk Jawa tradisional.

Suasana perkampungan tradisional Jawa di Kotagede, Yogyakarta
Rumah hijau ini dimiliki oleh seorang penduduk yang berada
Walaupun rata-rata penduduk Jawa beragama Islam, ukiran-ukiran seperti di dinding rumah ini sering terdapat di mana-mana tempat.
Rumah-rumah di perkampungan Jawa dibina rapat-rapat dan sebahagian besarnya dibina dari batu. Walaupun sesak dan nampak tidak teratur, suasana di perkampungan rata-ratanya sangat bersih.

Kami juga melalui beberapa rumah adat yang dinamakan Rumah Joglo. Bahagian depan Rumah Joglo terdampar luas tanpa sekatan dan biasanya digunakan untuk menerima tetamu atau dijadikan ruang permainan kanak-kanak dan juga tempat bersantai bagi keluarga. Atap ruang ini juga menjulang tinggi seperti gunung.

Salah sebuah Rumah Joglo yang kami temui di Kotagede

MASJID MATARAM 

Akhirnya kami tiba juga di Masjid Mataram, dari arah belakang.

Dinding pagar Masjid Mataram menunjukkan ia pernah berfungsi sebagai kubu pertahanan pada masa lampau.
Elemen-elemen pengaruh binaan Hindu jelas kelihatan di Masjid Mataram
Kerajaan Mataram pernah bangun memerintah dari Yogyakarta sebanyak 2 kali. Kerajaan Mataram yang pertama beragama Hindu manakala Kerajaan Mataram kedua pula menerima agama Islam sebagai agama rasmi. Kami diberitahu, masjid ini adalah masjid yang pertama dibina oleh Kerajaan Mataram yang beragama Islam. Ia sengaja mengekalkan ciri-ciri binaan Hindu untuk menarik lebih ramai rakyatnya memeluk agama Islam.

Pintu masuk ke kawasan Masjid Mataram
Pemandangan courtyard Masjid Mataram
Klinik di dalam kawasan masjid
Kasut perlu dibuka di sini sebelum masuk ke dalam masjid.
Pada masa dahulu, pengunjung membasuh kaki melalui kolam air ini sebelum masuk ke dalam masjid.
Ruang solat terbuka di Masjid Mataram
Ruang solat di bahagian dalam Masjid Mataram
Mihrab dan Mimbar Masjid Mataram
Agak ganjil melihat terdapat ukiran naga pada mimbar masjid ini.
Untuk memelihara sejarah masjid ini, terdapat sedikit bahagian dinding bata asal dikekalkan dan dilindungi dengan kaca untuk memberi gambaran keadaan masjid ini pada masa dahulu.

KRAFTANGAN PERAK 

Selepas melawat Masjid Mataram, kami berjalan lagi mendapatkan kereta yang menunggu di depan sebuah pusat kraftangan perak. Dalam perjalanan, kami menempuh berbagai jenis kedai yang menjual barangan perak dari yang bersaiz kecil sehinggalah ke sebuah gedung yang besar.

Pasar Legi adalah mercu tanda utama di Kotagede
Salah sebuah kedai perak bersaiz kecil di Kotagede
Kereta kami menanti di depan gedung perak ini.
Oleh kerana ketika itu telah senja, hanya ruang pameran jualan sahaja yang masih dibuka. Bengkel pembuatan perak di belakang gedung telah ditutup.

Part 3: Restoran Den Nany

Sebelum check-in ke hotel, Pak Nurzaein membawa kami makan malam di Restoran Den Nany. Sambil makan, kami juga dihiburkan dengan nyanyian 'live' lagu-lagu pop Indonesia.

Restoran Den Nany di Yogyakarta
Hidangan makan malam yang ternyata sangat enak di Restoran Den Nany.

Part 4: Ibis Styles Hotel 

Hotel penginapan kami di Yogyakarta adalah sebuah hotel bertaraf 3 bintang bernama Ibis Styles Hotel. Senibina di luar dan dalam bangunan hotel amat moden sekali.

Ibis Styles Hotel di Yogyakarta
Kawasan menurunkan penumpang di Ibis Styles Hotel. Seperti kebanyakan hotel lain di Indonesia, semua kenderaan yang masuk ke hotel ini akan diperiksa oleh pengawal keselamatan untuk memastikan tiada bom diletakkan di bawah kenderaan.
Pada waktu malam, bahagian luar hotel dihiasi dengan lampu-lampu bergerak seperti suasana hujan.
Kaunter pendaftaran masuk di Ibis Styles Hotel
Ruang menunggu berhampiran lobi
Permaidani berwarna-warni di sepanjang corridor hotel.
Bilik kami di Ibis Styles Hotel. Dinding bilik airnya see-through dan diperbuat dari kaca.
Kalau nak guna bilik air, terpaksa tarik turun tirai di bilik air untuk privacy.
Oleh kerana Yogyakarta terdedah kepada gempa bumi setiap 4 tahun, panduan keselamatan sekiranya berlaku gempa bumi disediakan di dalam bilik hotel.
Oleh kerana hotel ini bertaraf 3 bintang, tak banyak pilihan makanan dalam buffet breakfast yang disediakan. Namun dari pengalaman Myself yang pernah berkunjung beberapa kali ke Indonesia, sebenarnya lebih bagus menginap di hotel 3 bintang di negara tersebut berbanding hotel bertaraf 4 atau 5 bintang kerana makanan di restoran hotel-hotel mewah banyak yang tidak halal.

Restoran di Ibis Styles Hotel
Sarapan pagi di Ibis Styles Hotel

HARI KEDUA (1)

Part 5: Gunung Merapi 

Lawatan hari kedua berkisar di sekitar Gunung Merapi dan Candi Borobudur.

CANGKRINGAN 

Cangkringan adalah sebuah kawasan desa yang terletak di kaki Gunung Merapi. Desa ini musnah dalam letusan Gunung Merapi pada bulan November 2010. Kini, kawasan tersebut dikunjungi oleh pelawat-pelawat yang ingin menyaksikan sendiri kesan kemusnahan dari bencana alam tersebut.

Perjalanan dari Yogyakarta ke Cangkringan mengambil masa kurang dari 1 jam. Dalam perjalanan, kami melalui kampus Universitas Gadjah Mada yang terkenal di Indonesia.

Kampus Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta
Pemandangan sawah padi dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Cangkringan. Di sebalik kemusnahan yang dibawa, lahar gunung berapi juga menganugerahkan tanah yang subur kepada Pulau Jawa.
Pintu Masuk ke Kawasan Wisata "Volcano Tour" di Cangkringan.
Di kaki gunung, terdapat beberapa buah kampung yang terselamat dari letusan Gunung Merapi dan masih dihuni sehingga ke hari ini. Semakin dekat dengan Gunung Merapi, hanya terdapat tinggalan kesan-kesan perkampungan yang telah musnah.
Kesan salah sebuah rumah yang musnah dalam letusan Gunung Merapi. Selepas 2 tahun berlalu, tanah-tanah gersang yang dulunya dipenuhi lava kini telah ditumbuhi rumput-rumput liar.
Di perkampungan-perkampungan yang dilalui, dapat ditemui beberapa buah bunker seperti ini untuk penduduk kampung berlindung dari awan panas letusan Merapi.

MERAPI LAVA TOUR 

Untuk meninjau kesan kemusnahan Merapi dengan lebih dekat, pengunjung boleh memilih untuk berjalan, menyewa motorsikal yang dipandu sendiri atau menyewa sebuah jeep yang lengkap dengan pemandu. Kami memilih untuk menyewa jeep dengan bayaran 250,000 Rupiah (sekitar RM80).

Jeep yang boleh disewa untuk bersiar-siar di sekitar Gunung Merapi
Bergambar dengan Jeep Merapi Lava Tour
Memanjat naik untuk masuk ke dalam Jeep
Menjelajah lereng Gunung Merapi dengan menaiki jeep. Perhatikan betapa dalamnya lurah ini yang dikelar lahar panas gunung berapi.
Aspek keselamatan kurang dititik beratkan di Indonesia, makanya jeep-jeep yang disediakan tidak dilengkapi dengan talipinggang keselamatan. Oleh kerana jalan yang dilalui curam dan tidak rata, maka kami sering saja terlambung-lambung hampir sepanjang masa. Pengalaman ini mungkin boleh disamakan dengan menyertai Paris-Dakar Rally yang terkenal itu.

Beginilah keadaan sebahagian besar jalan yang dilalui selama hampir 2 jam mengikuti Lava Tour di Cangkringan. Jalan ini sebenarnya adalah lahar yang telah kering. Mengikut kata pemandu jeep, kepanasan lahar ini hanya hilang dan selamat dilalui selepas setahun dimuntahkan dari perut Gunung Merapi.
Untuk mengelak dari tercampak keluar dari jeep, ada ketikanya kami terpaksa berpaut kuat kepada besi keselamatan di sisi jeep. Cat besi ini juga banyak yang telah tertanggal, mungkin disebabkan kesan peluh pautan tangan penumpang-penumpang yang pernah menaiki jeep.
Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan letusan, Kerajaan Indonesia membina empangan-empangan di lereng-lereng gunung berapi yang berpotensi menjadi laluan lahar termasuklah di sekitar Merapi. Walau bagaimanapun, kuantiti lahar dari letusan Merapi pada tahun 2010 ternyata sangat banyak dan di luar jangkaan sehingga tidak dapat ditampung oleh binaan yang disediakan.

Empangan yang dibina untuk menahan aliran lahar dari Gunung Merapi.
Pengalaman menaiki jeep menjelajah lereng Gunung Merapi sangat sukar untuk dilupakan. Kawasan bekas perkampungan yang dilalui musnah teruk dalam letusan Merapi dan tidak lagi mempunyai jalan-jalan berturap.

Untuk mendapatkan wang bagi membina kembali rumah mereka yang musnah, penduduk-penduduk mengenakan "tol" kepada pelancong-pelancong yang melalui kawasan tanah dan rumah mereka. Bayaran tol ini walau bagaimanapun diuruskan oleh pemandu jeep, memandangkan kosnya telah diambil kira dalam sewaan jeep.

Rumah di perkampungan ini musnah terbakar secara langsung oleh kepanasan lahar yang dimuntahkan oleh Gunung Merapi. Kampung ini terletak 7 km dari kawah Gunung Merapi.
Tidak semua perkampungan di lereng Merapi musnah disebabkan terbakar oleh kepanasan lahar. Ada di antaranya musnah terkena "lahar sejuk". Letusan Merapi menyebabkan tanah sekeliling gunung menjadi longgar. Apabila hujan turun dengan lebatnya, maka terjadilah tanah runtuh dan banjir lumpur yang melanda sehingga memusnahkan pula beberapa kampung yang lain.

Kampung yang dimusnahkan oleh lahar sejuk. Perhatikan ketinggian lahar sejuk yang ketinggiannya separuh dari ketinggian tingkap.
Kami dibawa ke bekas sebuah kampung yang dinamakan Dusun Jambu. Tarikan di sini adalah sebuah batu besar yang termuntah dari Gunung Merapi yang dinamakan Batu Alien.

Haiwan-haiwan ternakan turut menjadi korban Merapi. Tulang lembu yang menjadi korban Merapi diabadikan sebagai kenangan di kawasan yang dulunya bernama Dusun Jambu.
'Kepala Alien' yang dimuntahkan dari Gunung Merapi, terseret sejauh 7 km ke kawasan ini.
Papan tanda yang didirikan untuk memperingati Dusun Jambu
Persinggahan Lava Tour terakhir adalah bekas sebuah kampung yang dinamakan Kaliadem. Pada masa dahulu, perkampungan yang terletak 4 km dari kawah Merapi ini adalah kampung yang paling hampir dengan Merapi.

Di sini jugalah tinggalnya seorang tua yang bernama Mbah Marijan yang merupakan juru kunci bagi Merapi. Juru kunci adalah penjaga tempat-tempat keramat di Pulau Jawa. Mereka bertugas mengunci semua rahsia buruk dan menjaga semua kebaikan supaya tetap terjalin hubungan serasi antara masyarakat, adat dan alam sekeliling. Walau tidak dibayar gaji, mereka memiliki kedudukan penting dan terhormat di kalangan masyarakat adat.

Pada tahun 2006, sewaktu Yogyakarta dilanda gempa bumi berskala 5.9 Richter, Kerajaan Indonesia mengesan kemungkinan letusan Merapi berlaku dan mengarahkan penduduk sekitar Merapi untuk berpindah keluar. Walau bagaimanapun, Mbah Marijan enggan berpindah kerana mengikut katanya, Gunung Merapi tidak akan meletus. Malah selaku juru kunci Merapi, Mbah Marijan telah naik ke puncak gunung untuk berdoa supaya Merapi tidak memberikan kemusnahan yang besar. 

Merapi hanya meletus sebulan kemudian, tanpa kemalangan jiwa yang besar dan peristiwa itu menjadikan Mbah Marijan seorang yang terkenal. Pada tahun 2010, Kerajaan Indonesia sekali lagi mengeluarkan amaran mengenai letusan Merapi dan mengarahkan penduduk berpindah keluar. Sekali lagi juga, Mbah Marijan tidak keluar dan oleh kerana penduduk kampung mempercayai Mbah Marijan mampu menjinakkan Merapi sekali lagi, mereka turut mengingkari arahan untuk berpindah. Tetapi tidak seperti letusan pada tahun 2006, Merapi meletus hebat pada tahun 2010 dan mengorbankan beratus-ratus nyawa, termasuklah Mbah Marijan sendiri.

Inilah bekas perkampungan Mbah Marijan yang menjadi bagaikan padang jarak padang terkukur. Kini kawasan ini menjadi tapak mula untuk pendakian ke kawah gunung Merapi.
Kawasan ini terletak hanya kira-kira 3 km dari Merapi.  Bayangkan kalau anda berada di sini sewaktu lahar mengalir turun dari atas sana. Kata Pak Nurzaein, lahar hanya mengambil masa 30 minit untuk sampai ke sini dari puncak Merapi.
Gunung Merapi masih hidup sehingga ke hari ini. Sekiranya awan tak tebal macam waktu kami di sana, puncak Merapi yang masih membakar dan kemerah-merahan dapat dilihat pada masa sekarang, terutama di waktu malam.
Pokok-pokok hutan yang masih mempunyai kesan kebakaran dari awan panas.
Amat sukar sekali berjalan di atas kesan lahar kering ini kerana terdapat banyak puing-puing batu yang longgar. Kalau tak berhati-hati melangkah, boleh tergolek jatuh ke bawah.

Part 6: Muzium Gunungapi Merapi

Merapi kami tinggalkan dengan perasaan penuh insaf akan kekuasaan Allah. Ternyata, Allah Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya kerana di sebalik kemusnahan, Dia turut menganugerahkan tanah yang subur untuk membolehkan mereka yang terselamat meneruskan kehidupan.

Salah sebuah lurah laluan lahar Merapi yang ditempuhi.
Destinasi seterusnya ialah Muzium Gunungapi Merapi untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang Gunung Berapi. Di Indonesia yang mempunyai beribu-ribu pulau, satu-satunya pulau yang terselamat dari ancaman gunung berapi ialah Kalimantan. Gunung berapi terbesar pula adalah di Krakatau. Mujurlah tak ada orang tinggal di Pulau Krakatau kerana kalau gunung itu meletus sekarang, pasti banyak nyawa yang terkorban.

Muzium Gunungapi Merapi
Model Gunung Merapi di pintu masuk muzium
Pelbagai informasi tentang gunung berapi boleh didapati di sini
Gunung-gunung berapi terdapat di semua pulau utama di Indonesia, kecuali di Kalimantan. 
Kami juga sempat menonton sebuah filem dokumentari bertajuk "Di Bawah Awan Merapi".
Pameran mengenai bentuk-bentuk letusan Gunung Merapi

Part 7: Perjalanan Ke Borobudur 

Di sebelah petang, perjalanan diteruskan ke sebuah lagi Tapak Warisan Dunia yang terdapat di Yogyakarta, Candi Borobudur. Dalam perjalanan, kami dibawa melihat dengan dekat pokok buah salak pondoh (snake fruit) yang banyak terdapat di Yogyakarta.

Pokok Salak Pondoh
Kami juga dapat melihat majlis perkahwinan yang diadakan di sebuah kampung dalam perjalanan.

Majlis perkahwinan di sebuah kampung
Di banyak tempat, kami melihat pembaikan-pembaikan kesan dari kemusnahan akibat gempa bumi dan letusan Gunung Merapi masih dijalankan.

Sungai ini tertimbus dengan lahar dari Gunung Merapi. Kerja-kerja pengorekan untuk mengembalikan aliran air sungai sedang dilaksanakan pada masa sekarang.
Sebelum melawat ke candi Borobudur, kami singgah dulu makan tengahari di Restoran Ansor's Silver yang terletak di tepi sawah.

Restoran Ansor's Silver di Borobudur
Dekorasi menarik di Restoran Ansor's Silver
Taman tradisional Jawa di Restoran Ansor's Silver
Restoran Ansor's Silver juga mempunyai surau. Jadi kami bersolat jamak dulu di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Candi Borobudur.

Orang Jawa gemar memelihara burung di dalam sangkar dan salah satu aktiviti rekreasi tradisi mereka adalah lumba burung merpati. Dalam perjalanan, Pak Nurzaein turut menunjukkan kami tempat melatih burung merpati berlumba. Namun begitu, kami tak berkesempatan menyaksikan bagaimana proses sebenar latihan dilaksanakan.

Gelanggang latihan lumba burung merpati

Bersambung ke Bahagian 2...


CATATAN PERJALANAN YOGYAKARTA (2013):