Friday 15 August 2014

2014 TURKEY BHG. 13 (Balikli Gol)

Ogos 2014

TURKEY
Istanbul & Sanliurfa 


Bahagian 13: Şanlıurfa (3) 
BALIKLI GÖL

Part 39: Kisah Nabi Ibrahim Dibakar Oleh Namrud 


Pada zaman Kerajaan Babylon, Şanlıurfa dikenali sebagai Ur dan diperintah oleh seorang raja yang bernama Namrud (di Turki, Namrud dikenali sebagai Nimrud). Namrud dan rakyatnya menyembah berhala.  

Nabi Ibrahim lahir di kalangan mereka dan menyeru kepada kaumnya agar segera meninggalkan tuhan berhala mereka itu. “Sembahlah Allah, Tuhan yang Esa dan juga Tuhan yang menjadikan kita semua.” Akan tetapi mereka tidak memperdulikan kata-katanya, bahkan mereka mengutuk dan memberikan ancaman kepadanya. 

Pada suatu hari, Raja Namrud dan seluruh ahli penduduk kota keluar beramai-ramai kerana merayakan hari raya bagi Tuhan berhala-berhala mereka dan perayaan tersebut dijalankan di luar kota. Jadi di kala itu, tidak ada seorang pun yang tinggal di dalam kota kecuali Nabi Ibrahim sahaja. Begitu juga dengan rumah ibadah mereka, lengang tiada sesiapa.

Nabi Ibrahim merasakan bahawa inilah peluang untuk dia mengajar kaumnya, lalu dia bersegera menuju ke rumah ibadah kaumnya. Dia terus masuk ke dalam rumah ibadah yang mana terdapat satu kawasan lapang dipenuhi dengan bermacam-macam patung berhala. Tanpa berlengah Nabi Ibrahim terus mengambil kapaknya, lalu dipukul dan dihancurkan kesemua patung-patung itu tadi. Habis semua dimusnahkan kecuali satu sahaja yang tidak dimusnahkan iaitu patung yang paling besar. Kemudian, Nabi Ibrahim menyangkutkan kapaknya tadi ke leher patung berhala yang besar itu dan meninggalkan rumah ibadah tersebut pulang ke rumahnya.

Bilamana perayaan tadi selesai, Raja Namrud mengarahkan kepada seluruh hamba-hambanya agar membawa dia ke rumah ibadah (kuil). Bila sahaja raja Namrud menjejakkan kakinya ke dalam kuil, dia terperanjat besar, begitu juga dengan rakyat-rakyat yang turut hadir. Mereka dapati kesemua patung-patung berhala telah habis musnah, jatuh bergelimpangan dan berkecai.

Kemudian Namrud berkata dengan suaranya yang tinggi: “Siapakah yang berbuat sebegini kejam sekali?” Seluruh rakyatnya yang hadir terus berkata: “Lain tidak bukan ialah seorang pemuda yang tidak mahu beriman kepada tuhan-tuhan kita ini. Pemuda itu namanya Ibrahim!” Raja Namrud terus menjerit: “Bawa segera pemuda itu ke mari!” Mereka pun bersegera pergi mendapatkan Nabi Ibrahim. Mereka menangkapnya dan dibawa ke hadapan Namrud yang masih menunggu di dalam kuil.

Sampai sahaja, terus Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Kamukah yang melakukan perbuatan ini kepada tuhan-tuhan kami?” Nabi Ibrahim berkata: “Bukan aku yang melakukannya. Kamu tidak lihat di leher patung berhala yang paling besar itu terdapat satu kapak yang besar? Sudah tentulah dia yang memusnahkan kesemua patung-patung itu. Kalau tidak percaya cuba kamu tanyakan kepadanya ataupun kamu tanyakan kepada patung-patung yang telah binasa tentang siapakah yang memusnahkan mereka semua?”

Raja Namrud dan rakyatnya tidak semena-mena merasa malu dan tersipu-sipu kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya patung-patung itu sama sekali tidak boleh berkata-kata. Lalu Namrud pun terus berkata: “Wahai Ibrahim! Kamu sendiri pun tahu bahawa patung-patung itu semua tidak boleh berkata-kata, tidak boleh berjalan-jalan dan juga langsunglah tidak boleh buat apa-apa!”

Terus Nabi Ibrahim a.s. menjawab: “Jadi kalau begitu, mengapa kamu menyembahnya? Bagaimana kamu boleh menyembah sesuatu yang langsung tidak memberi kamu apa-apa manfaat, tidak memberi mudarat buat musuhmu dan langsung tidak dapat untuk mempertahankan dirinya sendiri?”

Akhirnya Raja Namrud dan seluruh rakyatnya mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim dibakar dengan api atau unggun yang besar. Maka Namrud pun terus memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya, kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu.

Setelah sampai masa yang telah ditetapkan, Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu. Di dalam hatinya terselit kegembiraan yang amat sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan mati dibakar api. Dia gembira kerana api akan memakan seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan mereka.

Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api yang besar itu. Mereka terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu dilemparkan dia begitu tenang sekali langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan.

Sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari kejahatan dan kezaliman si Raja Namrud dan rakyat-rakyatnya dan Allah menunjukkan kepada mereka bahawa sebenarnya patung-patung berhala itu tidak memberi makna apa-apa langsung, tidak ada kekuatan dan bagi manusia yang dikurniakan akal fikiran pula tidak wajarlah merasakan bahawa patung berhala itu sebagai Tuhan yang mesti disembah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai api! Hendaklah engkau menjadi dingin dan selamat terhadap Ibrahim.” Mereka hendak memperdayakan Ibrahim dengan dia lalu Kami berkati di dalamnya untuk seluruh alam. (Al Anbiyaa’: 69 dan 70) 

Tidak lama selepas itu api yang besar tadi pun terpadam lalu Nabi Ibrahim segera keluar dari longgokan-longgokan bara api dengan selamat seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku ke atasnya. Lebih terkejutlah lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak dimakan oleh api bahkan dia boleh berjalan ke sana sini pula dalam api tersebut.

Part 40: Balıklı Göl

Tapak kejadian di mana Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud kini dikenali sebagai Balıklı Göl. Ia bagaikan sebuah taman yang besar dan kesan sejarah berkait dengan peristiwa Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud tertumpu di sini.

Peta kawasan Balıklı Göl yang menempatkan banyak sejarah Nabi Ibrahim di Şanlıurfa. Nabi Ibrahim dilempar dari kawasan yang ditandakan dengan No.9 ke tapak nyalaan api yang kini telah menjadi tasik yang ditandakan dengan No. 2.
Sebaik memasuki kawasan Balıklı Göl, kita dapat melihat sebuah kota lama yang terletak di atas bukit. Pada kota ini terdapat dua batang tiang besar yang masih tegak berdiri. Menurut cerita penduduk tempatan, Nabi Ibrahim telah diikat kepada tiang tersebut dan dilastik (catapult) masuk ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud.

Pintu masuk ke kawasan Balıklı Göl. Nabi Ibrahim dikatakan dicampak ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud dengan diikat dan dilastik (catapult) dari Tiang Besar yang terletak di atas kota lama di atas bukit dalam gambar ini. Tempat api pembakaran terletak di sebelah kiri gambar ini (tidak kelihatan dalam gambar ini).
Satu lagi pemandangan di kawasan Balıklı Göl. Bangunan batu di sebelah kiri (di belakang pokok-pokok) adalah tapak api yang dinyalakan untuk membakar Nabi Ibrahim. Tiang Besar dari mana Nabi Ibrahim dilastik ke dalam api berada di sebelah kanan (tidak kelihatan di dalam gambar).
Sewaktu kami tiba di Balıklı Göl, ada ramai pelawat di sini. Namun kebanyakan mereka adalah pelancong tempatan. Pelancong yang datang dari luar Turki seperti kami bagai boleh dibilang dengan jari.

Ramai pengunjung yang datang ke sini adalah rakyat tempatan.
Kami pernah melawat ke beberapa kawasan peninggalan Nabi-Nabi Allah sewaktu melawat ke negara Jordan pada tahun lalu. Sesuatu yang dapat kita rasakan sewaktu melawat ke tempat-tempat ini adalah betapa tenang dan damai keadaannya, yang sangat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. 

Kami pernah diberitahu, kedamaian dan ketenangan yang terdapat di sana adalah disebabkan keberkatan para Nabi. Nabi-Nabi adalah manusia yang mulia dan keberkatan mereka tetap dapat dirasakan walaupun mereka telah lama meninggalkan kita. Perasaan ini juga dapat dirasakan sewaktu kami berada di Balıklı Göl.

Suasana di Balıklı Göl sangat tenang dan damai.

TASIK HALIL-UR RAHMAN

Selepas menunjukkan kepada kami tiang besar di atas bukit dari mana Nabi Ibrahim dibaling oleh Raja Namrud ke dalam api, Abdulbaki membawa kami ke tapak api yang dinyalakan oleh Raja Namrud. Di sekeliling kawasan ini telah didirikan sebuah bangunan batu.

Bangunan batu yang didirikan mengelilingi kawasan di mana api dinyalakan oleh Raja Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim a.s.
Adalah dikatakan, sewaktu Nabi Ibrahim berada di udara setelah dilastik oleh Raja Namrud ke dalam api, dia telah didatangi oleh Malaikat Jibril yang menawarkan pertolongan kepadanya. Nabi Ibrahim walau bagaimanapun telah menolak tawaran pertolongan dari Malaikat Jibril. Nabi Ibrahim telah berkata kepada Malaikat Jibril yang dia (Nabi Ibrahim) hanya akan memohon pertolongan dari Allah swt. Kerana itulah Allah telah memerintahkan api supaya menjadi sejuk dan selamat ke atas Nabi Ibrahim. 

Menurut cerita yang disampaikan kepada kami juga, api yang dinyalakan oleh Raja Namrud sangat besar. Kayu api yang digunakan untuk menyalakan api ini telah dikumpulkan oleh rakyat di bawah perintah Namrud selama 6 bulan. Burung juga dikatakan tidak berani terbang melintasi api ini disebabkan kepanasannya.

Bila Allah memerintahkan api menjadi sejuk dan selamat kepada Nabi Ibrahim, api yang marak menyala terus bertukar menjadi air sebaik Nabi Ibrahim mendarat ke dalamnya. Bara-bara api pula bertukar menjadi ikan. Tasik bekas api nyalaan Raja Namrud ini kini dikenali sebagai Tasik Halil-Ur Rahman sempena gelaran Khalilullah (Teman Bagi Allah) yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. Penduduk tempatan juga memanggil tasik ini dengan nama Balıklı Göl (bermaksud Fish Lake) kerana tasik ini dipenuhi dengan ikan yang dikatakan berasal dari bara-bara api yang dimaksudkan untuk membakar Nabi Ibrahim.


Pemandangan Tasik Halil-Ur Rahman (Balıklı Göl)
Kisah Tasik Halil-Ur Rahman yang tertulis di pintu masuk ke tasik ini.
Inilah tasik yang dikatakan berasal dari api yang diperintahkan oleh Allah supaya menjadi sejuk dan selamat sewaktu Nabi Ibrahim dicampak ke dalamnya.
Api yang disediakan oleh Raja Namrud adalah sebesar tasik ini.
Pemandangan di tepi Tasik Halil-Ur Rahman.
Ikan-ikan di dalam Tasik Halil-ur Rahman dianggap sebagai ikan suci oleh penduduk tempatan. Kerana itulah terdapat larangan untuk menangkap ikan di dalam tasik ini. Disebabkan ikan ini tidak pernah ditangkap, mereka membiak dengan banyak sekali. Walaupun terdapat larangan untuk menangkap ikan, pengunjung dibenarkan untuk memberi makan kepada ikan-ikan tersebut. Malah di tepi Tasik Halil-Ur Rahman, terdapat beberapa penjaja yang menjual makanan ikan.

Ikan di Tasik Balıklı Göl (juga dipanggil Tasik Halil-Ur Rahman) dikatakan berasal dari bara api pembakaran Nabi Ibrahim a.s.
Ikan-ikan ini dianggap sebagai ikan suci oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, terdapat larangan menangkap ikan di sini.
Walaupun ikan ini tak boleh ditangkap, pengunjung boleh memberi makan kepada ikan.
Penjual makanan ikan di tepi Tasik Halil-Ur Rahman
Ikan sedang berebut makanan
Penjaja di tepi Tasik Halil-Ur Rahman.
Mengikut satu lagi versi cerita orang tempatan, Nabi Ibrahim tidak jatuh tepat ke dalam tasik. Sebaliknya beliau jatuh di tepi tasik selepas dilempar Raja Namrud ke dalam api. Tempat ini juga turut ditandakan di tepi Tasik Halil-Ur Rahman. Di tempat ini, ada sebuah mata air yang mengalir yang dikatakan muncul bila Nabi Ibrahim jatuh ke situ. Mata air ini juga dianggap suci oleh orang tempatan.

Mengikut satu lagi versi cerita tempatan, Nabi Ibrahim dikatakan jatuh di tempat di mana terdapat kubah yang didirikan di hujung tasik ini.
Penerangan mengenai tempat jatuh Nabi Ibrahim
Pintu masuk ke satu lagi tempat di mana Nabi Ibrahim dipercayai jatuh selepas dilempar ke dalam api oleh Raja Namrud.

TASIK AYNZELIHA

Tidak jauh dari Tasik Halil-ur Rahman, ada sebuah lagi tasik yang dinamakan Aynzeliha (bermaksud Air Mata Zeliha).

Berjalan menuju ke Tasik Aynzeliha.
Zeliha adalah anak perempuan Raja Namrud yang beriman dengan ajaran Nabi Ibrahim. Dia dikatakan melawan anutan ayahnya dengan terang-terangan. Bila Zeliha membantah perbuatan Ayahnya yang menghukum untuk membakar Nabi Ibrahim, dia juga ditolak ke dalam api oleh Raja Namrud. Tempat di mana Zeliha jatuh ke dalam api juga dikatakan bertukar menjadi air.

Tasik Aynzeliha dikatakan terbentuk bila anak perempuan Raja Namrud yang beriman dengan ajaran Nabi Ibrahim yang bernama Zeliha turut dibakar oleh ayahnya kerana menentang beliau.
Mengikut cerita orang tempatan yang disampaikan kepada kami oleh Abdulbaki, Tasik Aynzeliha asalnya bersambung dengan Tasik Halil-ur Rahman sewaktu api di sini bertukar menjadi air. Namun demikian, bila Zeliha juga jatuh ke dalam api, aliran Tasik Halil-Ur Rahman berpecah menjadi tasik berasingan yang kini dinamakan Tasik Aynzeliha kerana Zeliha tidak mempunyai hubungan muhrim dengan Nabi Ibrahim.

Pancutan air di Tasik Aynzeliha.
Seperti juga di Tasik Halil-Ur Rahman, Tasik Aynzeliha juga dipenuhi dengan ikan yang sama. Kerana itulah agaknya penduduk tempatan berpendapat, kedua-dua tasik ini berasal dari tasik yang sama. Di sini juga terdapat larangan menangkap ikan kerana ia dianggap ikan suci.

Ikan di Tasik Aynzeliha
Kisah Tasik Aynzeliha
Tasik Aynzeliha dikatakan terpisah dari Tasik Halil-Ur Rahman bila Zeliha dicampakkan ke dalam api kerana beliau tidak mempunyai hubungan muhrim dengan Nabi Ibrahim.

GUA MEVLID-I HALIL

Lawatan seterusnya adalah ke Gua Mevlid-i Halil yang bermaksud "Gua Kelahiran Suci". Di gua inilah Nabi Ibrahim dilahirkan oleh ibunya.

Pintu masuk ke Masjid Mevlid-i Halil di mana letaknya gua kelahiran Nabi Ibrahim.
Masjid Mevlid-i Halil yang didirikan di tepi gua di mana Nabi Ibrahim dilahirkan.
Sebelum Nabi Ibrahim dilahirkan, ahli nujum Raja Namrud telah meramalkan bahawa akan lahir seorang anak lelaki yang akan memusnahkan baginda dan agama yang dianuti oleh Raja Namrud. Akibatnya, Raja Namrud mengarahkan supaya semua anak lelaki yang dilahirkan pada tahun tersebut dibunuh.

Disebabkan perkara ini, ibu Nabi Ibrahim yang bernama Nuna telah merahsiakan kehamilannya, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri bekerja di istana Raja Namrud. Bila tiba masanya, Nuna telah datang ke gua ini untuk melahirkan Nabi Ibrahim.

Pintu masuk ke Gua Mevlid-i Halil di mana Nabi Ibrahim dilahirkan. Ada pintu masuk yang berasingan untuk lelaki dan perempuan.
Papan keterangan mengenai sejarah Gua Mevlid-i Halil.
Pintu masuk ke Gua Mevlid-i Halil
Dalam keadaan ketakutan, Nuna meninggalkan bayinya bersendirian di dalam gua. Dia hanya dapat melawat dan menyusui bayinya pada waktu-waktu tertentu sahaja setiap hari. Dalam tempoh ketiadaan ibunya, Nabi Ibrahim dikatakan menyusu dari ibu jarinya sendiri. Ada juga cerita yang mengatakan seekor rusa datang ke gua untuk menyusui Nabi Ibrahim atas perintah Allah SWT.

Pintu dalaman untuk melihat Gua Mevlid-i Halil.
Pintu ini sangat rendah. Perlu membongkok untuk masuk ke dalam.
Nabi Ibrahim tinggal di gua ini selama 15 bulan. Dia membesar dengan cepatnya, pada kadar setahun setiap bulan berlalu. Di akhir 15 bulan dia tinggal di gua ini, dia telahpun membesar seperti seorang remaja yang berusia 15 tahun.

Gua Mevlid-i Halil.
Di gua inilah Nabi Ibrahim dilahirkan oleh ibunya.
Bila ditinggalkan bersendirian, Nabi Ibrahim dikatakan menyusu dari ibu jarinya sendiri. Seekor rusa juga dikatakan datang menyusui Nabi Ibrahim atas perintah Allah swt.
Nabi Ibrahim tinggal di gua ini selama 15 bulan. Dalam tempoh tersebut, dia membesar dengan cepatnya dari seorang bayi sehingga menjadi remaja yang berusia 15 tahun sebelum dibawa keluar dari gua ini oleh ibunya.
Ruang solat wanita di Gua Mevlid-i Halil
Ruang solat lelaki di Gua Mevlid-i Halil.
Nabi Ibrahim dikatakan seorang Nabi yang sangat pemurah dan rajin bersedekah. Di luar perkarangan Masjid dan Gua Mevlid-i Halil, Abdulbaki menunjukkan kepada kami replika mangkuk milik Nabi Ibrahim. Replika ini dibuat bersaiz besar kerana penduduk Şanlıurfa ingin menunjukkan sifat pemurah Nabi Ibrahim. 

Replika mangkuk makanan Nabi Ibrahim.
Mangkuk sebenar milik Nabi Ibrahim disimpan di Istana Topkapi di Istanbul. Alhamdulillah, kami telah melihatnya sendiri sewaktu berkunjung ke Muzium Topkapi tempohari.

FORTRESS OF URFA

Fortress of Urfa masih berdiri megah di Balıklı Göl. Ia boleh dilawati, tapi kami tidaklah naik ke sana. Cukup sekadar melihatnya dari Taman Balıklı Göl.

Fortress of Urfa
Kota ini telah wujud sejak zaman Raja Namrud dan diperbaiki berulang-ulang kali oleh pemerintah selepasnya.

BAZAAR ŞANLıURFA

Masih ada waktu terluang selepas kami melawat tempat-tempat sejarah Nabi Ibrahim di Balıklı Göl. Jadi Abdulbaki membawa kami melawat Bazaar Şanlıurfa.

Bazaar di Şanlıurfa
Pemandangan di dalam Bazaar.
Bazaar Şanlıurfa sangat authentic. Keadaannya jauh berbeza dengan Grand Bazaar di Istanbul yang telah dikomersilkan. Di Bazaar ini masih terdapat banyak perusahaan-perusahaan tradisional untuk jualan yang dapat diperhatikan.

Rempah-ratus
Pakaian tradisional yang dipakai oleh kanak-kanak lelaki untuk majilis berkhatan.
Penjual Turkish Tea
Cili dan sayuran kering
Pembuat roti.
Kedai daging
Kedai makan di Bazaar Şanlıurfa
Tukang Tembaga
Barangan perak.
Perusahaan logam.
Jika di Grand Bazaar di Istanbul, kami sering disapa oleh penjual-penjual yang mengenali kami sebagai orang Malaysia, penjual-penjual di Bazaar Şanlıurfa memandang kami dengan penuh kehairanan kerana mereka jarang sekali melihat orang yang datang dari Malaysia. 

Part 41: Pulang Ke Istanbul

Pesawat kami ke Istanbul dijadualkan berlepas dari Şanlıurfa pada pukul 6.30 petang. Oleh kerana kami belum check-in untuk pulang, kami meminta Abdulbaki untuk membawa kami kembali ke Gap Airport pada pukul 4.30 petang.

Perjalanan dari Bandar Şanlıurfa ke Gap Airport memakan masa kira-kira sejam. Dalam perjalanan ke Airport, kami melalui lagi kawasan pertanian.


Meninggalkan Bandar Şanlıurfa
Ladang Pistaschio.
Jalan menuju ke Gap Airport
Ladang Gandum.
Lembu di Ladang Gandum
Keuntungan mengembara di musim panas adalah waktu siangnya yang panjang. Selepas Check-in di Gap Airport, kami masih dapat menjamak Solat Zohor dan Asar walaupun selepas seharian berjalan di Şanlıurfa.

Şanlıurfa Gap Airport
Cuaca di Şanlıurfa sangat panas menyebabkan kami sentiasa kehausan.
Boarding Gate di Şanlıurfa Gap Airport.
Lapangan Terbang di Şanlıurfa tidak besar. Mungkin disebabkan tak ramai orang asing berkunjung ke sini, pengumuman di Airport ini dibuat dalam Bahasa Turki. Sekali-sekala ada juga pengumuman dalam Bahasa Inggeris, tetapi sebutannya tak jelas menyebabkan kami terpinga-pinga cuba memahami apa yang dikatakan dalam pengumuman itu.

Bersiap-sedia untuk terbang pulang ke Istanbul.
Penerbangan pulang kami ke Istanbul juga berlepas mengikut jadual. Dalam hati, kami sangat bersyukur dengan kemudahan perjalanan yang Allah kurniakan kepada kami. Walaupun kunjungan kami ke  Şanlıurfa sangat singkat, ia sangat bermakna dan meninggalkan kesan di hati kami. Myself dan Husband sepakat - kami sepatutnya bermalam di Şanlıurfa supaya dapat meluangkan lebih banyak masa melawat tempat-tempat menarik di sana. Namun apakan daya, kami tak punya banyak masa memandangkan kedatangan kami ke Turki adalah kerana Myself perlu menghadiri kursus, dan bukannya bercuti seperti orang lain.

Penerbangan pulang ke Istanbul memakan masa 1 jam 20 minit. Tidak seperti sewaktu kedatangan kami pada pagi tadi, agak sukar menikmati pemandangan di luar pesawat dalam penerbangan pulang ini kerana mentari yang sangat terik di luar.


Pemandangan gunung-ganang berhampiran Şanlıurfa dalam penerbangan pulang.
Pemandangan Empangan Ataturk dalam penerbangan pulang.
Pemandangan dalam pesawat sewaktu penerbangan pulang ke Istanbul.
Sajian penerbangan dalam perjalanan pulang - Cold Chicken Sandwich.
Mentari terik dalam perjalanan pulang. Semakin menghampiri Istanbul, mentari semakin terik.
Pesawat Turkish Airlines yang kami naiki selamat tiba di Ataturk Airport di Istanbul pada pukul 8.00 malam. Namun begitu, cuaca di luar masih cerah, malah belum pun lagi masuk waktu Maghrib ketika itu.

Walaupun penerbangan sangat lancar, pendaratan pesawat kami tidaklah begitu lancar. Mungkin pilot yang membawa pesawat ini adalah pilot baru yang masih kurang berpengalaman. Maksimum brek dikenakan sewaktu pesawat kami mendarat di Ataturk Airport untuk memberhentikan pesawat... 

Brek maksimum yang dikenakan sewaktu pesawat mendarat di Istanbul..


Bersambung ke Bahagian 14..


CATATAN PERJALANAN TURKEY (2014):