Friday 11 April 2014

2014 TOKYO & OSAKA BHG. 08 (Kiyomizu Temple)

Mac 2014

JAPAN (5th Visit)
Tokyo, Mount Fuji, Kyoto & Osaka


Bahagian 8 : Kyoto
KIYOMIZU TEMPLE

HARI KELIMA (1)

Part 18: Hamamatsu 

Bandar Hamamatsu terletak di tepi laut. Sepatutnya kami boleh nampak Lautan Pasifik dari bilik hotel kami, tapi disebabkan cuaca hujan dan berkabus, bayang laut pun tak nampak.

Hotel penginapan kami di Hamamatsu

HOTEL OKURA ACT CITY HAMAMATSU 

Hotel penginapan kami di Hamamatsu adalah Okura Act City Hamamatsu. Hotel ini terletak di dalam bangunan Act City, yang merupakan satu-satunya bangunan pencakar langit di bandaraya ini.

Pemandangan bandaraya Hamamatsu dari bilik hotel kami. Sepatutnya kami boleh nampak Lautan Pasifik dari bilik kami di Hotel Okura Act City Hamamatsu ini.
Indoor Courtyard di Okura Act City Hotel Hamamatsu
Tidak seperti hotel-hotel penginapan kami yang lain di Jepun ini di mana waktu sarapan bermula dari pukul 6.30 pagi, breakfast di hotel ini hanya bermula dari pukul 7.00 pagi. Bila sarapan pagi bermula pukul 7.00, maka ramailah orang yang turun serentak dan terpaksalah kami beratur untuk masuk ke restoran.

Figaro - restoran sarapan pagi kami di Okura Act City Hamamatsu Hotel
Beratur nak masuk ke Restoran Figaro
Sewaktu bersarapan di restoran ini, kami terserempak dengan sebuah lagi rombongan Apple Muslim Tour yang turut menginap di hotel ini. Tidak seperti kami, rombongan ini masuk ke Jepun melalui Osaka dan sedang bergerak ke arah utara menuju ke Tokyo.

Kaunter buffet sarapan
Pemandangan di dalam Restoran Figaro

BANDAR HAMAMATSU

Sambil menunggu waktu untuk rombongan kami berlepas ke Kyoto, Myself mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan bandar Hamamatsu yang terletak berdekatan dengan hotel. Namun, Myself tak dapat nak bergerak jauh memandangkan hujan lebat dan angin bertiup dengan kuat.

Hujan di Hamamatsu
Jambatan laluan pejalan kaki yang menyambungkan Hotel Okura Act City Hamamatsu dengan Stesen Keretapi Hamamatsu
Myself berjalan menyusuri bangunan hotel sehinggalah sampai ke sebuah convenience store yang bernama Family Mart.

Pemandangan di depan Family Mart.
Family Mart ini sungguh besar. Di dalamnya terdapat juga beberapa buah mesin ATM dan kafetaria.
Kaunter sarapan pagi di dalam Family Mart

Part 19: Perjalanan Ke Kyoto 

Program Hari Kelima ini adalah perjalanan ke Osaka dengan membuat persinggahan di bandar Kyoto. Hujan masih turun ketika kami meninggalkan Hamamatsu.

Peta Pelancongan Jepun
Bunga-bunga sakura di Jepun kembang dari selatan ke utara. Oleh yang demikian, semakin perjalanan kami menuju ke selatan, semakin banyak bunga sakura yang kami lihat.

Bunga-bunga sakura banyak berkembangan di tepi jalan.
Lagi pemandangan sakura di tepi jalan
Perjalanan kami menempuh Tasik Hamana selepas meninggalkan Hamamatsu.

Tasik Hamana
Satu lagi pemandangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika melintasi Pelabuhan Nagoya. Nagoya adalah pusat industri automobil Jepun dan sebahagian besar kenderaan buatan Jepun dieksport dari pelabuhan ini. Nagoya juga istimewa kepada Myself kerana di bandar inilah Myself pertama kali menjejak kaki ke negara Jepun pada tahun 1999 kerana berkursus di sana.

Jambatan melintasi Pelabuhan Nagoya
Pelabuhan Nagoya
Satu lagi pemandangan Pelabuhan Nagoya.
Bas kami membuat persinggahan di sebuah kawasan rehat di lebuhraya. Kawasan rehat ini terletak berhampiran sebuah amusement park yang bernama Nagashima Spa Land. Mengikut kata Tourist Guide kami Wan, taman tema ini adalah antara yang paling popular di Jepun.

Perhentian rehat dalam perjalanan ke Kyoto
Pemandangan di dalam kedai di kawasan rehat
Nagashima Spa Land
Perjalanan dengan bas ke Kyoto juga membolehkan kami menikmati pemandangan semulajadi negara Jepun yang memang sangat indah. Seperti yang kita pelajari dalam kelas Geografi dulu, Jepun terletak di dalam kawasan pertembungan plat-plat bumi. Kerana itulah negara ini bergunung-ganang dan mempunyai gunung berapi.

Pemandangan gunung-ganang yang indah dilalui dalam perjalanan ke Kyoto
Oleh kerana bentuk mukabumi Jepun bergunung-ganang, banyak terowong seperti ini yang kami lalui dalam perjalanan menuju ke Kyoto dari Hamamatsu.
Pemandangan di dalam terowong
Jambatan lebuhraya yang tinggi merentasi sebuah jurang yang dalam ini menarik perhatian kami.
Sebahagian besar perjalanan kami adalah menempuhi wilayah Shizuoka yang terkenal dengan penanaman teh. Oleh kerana wilayah Shizuoka adalah wilayah pengeluar teh utama di Jepun, sekolah-sekolah di Shizuoka juga dilengkapi dengan paip-paip yang mengandungi air teh untuk kegunaan penuntut-penuntutnya.

Ladang teh di Shizuoka
Satu lagi pemandangan ladang teh di Shizuoka

Part 20: Kyoto

Kyoto adalah sebuah bandar bersejarah yang pernah menjadi ibu negara Jepun sebelum Tokyo. Sebelum sampai ke sini, Myself bayangkan Kyoto penuh dengan bangunan-bangunan tradisional. Rupa-rupanya, bandaraya Kyoto sangat moden.

Hari masih hujan ketika kami tiba di Kyoto
Bandar moden Kyoto
Namun di sebalik kemodenan bandar Kyoto, masih banyak elemen-elemen tradisional yang dikekalkan di bandaraya bersejarah ini.

Bangunan-bangunan tradisional masih wujud di sana-sini di celah-celah kemodenan bandaraya Kyoto.
Memang excited melihat orang-orang Jepun memakai pakaian tradisional mereka di Kyoto.
Oleh kerana Kyoto terletak di selatan, ia lebih cepat mengalami musim bunga berbanding bandaraya Tokyo. Oleh yang demikian, banyak bunga-bunga sakura telah berkembang di Kyoto. Namun kami diberitahu, kembangnya ini hanya 70% sahaja - masih belum berkembang penuh.

Bunga-bunga sakura telah kembang di Kyoto. Bunga sakura ini sebenarnya ada beberapa spesis, namun semuanya berwarna lembut.
Tak banyak bunga sakura kami temui sewaktu di Tokyo. Jadi rombongan kami tak putus-putus mengambil gambar bunga sakura di Kyoto.
Sesuatu yang kami perhatikan di Kyoto adalah di sini ada ramai pelancong Barat.
Sewaktu melalui bandar Kyoto juga, kami melihat beberapa kumpulan orang memegang sepanduk di sana-sini. Mula-mulanya kami menyangka mereka sedang mengadakan tunjuk perasaan. Rupa-rupanya mereka ini sedang berkempen supaya penduduk keluar mengundi untuk menentang kenaikan kadar cukai GST dari 5% sekarang kepada 8% bermula dari bulan April 2014.

Ini bezanya penduduk Jepun dengan Malaysia. Kalau di Malaysia, sepanduk-sepanduk ini mesti dah tertulis perkataan-perkataan yang mengecam Kerajaan. Tapi di Jepun, mereka sebaliknya mendesak orang ramai keluar mengundi untuk menentang polisi baru Kerajaan.

Berkempen supaya orang ramai keluar mengundi untuk menentang kenaikan GST dari 5% kepada 8%.
Bangunan Dewan Bandaraya Kyoto.

Part 21: Makan Tengahari Di Kyoto 

Sebaik tiba di Kyoto, kami dibawa ke sebuah restoran tradisional Jepun untuk makan tengahari. Restoran ini bernama Kagonomise.

Restoran makan tengahari di Kyoto
Naik tangga ke restoran
Sebelum masuk ke restoran, semua pengunjung diminta membuka kasut dan menyimpannya di dalam sebuah locker yang ditempatkan di hadapan restoran. Setiap locker mempunyai kunci tradisional yang disimpan sendiri oleh pengunjung.

Menyimpan kasut di dalam locker yang ditempatkan di depan pintu masuk restoran. Locker yang diselak kunci kayu seperti yang dilihat di tingkat paling atas menandakan ia masih kosong dan boleh digunakan.
Kasut yang disimpan di dalam locker
Kunci penyelak locker kasut
Tiada kerusi disediakan dalam restoran ini. Semua pengunjung kena duduk bersila atas kusyen di meja rendah yang menghidangkan makanan.

Makanan tengahari kami
Kertas berisi makanan ini sangat unik. Walau diletakkan tepat di atas api, ia tidak terbakar.
Seperti restoran tipikal Jepun yang lain, restoran ini mempunyai bilik-bilik makan persendirian berbagai saiz. Rombongan kami ditempatkan dalam bilik kami yang tersendiri. Kesempatan ini juga kami ambil untuk menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di dalam bilik tersebut selepas selesai makan.

Tumpang bersolat di bilik makan di restoran.

Part 22: Kiyomizu Temple 

Satu-satunya tempat menarik yang kami lawati sewaktu di Kyoto ialah Kiyomizu Temple (dipanggil Kiyomizu-Dera dalam Bahasa Jepun). Untuk sampai ke Temple ini, kita perlu berjalan kaki mendaki bukit melalui sebatang lorong kecil yang penuh dengan kedai-kedai menjual kraftangan dan makanan tradisional Jepun.

Lorong sempit yang didaki untuk sampai ke Kiyomizu Temple.
Sekali-sekala, kenderaan akan turut melalui lorong sempit ini.
Kedai menjual ais kerim. Walaupun cuaca masih sejuk, ramai orang dah mula makan ais kerim sekarang.
Kedai kraftangan tradisional
Kedai makanan tradisional
Kiyomizu Temple terletak di atas bukit. Di sini ada banyak bunga-bunga sakura sedang berkembangan. Ramai orang Jepun datang ke Temple ini dengan memakai pakaian tradisional mereka bagi meraikan bunga sakura yang berkembang.

Selepas penat berjalan mendaki bukit, akhirnya sampai juga ke Kiyomizu Temple.
Pintu gerbang utama Kiyomizu Temple
Ramai orang Jepun yang berkunjung ke sini dengan memakai kimono.
Tangga naik ke dewan utama
Bangunan utama Kiyomizu Temple sedang ditutup untuk pembaikan sewaktu kami berada di sana.
Bunga-bunga sakura yang berkembang di Kiyomizu Temple sangat cantik. Tak puas-puas kami menangkap gambar untuk dijadikan kenangan.


Kiyomizu Temple juga mempunyai beberapa taman Jepun yang sangat cantik dan mendamaikan.

Taman yang terletak betul-betul di bawah pintu gerbang utama Kiyomizu Temple.
Taman indah di tengah-tengah Kiyomizu Temple
Mengambil gambar taman yang indah.
Taman ini sebenarnya dihiasi dengan lumut
Di Kiyomizu Temple ini juga terdapat sebuah perkuburan. Kubur-kubur mereka kecil sahaja kerana tiada mayat ditanam di sana. Mengikut kepercayaan orang Jepun, mayat-mayat akan dibakar dan hanya abu sahaja yang diletakkan di tanah perkuburan.

Kawasan perkuburan di Kiyomizu Temple
Perkuburan Jepun kecil sahaja kerana hanya abu mayat yang ditempatkan di sana.
Pemandangan bandaraya Kyoto dari pintu masuk ke kawasan perkuburan di Kiyomizu Temple.
Bila waktu melawat tamat, kami pulang semula ke tempat parking bas, juga melalui lorong yang dipenuhi dengan kedai-kedai tadi.

Laluan pulang ke tempat parking bas
Melalui semula kedai-kedai yang ditempuhi tadi.

Part 23: Dari Kyoto Menuju Ke Osaka 

Selepas melawat Kiyomizu Temple, perjalanan kami diteruskan menuju ke Osaka. Dalam perjalanan ke sana, kami menempuh beberapa buah lagi kuil.

Pintu masuk ke sebuah kuil yang terletak tidak jauh dari Kiyomizu Temple
Bandar Kyoto sebenarnya mempunyai sangat banyak kuil. Tidak seperti orang Islam yang menyembah Allah yang satu, orang-orang Jepun menyembah banyak Tuhan yang setiap satunya mempunyai fungsi masing-masing.  Kerana itulah juga sebenarnya mereka mempunyai banyak kuil. Ada kuil yang didirikan untuk berdoa bagi lulus peperiksaan, kuil untuk mendapatkan anak dan pelbagai-bagai hajat lagi.

Sebuah kuil yang sangat besar di tengah-tengah bandar Kyoto. Tak pasti akan nama kuil ini.
Lebuhraya menuju ke Osaka


Bersambung ke Bhg.9 ...


CATATAN PERJALANAN TOKYO & OSAKA (2014):