Saturday 7 May 2016

2016 GUILIN BHG. 04 (Bamboo Rafting)

April 2016

GUANGXI, CHINA
Guilin & Yangshuo

Bahagian
4: Yangshuo (2)
MOON HILL, BAMBOO RAFTING & SILVER CAVE


HARI KEDUA (2)

Part 11: Moon Hill 

Perjalanan diteruskan lagi untuk aktiviti di sebelah petang, Bamboo Rafting di sebuah perkampungan yang dinamakan Lipu.

Pemandangan petang di kota Yangshuo.
Penjual arnab.
Lorong basikal
Meninggalkan Yangshuo untuk ke Lipu.
Perjalanan ke Lipu.
Kawasan pertanian.
Tak nampak jelas dalam gambar ini, tapi ada aktiviti Rock Climbing sedang dibuat di sini.
Butterfly Spring Park ~ salah sebuah tarikan pelancong di Guilin. Namun, kami tak singgah di sini.
Perjalanan ke Lipu melalui kawasan-kawasan perkampungan yang indah. Sesekali, Sungai Li juga memunculkan diri dalam pandangan. Pemandangan indah di kawasan ini dikenali sebagai "Ten Mile Gallery".

Sungai Li yang sesekali memunculkan diri dalam pandangan.
Pemandangan indah di luar bandar Yangshuo menuju ke Lipu ini dikenali di kalangan penduduk China sebagai "Ten Mile Gallery".
Sebuah lagi kawasan pelancongan yang tidak kami kunjungi.
Bas kemudiannya membelok ke satu kawasan. Kata Francis, dia nak menunjukkan sesuatu yang istimewa kepada kami di sini. Pada mulanya memanglah tak nampak apa yang istimewa sangat di sini...

Bas membelok ke sebuah kawasan perkampungan di tepi jalan.
Memang tak tahu apa yang istimewa sangat di sini pada mulanya...
Ta da!!... Itulah pemandangan istimewa di sini ~ Moon Hill.
Selepas turun dari bas, barulah jelas kelihatan pemandangan Moon Hill yang begitu unik dan menakjubkan. Kalau dipandang dari arah yang berlainan, Moon Hill akan kelihatan seperti bulan penuh dan juga bulan sabit. Namun kami tak nampak pemandangan yang dikatakan kerana kami cuma melihatnya dari satu arah sahaja.

Moon Hill
Sebenarnya ada 800 anak tangga yang dibina untuk naik ke Moon Hill tetapi kami tidaklah pergi ke sana. Cukup sekadar melihat Moon Hill dari jauh kerana pemandangan dari sini juga dah cukup menakjubkan.

Gunung ini juga menarik perhatian Presiden Amerika, Bill Clinton sewaktu beliau berkunjung ke sini. Dia dikatakan tak percaya bila diberitahu lubang di gunung ini terbentuk secara semulajadi. Demi untuk mendapatkan kepastian, Presiden Clinton telah memanjat sendiri naik ke atas sana. (Kesian kat pengiring-pengiring Presiden yang dah pasti kena memanjat juga ke atas sana bersama beliau...)

Bila tiba di atas sana dan memegang sendiri lubang tersebut, barulah Presiden percaya. Presiden kemudiannya berkata yang dia merasa sangat cemburu kerana Tuhan mengurniakan gunung ini kepada Guilin dan bukan kepada negara Amerika.

Lubang pada Moon Hill ini terbentuk secara semulajadi.
Pemandangan gunung-gunung lain berhampiran Moon Hill.
Perkampungan berhampiran Moon Hil.
Gadis yang memakai Osanthemus Flower (Guilin Flower) di kepala.

Part 12: Bamboo Rafting

Kemudian, barulah kami meneruskan perjalanan ke Lipu untuk membuat Bamboo Rafting. Bamboo Rafting ni sebenarnya adalah Optional Tour dalam itinerari kami. Optional Tour ini ditawarkan dengan bayaran tambahan 350 Yuan seorang (RM 210) yang meliputi Bamboo Rafting, persembahan Guilin Mirage Show dan Guilin Night Tour.

Meneruskan perjalanan ke Lipu.
Pemandangan yang tenang dan damai.
Ini masih sebahagian pemandangan "The Ten Mile Gallery".
Akhirnya kami tiba di Lipu. Lipu adalah sebuah kawasan miskin yang sebahagian besar penduduknya terdiri dari golongan tua. Kawasan ini kini telah dipromosi oleh Kerajaan China sebagai kawasan Bamboo Rafting di Guilin.

Tiba di Bandar Lipu. China adalah negara asal telefon Oppo.
Perkampungan Lipu sangat cantik. Sewaktu tiba di sini, perkara pertama yang menarik perhatian kami ialah sebatang jalan menyeberang sungai untuk ke kampung di sebelah sana. Jalan ini juga dibina betul-betul di dalam aliran air Sungai Lipu. Semua kenderaan juga perlu meredah air sungai sewaktu menggunakan jalan ini.

Pemandangan di perkampungan Bamboo Rafting di Lipu.
Benteng  Sungai Lipu.
Kedai-kedai jualan di tepi sungai.
Cendawan-cendawan gergasi untuk jualan.
Benteng yang mengempang Sungai Lipu ini juga adalah laluan keluar-masuk ke perkampungan di seberang sungai.
Kenderaan meredah air sungai sewaktu melalui benteng Sungai Lipu.
Nampak macam iklan kereta pulak sewaktu kenderaan ini sedang merentas benteng.
Pemandangan ke sebelah sana sungai.
Rakit-rakit Bamboo Rafting yang disediakan di sini adalah rakit-rakit besar yang boleh dinaiki oleh 6 orang pada satu-satu masa. Ia mempunyai tempat duduk mengelilingi sebuah meja kecil yang semuanya dibuat dari kayu dan buluh.

Bergambar kenangan sebelum Bamboo Rafting bermula.
Rakit Bamboo Rafting kami.
Setiap rakit boleh dinaiki oleh 6 orang.
Tiga buah rakit disediakan untuk kumpulan kami.
Setiap kumpulan pengunjung juga disediakan dengan seorang penyanyi yang berpakaian tradisional kaum Zhuang untuk menghiburkan mereka sewaktu berakit. Penyanyi kami bernama A-Mei. Selain dari lagu rakyat kaum Zhuang, A-Mei turut menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa. Disebabkan kami berasal dari Malaysia, dia turut menyanyikan lagu Rasa Sayang Eh untuk kami, tapi pantunnya dalam Bahasa Mandarinlah. Seperti Francis yang menyanyikan lagu tradisional Zhuang untuk kami semalam, suara A-Mei juga memang sedap kerana dia juga berasal dari kaum Zhuang.

Inilah A-Mei, penyanyi yang disediakan untuk kumpulan kami.
A-Mei menyanyi menghiburkan kami.
Teh Cina juga disediakan kepada kami. Kalau ada Goreng Pisang masa ni mesti lagi nikmat...
Pendayung rakit kami yang berlatarbelakangkan A-Mei yang sedang menyanyi.
Bergambar kenangan sewaktu Bamboo Rafting.
Kami juga bertemu dengan sekumpulan pelancong Cina dari Malaysia yang juga membuat Bamboo Rafting di sini. Apa lagi... berbalas-balas lambaianlah kami di sini.

Pelancong Cina dari Malaysia yang juga membuat Bamboo Rafting di sini.
Penyanyi dari rakit sebelah yang membawa pelancong Cina dari Malaysia.
Perjalanan berakit ni tak lama. Hanya kira-kira 40 minit, tapi sangat enjoy sekali kerana pengalaman seperti ini tiada di Malaysia.

Rakit berpatah balik di sini.
Lembu yang gemuk di seberang sungai.
Motorsikal menyeberang jambatan.

CORMORANT FISHING

Dalam perjalanan kembali ke pangkalan, ada pertunjukan Cormorant Fishing yang dipertunjukkan kepada kami. Menangkap ikan menggunakan khidmat burung Cormorant adalah aktiviti perikanan tradisional di kawasan ini yang juga sangat terkenal di seluruh dunia.

Cormorant Fishing Show
Burung-burung Cormorant ini telah dilatih untuk menangkap ikan semenjak mereka masih kecil. Leher burung-burung Cormorant ini diikat dengan gelang supaya mereka tak dapat menelan ikan yang ditangkap. Seperti beruk yang dilatih untuk memetik kelapa di Malaysia, burung-burung ini juga boleh mendengar arahan dari tuan masing-masing.

Burung Cormorant di hujung rakit.
Selain pandai terbang seperti burung-burung yang lain, burung Cormorant juga pandai berenang dan menyelam untuk menangkap ikan.
Cormorant memegang kuat ikan yang ditangkap.
Cormorant kembali ke rakit. Buluh disediakan kerana Burung Cormorant ini gemar bertenggek di atas batang buluh.
Naik kembali ke atas rakit.
Ikan yang ditangkap akan tersekat di leher burung Cormorant yang panjang ini. Bila burung-burung Cormorant ini kembali, tuan mereka akan mengurut-urut leher burung untuk mengeluarkan ikan yang ditangkap.

Oleh kerana leher Burung Cormorant ini diikat dengan gelang, ikan akan tersangkut di leher burung. Nelayan akan mengurut leher burung untuk mengeluarkan ikan.
Kesian burung ni... tak dapat nak makan hasil tangkapan sendiri.
Dalam Cormorant Fishing Show ini, ikan telah dilepaskan oleh nelayan ke dalam sungai dan burung-burung Cormorant ini diberi arahan untuk menangkap ikan tersebut. Kalau tak buat begitu, mungkin kami terpaksa menunggu berjam-jam lamanya sehingga Cormorant ni dapat menangkap ikan.

Pertunjukan tamat.

KEMBALI KE DARATAN

Masih ada entertainment lain yang menanti ketika kami naik ke daratan. Boleh bergambar dengan burung merak pula di sini dengan bayaran 10 Yuan (RM 6) sekali bergambar. Untuk bersedekah sambil berseronok, ramai ahli kumpulan yang tak melepaskan peluang ini.

Boleh bergambar dengan Merak dengan bayaran 10 Yuan.
Dengan bayaran 10 Yuan juga, boleh berposing menjadi nelayan Burung Cormorant.

Nelayan Cormorant dari Malaysia.
Sebahagian bulu pada kepak Burung Cormorant ini telah dicabut untuk memastikan ia tak dapat nak terbang jauh.
Kita pun nak berposing dengan Burung Cormorant ni... Mulut burung ini juga diikat supaya tak menggigit agaknya.
Here, Kitty, Kitty!
Sambil ahli-ahli rombongan lain bergambar ria, Myself dan Husband menangkap gambar nelayan-nelayan yang berehat dengan burung-burung di sana. Nelayan ni memang baik. Mereka tak keberatan menunjukkan kepada kami cara mereka memberi arahan kepada Cormorant untuk menangkap ikan.

Pakcik yang baik hati menunjukkan cara memberi arahan kepada Cormorant.
Cormorant yang seronok dibelai manja oleh tuannya.
Cormorant terjun ke dalam air.
Cormorant menyelam ke dalam air untuk menangkap ikan.
Kaki Cormorant ini sebenarnya diikat kepada buluh. Bila dia dah berenang jauh, ia ditarik kembali ke rakit oleh tuannya.
Pemandangan dekat bulu burung Cormorant yang telah dicabut dan tali yang mengikat kakinya.
Pakcik-pakcik ini sungguh seronok bila kami memberikan sedikit wang kepada mereka. Jelas sekali yang mereka tak mengharapkan wang selepas membuat pertunjukan membuat show dalam Bamboo Rafting tadi. Nyata yang orang-orang di sini memang baik budi.

Burung-burung Cormorant di tepi sungai.
Bergambar kenangan bersama A-Mei.
Pakcik Burung Merak sedang menyeberang sungai untuk kembali ke rumah.
Sewaktu kami dah naik bas nak meninggalkan Lipu, bas yang membawa kumpulan Andalusia yang ramai tadi tiba. Mujurlah kami dah nak balik dah ni! Kalau tidak harus berebut-rebut dengan Group tu nak naik Bamboo Rafting.

Meninggalkan Lipu yang permai.

Part 13: Silver Cave

Program seterusnya ialah melawat ke Silver Cave, gua batu kapur yang terbesar di sini.

Menuju ke Silver Cave.
Jalan masuk ke Silver Cave. Dah lalu kat sini tadi tapi tak tahu yang ini sebenarnya laluan masuk ke Silver Cave, sebab tak ada tulisan rumi langsung pada signboardnya.
Pemandangan berhampiran kawasan Silver Cave.
Pintu masuk ke kawasan Silver Cave. Tak ada tiket dikenakan untuk masuk ke taman di sekitar gua.
Ukiran kuda emas di pintu masuk ke Taman Silver Cave.
Papan penerangan mengenai tempat-tempat tarikan pelancong di kawasan Lipu.
Gua yang sebenarnya terletak agak jauh ke dalam taman ini. Dalam perjalanan ke sana kita akan melalui pelbagai gerai yang kebanyakannya menjual makanan. Mungkin disebabkan dah ramai pelancong Melayu dari Malaysia yang berkunjung ke sini agaknya, penjual-penjual ni ramai yang boleh menyebut perkataan-perkataan seperti "Jagung" dan "Keladi" untuk menarik kita ke gerai mereka.

Laluan ke gua.
Mengikut Francis dan Ting Ting ke gua.
Penjaja-penjaja makanan di laluan masuk.
Penjaja-penjaja di sini ramai yang boleh bertutur beberapa patah perkataan Melayu seperti "Jagung" dan "Keladi" untuk menarik pelanggan ke kedai mereka.
Laluan masuk ke gua juga dibarisi dengan patung-patung God of Prosperity yang berwarna merah ini.
Pintu masuk ke gua yang sebenarnya terletak di atas sana.
Anda mestilah seorang yang fit untuk melawat masuk ke Silver Cave. Ini adalah kerana kita perlu memanjat tangga yang boleh tahan juga tingginya untuk sampai ke pintu gua.

Dah masuk ke dalam gua nanti, kita perlu berjalan sejauh 4 km mengikut laluan sehala yang disediakan. Perjalanan di dalam gua juga mendaki dan menurun sehingga akhirnya kita keluar dari sebuah pintu lain yang terletak 40 m lebih tinggi dari pintu masuk ke gua.

Disebabkan kesukaran ini, beberapa ahli rombongan tidak mengikut masuk dan hanya menunggu di luar gua sahaja.

Di sebalik pintu berbentuk syiling emas ini adalah tangga untuk naik ke pintu gua Silver Cave.
Ayuh, pendakian bermula sekarang!
Tangga menuju ke pintu gua.
Tangga yang dihias indah dengan tanglung-tanglung merah menuju ke pintu gua.
Pemandangan ke bawah dari atas tangga.
Platform di luar pintu gua ini juga dihiasi dengan patung-patung God of Prosperity.
Pemandangan taman yang indah di bawah sana dari atas platform.
Berehat-rehat dulu sebelum masuk ke dalam gua.
Walaupun Taman Silver Cave boleh dimasuki secara percuma, pengunjung perlu membeli tiket untuk masuk ke dalam gua. Bagi kami, semuanya diuruskan oleh Francis.

Berjalan masuk ke dalam gua.
Pintu gua di depan sana. Ada pemeriksaan tiket sebelum masuk ke dalam sana.
Pintu gua.
Kagum melihat keindahan gua ini setelah masuk ke dalam. Limpahan-limpahan lampu berwarna yang menerangi stalagtite dan stalagmite di dalam gua menambahkan keindahan. Teringat kepada gua sebegini yang pernah kami kunjungi di Halong Bay, Vietnam dahulu. Tapi terus-terang Myself katakan, pemandangan di Silver Cave ini lebih menakjubkan.

Pemandangan sebaik masuk ke dalam gua.
Peringatan untuk semua pengunjung.
Berjalan masuk ke perut gua.
Ada pelbagai formasi batuan semulajadi yang menarik di dalam gua ini. Apa yang mengkagumkan bagi Myself ialah formasi ini betul-betul macam apa yang digambarkan. Kalau dikatakan formasi tersebut bernama "Mushroom", ia benar-benar macam cendawan. Kalau dikatakan formasi bernama "Umbrella", memang ia betul-betul berbentuk macam payung... dan semuanya terbentuk secara semulajadi. Begitulah hebatnya ciptaan Allah SWT.

Taro King In Lipu.
Untuk kemudahan pengunjung, ada laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa disediakan di dalam gua ini. Namun kami tetap dinasihatkan melangkah dengan berhati-hati kerana ia agak lembap dan licin. Gua ini poros dan di tempat-tempat tertentu, aliran air menyusup masuk menerusi rekahan-rekahan batu, terutama di musim hujan begini.

Kami diminta melangkah dengan berhati-hati di dalam gua ini.
Subhanallah!! Cantiknya gua ini.
Kadang-kala, keindahan gua ini boleh membuatkan kita leka dengan keselamatan diri.
Seperti yang diceritakan kepada kami sebelum masuk ke sini tadi, ada tempat-tempatnya kita terpaksa menaiki tangga di dalam gua ini. Kecerunan pendakiannya juga ada ketikanya sangat mencabar.

Tangga mendaki di dalam gua.
Berjalan mendaki beramai-ramai di dalam gua.
Kami kemudiannya bertemu dengan formasi batuan yang dinamakan Flying Waterfall of Snow Mountain. Disuluh dengan lampu yang berwarna putih, formasi batuan ini betul-betul bagaikan air terjun yang membeku dalam perjalanan turun ke bawah.

Flying Waterfall of Snow Mountain.
Betul-betul macam air terjun glasier yang membeku.
Pemandangan di sekitar formasi Flying Waterfall of Snow Mountain.
Di sini juga, kami diminta memandang ke bumbung gua. Tinggi betul bumbungnya! Masing-masing menjadi kaget bila Francis memberitahu pintu keluar gua terletak di bumbung gua ini ~ setinggi bangunan 10 tingkat dari sini!

Di sini kami diminta memandang ke bumbung gua...
Nampak tak platform yang macam tergantung di bumbung tu? Di situlah letaknya pintu keluar dari gua!
Jalan ke hadapan yang perlu ditempuhi.
Semakin jauh ke depan, semakin banyak formasi menarik yang ditemui.

Golden Key.
Jalan lagi!!...
Kami kemudiannya ditunjukkan pula tiga formasi paling istimewa di gua ini yang digelar sebagai "The Three Treasures" ~ The Preaching Buddha, Music Screen dan Jade Pool Fairyland.

The Preaching Buddha ~ Dari sudut ini, formasi batuan di sana kelihatan seperti seorang guru (yang dianggap sebagai Buddha) sedang mengajar anak-anak murid yang sedang duduk mendengar dengan tekun.
Pemandangan dekat "Buddha" dengan anak-anak muridnya.
Kemudian, kita berjalan lagi menuju ke "Treasure" yang kedua ~ Music Screen.

Berjalan menuju ke Music Screen.
Lorong gelap menuju ke Music Screen.
Music Screen benar-benar berbentuk seperti tirai di atas pentas persembahan!

The Music Screen.
Sewaktu berdiri berdekatan dengan Music Screen ini, bau yang sangat kuat mula menusuk hidung. Rupa-rupanya ia adalah bau rice wine yang diperam di dalam gua ini. Disebabkan iklimnya yang sesuai, balang-balang rice wine diletakkan di dalam gua di sekitar Guilin untuk memeramnya secara tradisi. Sedikit balang rice wine juga turut diletakkan di dalam Silver Cave ini, untuk menunjukkan tradisi tersebut kepada pengunjung.

Balang-balang rice wine yang diperam di dalam Silver Cave.
Formasi ini dinamakan Longji Terrace Field kerana ia kelihatan seperti teres-teres padi di Longji yang terletak kira-kira 3 jam perjalanan dari sini. Kami tidak berkunjung ke teres padi ini dalam lawatan kami.
Myself rasa tak seorang pun boleh menafikan rasa takjub sewaktu melihat "Treasure" ketiga yang dinamakan Jade Pool Fairyland.

Jade Pool Fairyland
Jade Pool Fairyland ialah sebuah kolam air semulajadi di dalam gua Silver Cave. Airnya sangat jernih dan memantulkan bayang bumbung gua di dalamnya.

Walaupun kedalaman air Jade Pool hanya 20 cm, bayang bumbung yang dipantulkan ke dalamnya membuatkan seolah-olah air di kolam ini kelihatan sangat dalam ~ sedalam 40 m ketinggian bumbung yang dilihat dalam bayangnya!

Air di dalam kolam ini sangat jernih dan memantulkan bayang bumbung gua di dalamnya.
Perhatikan betul-betul bayang bumbung yang dipantulkan dalam air cetek ini. Bayang bumbung di dalam air menyebabkan kolam ini kelihatan dalam sedangkan kedalaman sebenarnya hanya 20 cm.
Memang rasa gayat melihat bayang bumbung di dalam air ini kerana ia kelihatan sangat dalam ~ macam tak percaya yang kedalaman air ini hanya 20 cm sebenarnya.
Kemudian kita berjalan lagi untuk menyaksikan lebih banyak formasi-formasi batuan yang menarik.

Cedar Pine in Golden Basin ~ memang macam kon benih pokok pain.
Ini pemandangan Flying Waterfall of Snow Mountain tadi, dari arah lain.
Pemandangan Flying Waterfall of Snow Mountain dari aras atas.
Solitary Pillar Bracing The Sky.
Gunung-gunung batu kapur di sekitar Guilin dikatakan mempunyai bentuk-bentuk yang pelik dan unik kerana gunung-gunung ini terpecah dalam gempa bumi. Tapi Myself tak pasti sama ada kawasan di sekitar Guilin ini kerap terkena gempa bumi atau hanya sesekali sahaja.

Di dalam gua Silver Cave ini, kami juga ditunjukkan sebuah batu yang tergantung dengan begitu merbahaya setelah jatuh dalam satu kejadian gempa bumi. Batu ini kini ditopang dengan struktur penyokong untuk keselamatan pengunjung.

Batu ini tergantung dengan begitu merbahaya setelah terjatuh dalam satu kejadian gempa bumi.
Batu ini kini disokong oleh sebuah struktur penahan.
Magic Double Pillars.
Satu lagi pemandangan Magic Double Pillars.
Formasi di sebelah kanan sana dinamakan Pearl Umbrella.
Pemandangan dekat Pearl Umbrella.
Kemudian, kami bertemu lagi dengan satu pemandangan yang mengkagumkan. Penduduk tempatan mengatakan pemandangan ini sebagai ladang cendawan yang diusahakan oleh seorang petani. Petani ini telah pergi berehat, meninggalkan tualanya yang disidai di sini.

Pemandangan "ladang cendawan" yang diusahakan oleh seorang petani.
Issk!! Betul-betul macam kain tuala tengah disidai kat sana!
Lepas itu, kita berjalan lagi sehingga ke sebuah platform yang disediakan beberapa buah bangku di sana untuk pengunjung melepaskan lelah. Kita berehat sebentar di sini...

Tangga yang perlu didaki dari bawah sana untuk sampai ke tempat rehat.
Tempat berehat di dalam gua. Pemandangan kat sini pun cukup awesome!
Kita duduk berehat sebentar...
Pemandangan yang bagaikan lukisan dekat dengan tempat rehat.
Bila dah hilang penat, kita terus berjalan lagi...

Meneruskan eksplorasi ke dalam gua.
Naik tangga lagi!
Tengah penat-penat naik tangga, boleh pulak terjumpa dengan formasi "Ice Cream" ni.
Kuatkan semangat dan teruskan perjalanan...
Lega bila jumpa dengan tangga yang menurun.
Suasana di dalam gua ini agak panas dalam musim begini. Jadi ada banyak kipas-kipas angin yang disediakan di kedudukan-kedudukan strategik dalam gua.
Forest Park.
Menikmati keindahan Forest Park.
Tu dia pintu keluar dari gua kat atas sana!!
Wajah-wajah ceria selepas selamat keluar dari gua.
Berehat lagi selepas keluar dari gua.
Hari dah mula gelap sewaktu kami keluar dari gua.
Amaran tanah runtuh.
Turun tangga ke bawah.
Selepas bertemu semula dengan anggota-anggota rombongan yang tidak menyertai kami masuk ke dalam gua tadi, kami berjalan berkumpulan keluar dari Taman Silver Cave. Ketika itu, hari telah semakin gelap dan kami adalah antara kumpulan terakhir yang meninggalkan Silver Cave pada hari tersebut.

Kolam yang cantik di Taman Silver Cave.
Penjaja-penjaja masih giat memujuk kami membeli barangan mereka memandangkan kami adalah antara kumpulan yang terakhir meninggalkan Silver Cave.
Suasana sekitar telah lengang kerana ramai pengunjung telahpun meninggalkan tempat ini.
Pemandangan dari belakang patung kuda emas.
Meninggalkan Silver Cave untuk kembali ke Yangshuo.

Bersambung ke Bahagian 5...


CATATAN PERJALANAN GUILIN & YANGSHUO (2016):